Sebelum tahun 1930-an, dunia luar tidak tahu tentang kewujudan puak orang asli Fore di Papua New Guinea. Di salah satu kawasan paling kurang diterokai ini, puak Fore telah hidup bebas dan membangunkan budaya tersendiri. 

Salah satu tradisi puak Fore ini adalah ritual kanibalisme. Walau bagaimanapun, ia adalah penyebab utama kepada penyakit otak berbahaya yang digelar sebagai "Kuru".

BESARKAN TEKS     A-  A+

Ritual menghormati ahli keluarga tersayang

Pelombong Australia adalah yang pertama berhubung dengan puak orang asli yang mendiami kawasan timur tanah tinggi Papua New Guinea ini.

suku fore

Bagi puak Fore, ritual kanibalisme dilakukan atas dasar memperingati orang tersayang kerana mereka akan memakan mayat ahli keluarga terdekat yang sudah mati. Selain daripada menenangkan roh si mati, ritual ini juga merupakan penghormatan kepada keluarga tersayang yang telah meninggal dunia.

Walau bagaimanapun, seluruh dunia melihat ritual ini sebagai sesuatu yang mengerikan. Bahkan, ia turut membawa kesan yang sangat dahsyat.

Amalan kaum Fore ini secara langsung telah mengundang kepada penyebaran wabak Kuru yang juga dikenali sebagai "the laughing death". Mangsa yang dijangkiti penyakit ini hilang kawalan terhadap emosi, anggota badan dan fungsi tubuh mereka.

Ramai mangsa yang menghidapi penyakit ini mengalami gejala ketawa tanpa kawalan dan mati kurang daripada setahun selepas menunjukkan gejala awal.

Masalah misteri puak Fore

Pada tahun 1950-an, penyakit Kuru ini berada pada kemuncaknya apabila meragut nyawa dua peratus populasi puak Fore setahun (kira-kira lebih daripada 200 orang setiap tahun).

penghidap kuru

Salah seorang penghidap Kuru tidak dapat berdiri dengan sendiri

Penyelidik dari luar percaya penyakit Kuru ini mula tersebar hanya beberapa dekad sebelum puak Fore ini ditemui oleh dunia luar. Jika ia telah lama berlaku, penyakit yang tiada penawar ini pasti akan hampir menyebabkan puak ini pupus.

Pada mulanya, para penyelidik dan peneroka dari luar tidak mengetahui apakah punca dan bagaimana Kuru tersebar di kalangan puak Fore. Lebih membingungkan, kebanyakan mangsa yang dijangkiti adalah kaum wanita dan kanak-kanak.

Walaupun penyelidik berpendapat ia mungkin disebabkan pencemaran atau masalah genetik, puak Fore pula menganggap penyakit ini adalah kesan daripada melakukan amalan "sihir". Pada awal 1960-an, seorang penyelidik mempunyai jawapan tentang misteri ini.

Mencari punca penyakit Kuru

Ahli antropologi Shirley Lindenbaum dan suaminya iaitu Robert Glasse adalah antara saintis terawal yang terlibat dalam kajian khusus pertama penyakit Kuru ini pada tahun 1961.

otak kuru

Otak seorang pesakit Kuru

Mengembara dari kampung ke kampung dalam komuniti Fore, mereka cuba meneliti kemungkinan punca penyakit itu. Selepas beberapa kajian, mereka mendapati ia bukanlah berpunca daripada pencemaran atau masalah genetik.

Ini kerana kebanyakan penghidap Kuru adalah dari wanita dan kanak-kanak dalam kumpulan sosial yang sama tetapi berbeza genetik.

Ketika lawatan kedua kumpulan saintis itu, seorang pakar neurologi dan epidemiologi bernama Dr. R.W. Hornbrook mengemukakan satu soalan penting: "Apakah yang dilakukan oleh wanita dan kanak-kanak dalam suku Fore tetapi tidak dilakukan oleh lelaki dewasa?"

Jawapannya kemudian menjadi begitu jelas. Kebiasaannya, golongan wanitalah yang mengamalkan ritual kanibalisme kerana suku Fore percaya mereka mampu "menangani" roh dengan lebih baik.

Malah, daging manusia yang dibakar atau dimasak akan disuapkan kepada anak-anak mereka yang ada bersama ketika memakan sisa mayat ahli keluarga yang meninggal dunia itu.

Hipotesis akhirnya disahkan

Sebahagian pakar masih skeptikal dengan teori itu. Lindenbaum dan rakan-rakannya tetap berusaha dan menguji teori mereka di Institut Kesihatan Kebangsaan A.S.

shirley lindenbaum

Shirley Lindenbaum

Mereka telah menyuntik sampel otak manusia yang dijangkiti ke dalam cimpanzi. Apabila cimpanzi mula menunjukkan tanda-tanda penyakit Kuru beberapa bulan kemudian, hipotesis Lindenbaum telah disahkan.

Namun, mereka masih mempunyai beberapa persoalan yang belum terjawab. Mengapa puak Fore dijangkiti Kuru sedangkan tidak kepada suku orang asli lain yang turut mengamalkan kanibalisme.

Ramai pakar percaya ia bermula apabila salah seorang daripada suku Fore ini mengalami masalah neurologi yang dipanggil Penyakit Creutzfeldt-Jakob yang hampir serupa dengan Kuru. 

Kedua-dua penyakit ini disebabkan oleh prion iaitu protein abnormal yang melipat dengan cara luar biasa dan membentuk luka dan menyebabkan kerosakan mendalam pada sistem saraf otak. Malah, kedua-dua penyakit ini turut meragut nyawa kira-kira setahun selepas gejala pertama muncul.

Berakhirnya penyakit Kuru

Jumlah kes Kuru menurun dengan mendadak dari masa ke masa selepas penemuan pengkaji itu. Namun, ia mengambil masa selama beberapa dekad untuk penyakit itu benar-benar tiada.

fore 374

img 20211231 222704

Menurut Michael Alpers yang merupakan penyelidik perubatan di Curtin University di Australia, mangsa terakhir Kuru mati pada tahun 2009 dan wabak itu secara rasminya berakhir pada tahun 2012.

Pada hari ini, populasi suku Fore adalah sekitar 20,000 orang iaitu dua kali ganda ketika penyakit Kuru berada pada tahap kemuncaknya. Malah, populasi wanita dan kanak-kanak juga menunjukkan peningkatan positif.




Hakcipta iluminasi.com (2017)