Jika ditanyakan tentang bahan yang paling jarang ditemui dan mahal di dunia, perkara seperti berlian, platinum atau emas pastinya bermain di fikiran anda, kan?
Namun kebanyakan orang tidak tahu bahawa terdapat sejenis kayu istimewa yang sebenarnya lebih mahal daripada bahan-bahan di atas.
Kynam atau nama yang lebih terkenal di Jepun iaitu "kyara", adalah sejenis gaharu (atau oud) yang tersangat jarang ditemui yang digunakan dalam industri minyak wangi dan kemenyan kerana harumannya yang kompleks dan bau sangat kuat.
BESARKAN TEKS A- A+
Ia adalah jenis oud yang paling dicari-cari. Bagi yang kurang tahu, oud adalah nama yang digunakan di semenanjung Arab bagi untuk menggambarkan kayu damar gelap yang terhasil dalam batang pokok akuilaria disebabkan oleh keadaan tertentu.
Harga satu gram bagi kynam boleh mencecah RM41,825, menjadikannya kayu paling mahal di dunia dan juga salah satu bahan semula jadi yang paling mahal di dunia.
Pada dasarnya, kynam adalah jenis gaharu terbaik yang yang boleh dibeli, dan perlu diketahui bahawa semua jenis gaharu adalah tersangat mahal.
Juga dikenali sebagai aloeswood atau eaglewood, gaharu telah menjadi bahagian penting dalam budaya Cina, Jepun, India, Arab dan Asia Tenggara selama ribuan tahun.
Ia sentiasa menjadi komoditi yang berharga, tetapi permintaan untuk gaharu telah meningkat secara mendadak dalam beberapa tahun terakhir yang menjadikan harganya juga meningkat.
Bahagian dalam batang pokok akuilaria agak tidak berbau dan berwarna pucat, namun dalam keadaan tertentu, pokok ini menghasilkan menghasilkan sejenis damar gelap yang menghasilkan gaharu.
Selama berabad-abad, manusia mengetahui bahawa pokok akuilaria hanya menghasilkan gaharu apabila ia "tercedera".
Secara teori, pelbagai jenis tekanan seperti dipanah petir, diceroboh oleh semut atau lebah, serta dirosakkan oleh haiwan besar, membawa kepada penghasilan gaharu.
Namun apa yang pasti adalah gaharu terhasil disebabkan oleh jangkitan kulat pada pokok akuilaria yang dikenali sebagai phialophora parasitica.
Kayu yang dipenuhi dengan damar ini mempunyai aroma kuat yang digunakan sebagai kemenyan dan sebagai pati untuk minyak wangi yang berkualiti tinggi serta mahal.
Manusia belajar cara untuk menjangkiti pokok akuilaria dengan kulat ini bagi merangsang penciptaan gaharu dan ketika ini terdapat pelbagai ladang di negara Asia dari Indonesia hingga Myanmar dan Vietnam yang khusus dalam pengeluaran gaharu.
Walaupun penghasilan gaharu melalui pokok yang ditanam oleh manusia agak mahal, namun ia jauh lebih murah berbanding gaharu liar, lebih-lebih lagi gaharu berkualiti tinggi.
Ini kerana gaharu "ciptaan manusia" dituai hanya selepas beberapa tahun, sedangkan gaharu liar berkualiti tinggi mungkin berusia beratus-ratus tahun, menjadikan harganya sangat premium.
Dan tiada gaharu lebih mahal dari kynam.
"Gaharu yang paling baik dan paling sukar ditemui dikenali sebagai kynam. Ia adalah kayu paling jarang ditemui di dunia. Ia lebih sukar ditemui berbanding titanium, uranium, platinum dan berlian. Harganya mampu mencecah RM41,825. Di Shanghai, kynam pernah dijual beberapa tahun yang lalu dengan harga RM75.42 juta untuk 2 kilogram, membawa kepada RM37.71 juta sekilogram," kata seorang peniaga gaharu, Alan Mahaffey kepada Al-Jazeera.
Hasil penemuan kynam terbesar oleh Alan Mahaffey adalah berusia 600 tahun seberat 16 kilogram yang mengambil masa 5 tahun untuk dicari dan kayu tersebut dijual dengan harga RM83.80 juta.
Perlu diingatkan bahawa temubual antara Alan Mahaffey dan Al-Jazeera ini adalah pada tahun 2016, di mana permintaan dan harga terhadap gaharu berkualiti tinggi telah berkembang pesat sejak itu.
Tidak ada cara untuk mengetahui sama ada pokok akuilaria mengandungi atau akan mengandungi kynam.
Tidak ada pakar di dunia yang dapat mengenalinya tanpa mencium kayu yang penuh dengan damar, dan dalam kebanyakan kes, aroma kynam yang kompleks hanya terungkap apabila serpihan kayu ini terbakar.
Oleh kerana gaharu liar sangat jarang ditemui dan berharga, pokok-pokok akuilaria liar kini semakin berkurangan di seluruh Asia.
Dan kerana satu-satunya cara untuk mencari gaharu adalah dengan menebang dan membelah pohon itu, spesimen liar ini semakin pupus.
Malah, orang yang menghargai kayu ini sanggup menghabiskan wang yang tersangat banyak untuk memilikinya.
Sebatang pokok berusia 200 tahun di kuil Wat Bang Kradan di Kemboja yang dipercayai akan menghasilkan kynam pada suatu hari nanti telah mendapat perhatian ramai dan ini membuatkan pembeli dari Jepun menawarkan RM96.37 juta untuk memilikinya.
Tawaran itu ditolak dan kini terdapat pondok tentera berhampiran kuil tersebut dengan tujuan utama untuk menjaga pokok akuilaria tersebut.
Dengan permintaan yang semakin menggila dan pengeluaran yang semakin menurun saban hari, harga kynam dan jenis gaharu yang lain pastinya akan semakin meningkat.
Rujukan:
1. Kyarazen
2. Ensaroud
3. Central