Oleh pada 21 Mar 2023 kategori

Bagi kaum wanita, datangnya haid atau lebih terkenal digelar 'period', adalah waktu di mana berlakunya perubahan bersifat sementara kepada mereka.

Selain keluarnya darah haid, sesetengah wanita juga berdepan bermacam jenis ketidakselesaan seperti pening kepala, muntah-muntah, loya, hilang selera makan, sakit perut, lesu dan bermacam lagi simptom berbeza. 

BESARKAN TEKS     A-  A+

Pendidikan berkenaan topik ini telahpun dijadikan salah satu topik yang diajar sejak peringkat sekolah rendah lagi, membantu kanak-kanak lebih memahami apa yang bakal berlaku sejak awal.

Namun pernahkah anda terfikir adakah ada haiwan betina yang menjalani kitaran haid serupa wanita?

Benarkah haiwan ada kitaran haid? 

animals sexual cycles

Jika anda pernah terfikirpersoalan di atas - jawapannya ada!

Memang ada haiwan betina di dunia ini yang menjalani kitaran haid sama seperti seorang perempuan, bagaimanapun angkanya kecil sahaja. 

Bagi majoriti haiwan mamalia betina, haiwan ini menjalani kitaran yang dinamakan kitaran estrous yang mempunyai perbezaan ketara jika dibandingkan dengan kitaran haid manusia. 

Kami jelaskan dulu apa maknanya 'estrous.' Istilah ini datang daripada istilah Latin oestrus yang membawa makna 'perasaan yang tidak terkawal', dalam bahasa Inggeris biasanya kita gelarkan sebagai frenzy.

Seperti kitaran haid wanita, seekor haiwan betina mula menjalani kitaran estrous pada ketika hadirnya tempoh kematangan mereka secara seksual dan tubuh haiwan itu sudah menghasilkan hormon yang berkait proses persenyawaan.

Kitaran estrous terbahagi kepada empat fasa dengan fasa pertama digelarkan proestrus, di mana lapisan dalam ovari haiwan itu mula menebal.

Estrus adalah fasa kedua, di mana haiwan mamalia betina menjalani peringkat di mana tubuh mereka mengaktifkan hormon seksual, mengakibatkan haiwan-haiwan ini bersedia untuk disetubuhi.

Kita biasa menggelarkan keadaan ini sebagai 'on heat' atau sedang musim mengawan.

Peringkat seterusnya adalah metestrus, di mana lapisan dalam uterus mula berubah dan yang terakhir adalah anestrus, peringkat di mana kitaran ini dianggap mula stabil dan kembali seperti awalnya.

Sekiranya berlaku persenyawaan dalam peringkat estrus, kitaran ini akan terhenti bagi membolehkan kandungan dalam perut haiwan itu membesar. 

Berapa lama haiwan betina menjalani PMS?

haiwan dan kasih sayang

Wanita biasanya merujuk alendar bagi menganggar bilakah fasa-fasa kitaran haid mereka muncul, yang berlaku setiap bulan. Bagi haiwan yang menjalani kitaran estrous, tempoh kitaran ini berlaku mengikut kategori haiwan itu.

Sesetengah haiwan seperti lembu mempunyai kitaran yang tidak bermusim, boleh berlangsung beberapa kali setahun. 

Haiwan seperti kambing, rusa, kuda dan tikus belanda pula mempunyai kitaran yang berlangsung bergantung kepada musim cuaca persekitaran, yang akan menentukan bila bermulanya fasa pertama kitaran estrous mereka.

Ketika sampai musim, mereka akan menjalani kitaran ini berulang kali sehinggalah tamat musim tersebut.

Haiwan seperti beruang pula hanya mempunyai satu tempoh saja di mana kitaran ini akan bermula, biasanya semasa musim panas. Malang bagi beruang, kitaran ini hanya akan berlangsung sekali setiap sekali musim datang.

beruang bercinta

Satu perbezaan utama yang membezakan manusia dengan haiwan betina, adalah apa yang akan dihasilkan semasa kitaran.

Perempuan seperti yang kita dah tahu akan mengalami pendarahan, akibat daripada tubuh mereka merembeskan keluar lapisan yang dinamakan endometrium dan semua membran yang terbentuk di bahagian uterus mereka.

Bagi haiwan yang mengalami kitaran estrous tanpa berlaku persenyawaan selepas on heat, tubuh mereka akan menyerap kembali lapisan ini, menyebabkan tidak ada pendarahan keluar.

Walaupun demikian, ada kategori kecil haiwan mamalia yang menjalani kitaran haid atau menstrual cycle yang sama seperti seorang wanita dan turut sama mengeluarkan darah haid!

Monyet ada darah haid!

kitaran haid beruk

Seperti apa yang sudah kami katakan di atas - majoriti haiwan mamalia betina menjalani kitaran estrous, tidak mengeluarkan darah kerana lapisan yang ada diserap semula tubuh selepas fasa kitaran berlangsung.

Bagi segelintir kecil haiwan mamalia dan kategori ini SANGAT KECIL jumlahnya, haiwan betina sebegini akan menjalani apa yang perlu dilalui wanita setiap bulan, iaitu pengeluaran darah dari alat sulit.

Hanya haiwan primat (primate) seperti monyet, kera, babun, gorilla, orang utan, chimpanzee dan sebagainya, 4 spesis kelawar buah, cencurut gajah (elephant shrew) sejenis cencurut kecil yang ditemui di Afrika dan tikus dari spesis spiny mouse mempunyai kitaran menyerupai manusia, setakat apa yang sudah dipelajari setakat ini.

Di kalangan haiwan primat yang merupakan kumpulan terbesar, tempoh kitarannya berbeza mengikut spesis. Orang utan betina mempunyai purata kitaran sekitar 29 hari, paling hampir dengan tempoh kitaran wanita iaitu 28 hari.

Chimpanzee pula 37 hari dan gorilla 32 hari.

haiwan dan kitaran haid

Seperti seorang wanita, betina primat akan menjalani pendarahan secara purata sehingga 7 hari di bahagian sulitnya. 

Lebih menakjubkan ketika fasa pendarahan ini berlangsung, primat-primat betina juga akan mengalami ketidak selesaan termasuklah semua simptom pada badan seperti rasa kebas yang sering diceritakan kaum hawa.

Lebih memburukkan situasi bagi primat jantan, primat betina juga telah dilaporkan mengalami perubahan psikologi mirip PMS yang cukup digeruni lelaki dan suami, menyebabkan emosi primat betina jadi tidak menentu, mudah agresif dan cepat naik marah.

Sekiranya tiba-tiba ada kelihatan primat jantan banyak melepak bersama rakan-rakan jantannya yang lain, besar kemungkinan haiwan itu sebenarnya sedang melarikan diri dari pasangannya yang sedang datang bulan.

Rujukan

Menstrual cycle and social behavior in vervet monkeys




Hakcipta iluminasi.com (2017)