Kredit foto: Instagram Upin & Ipin
Empat hari tayangan, filem Upin Ipin: Keris Siamang Tunggal terbitan Les' Copaque Production kini mengumpul kutipan sebanyak RM5.3 juta.
Menghebahkan berita itu di Instagram, pihak produksi merakamkan ucapan terima kasih kepada penonton, di samping berharap sambutan hangat yang diberikan akan berterusan.
"Jumlah kutipan filem Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal untuk 4 hari tayangan adalah RM 5.3 juta. Terima kasih atas sokongan semua penonton dari hari pertama tayangan lagi. Teruskan menonton filem ini di pawagam-pawagam terdekat," tulisan entri itu disertakan tanda pagar #UpinIpin, #KerisSiamangTunggal dan #UpinIpinKerisSiamangTunggal.
Kredit foto: Instagram Upin & Ipin
Rata-rata netizen menerusi ruangan komen mengucapkan tahniah kepada produksi dan menganggap siri kartun televisyen yang dibawa ke layar perak itu setaraf dengan animasi Hollywood.
Upin & Ipin : Keris Siamang Tunggal (atau dalam bahasa Inggerisnya, Upin & Ipin: The Lone Gibbon Kris) merupakan filem animasi pengembaraan Malaysia selepas tiga siri terdahulu iaitu Geng: Pengembaraan Bermula pada 2009, Laksamana Upin & Ipin (2012), Upin & Ipin: Jeng Jeng Jeng! (2016).
Mengisahkan Upin dan Ipin bersama kawan-kawan mereka: Ehsan, Fizi, Mail, Jarjit, Mei Mei dan Susanti yang terperangkap dalam keris mistik di bilik stor Tok Dalang. Mereka dibawa mengembara ke dunia lain iaitu kerajaan Inderaloka yang seterusnya membawa kepada pertemuan dengan watak-watak cerita dongeng Melayu seperti Mat Jenin dan Belalang.
Menampilkan barisan pelakon suara seperti Asyiela Putri, Ahmad Mawardi, Mohd Amir Asyraf, Fakhrul Razi Imbrahim dan Ernie Zakri.
Karya dihasilkan selama tempoh lima tahun itu menelan belanja RM20 juta, sekaligus menjadikan ia filem tempatan paling mahal pernah diterbitkan.
Menemui penonton di pawagam sejak 21 Mac lalu.