Kadang-kadang, ada masanya kita terlalu sibuk dengan sesuatu sehingga kita terlupa nak buang sampah di rumah kita. Bila tengok saja, dah banyak ulat-ulat sedang bergerak-gerak dalam plastik sampah tu membuatkan kita jadi takut nak mengangkatnya.
Kita tahu itu adalah ulat sampah atau larva lalat. Pernahkah anda terfikir bagaimana kitaran hidup ulat sampah ini?
BESARKAN TEKS A- A+
Peringkat telur - permulaan hidup yang bahagia
Ibu lalat akan mencari lokasi yang sesuai untuk bertelur.
Lokasi sesuai adalah tempat di mana ibu lalat menjangkakan dirinya akan selamat untuk membiarkan telurnya menetas serta mempunyai sumber makanan yang banyak, membolehkan ibu lalat makan tanpa henti. Oleh kerana itulah kawasan sampah menjadi pilihan.
Seekor ibu lalat mampu melahirkan hampir 2000 telur sepanjang usianya dengan penghasilan 70 ke 150 telur dalam satu-satu masa. Selepas sehari bertelur, telur itu akan menetas lalu terhasillah larva lalat atau apa yang kita panggil ulat sampah.
Larva yang menjijijkkan
Ketika peringkat larva ini, usianya baru masuk 5 hari dan dalam tempoh ini, larva juga akan makan tanpa henti. Jangan terkejut kalau ada larva boleh mencapai saiz sebesar 2cm muncul kerana jika dibiarkan, mereka mampu mencecah panjang sebesar itu.
Bagaimanapun, larva pada peringkat ini sangat sensitif dengan cuaca jadi sebarang bentuk haba daripada suria, mampu membunuh larva dengan cepat.
Selamat jadi kepompong
Selepas tamat peringkat larva, larva tadi akan bertukar menjadi kepompong atau turut digelarkan pupa. Proses ini memakan masa paling panjang antara semua proses; di antara 14 hingga 36 hari untuk selesai.
Hanya selepas proses inilah keluarnya seekor lalat yang kita tak gemari namun memainkan peranan yang cukup besar dalam sistem ekosistem bumi.
Hai lalat dewasa!
Apabila lalat berjaya mencapai peringkat ini, mereka sudah dikira dewasa. Kebanyakannya mempunyai purata jangka hayat dewasa sekitar 15 hingga 25 hari sahaja, namun ada juga lalat yang umurnya panjang sehingga mampu hidup selama dua bulan. Itu lalat yang bertuahlah.
Sesuatu yang menakjubkan tentang lalat betina adalah selepas 36 jam melangkah ke alam dewasa, mereka sudah pun bersedia untuk bertelur. Yang lebih menarik, selepas setiap kali persenyawaan berlaku - lalat betina akan menyimpan sel-sel sperma yang didapati dari lalat jantan untuk digunakan pada waktu lain, bila-bila lalat betina sendiri rasa hendak mengandung.
Walaupun kita memang cukup geli dengan ulat sampah, ulat sampah sebenarnya banyak faedahnya pada kita. Ia boleh menggantikan cacing sebagai umpan menangkap ikan. Ulat sampah juga sudah digunakan dalam bidang perubatan untuk memakan kulit-kulit mati pada luka yang lambat sembuh melalui proses yang dinamakan myiasis.
Tak lupa peranan paling besar lalat sebagai ejen pereput sampah yang amat besar sumbangannya pada kita. Artikel ini bukanlah bertujuan untuk membuatkan anda menyayangi lalat tetapi hanya bertujuan untuk kita mengetahui bagaimana kitaran hidup seekor lalat yang kecil; sejijik dan sehina lalat pun besar sebenarnya manfaat serangga itu pada manusia.
Rujukan