Upacara pemujaan Dewa selesai di depan kuil.
Sanji Ram memberitahu kepada remaja anak buah lelakinya yang masih bawah umur, itu adalah waktu terbaik untuk membunuh Asifa Bano, seorang gadis kecil berusia lapan tahun yang masih terkurung dalam kuil berkenaan.
Asifa masih duduk di dalam gelap, selepas diculik dan ditawan selama hampir lima hari di kampungnya sendiri, Kampung Rasana yang terletak di daerah Kathua, Kashmir, India. Sanji dan anak buahnya mahu menamatkan kegiatan gila mereka pada hari itu kerana sudah terlama Asifa disimpan mereka.
Salah seorang dalang, pegawai polis cawangan khas India bernama Deepak Khajuria, meminta kebenaran untuk masuk semula ke dalam dewan kuil, kerana tahu sekejap lagi nyawa Asifa akan ditamatkan. Dia ingin merogolnya sekali lagi buat kali terakhir.
Kejadian lima hari yang berlaku dari 11 Januari hingga 15 Januari 2018 pada mulanya dianggap sebagai salah satu kes rogol yang biasa berlaku di India. Laporan siasatan yang dikeluarkan beberapa bulan kemudian, menjelaskan segala-galanya dan membuktikan - ada syaitan yang hidup dengan bertopengkan manusia.
Asifa Bano yang periang
Asifa Bano adalah salah seorang kanak-kanak yang periang, hidup dengan keluarganya secara nomad pada musim tertentu. Setiap hari Asifa akan membawa kuda-kuda yang dipelihara keluarganya untuk makan di hutan berdekatan dengan kampungnya.
Datang dari keluarga beragama Islam Sunni, Asifa tinggal bersama dengan kedua ibu bapanya. Ayahnya Mohamad Akhtar baru berusia 45 tahun tetapi desakan hidup menjadikan dia kelihatan lebih tua daripada umurnya. Ibu Asifa pula adalah seorang perempuan berusia 55 tahun bernama Rafeeza Bano.
Kedua-duanya kini hidup dalam ketakutan berikutan nasib malang yang menimpa Asifa. Pasangan itu merancang untuk melarikan diri dari kampung mereka ekoran takut apa berlaku pada Asifa, turut sama menimpa kaka Asifa, Manega Bano yang sudahpun berumur 13 tahun.
Berasal dari suku yang bernama Bakarwals, keluarga Asifa hidup berpindah randah secara nomad, ekoran keperluan untuk mencari kawasan yang sesuai bagi kuda-kuda yang dibela. Walaupun Kathua adalah tempat tinggal mereka, ada masanya mereka sekeluarga berada jauh di kawasan pergunungan, hidup dengan beratapkan khemah setiap hari. Rutin itu merupakan sesuatu budaya turun temurun yang telah diamalkan suku Bakarwals.
Asifa yang kecil agak rapat dengan pakciknya, Mohammad Yusuf. Yusuf dianggap sebagai ayah angkat Asifa - selepas kematian ketiga-tiga orang anaknya dalam sebuah kemalangan.
Bagi Yusuf, Asifa adalah seperti anak kandungnya sendiri.
Pengaruh politik India membuatkan Asifa dibunuh
Kemenangan parti BJP pimpinan Narendra Modi pada pilihanraya umum India dalam tahun 2014, membuatkan tekanan kepada komuniti Muslim di India semakin memuncak, ekoran suara pengaruh Hindu yang mula lantang menuntut bermacam perkara.
Parti BJP dan Narendra Mordi secara terang-terangan menyatakan sokongan kepada masyarakat India beragama Hindu melalui pelbagai dasar dan langkah baru yang diperkenalkan. Ini mencetuskan ketegangan di antara kedua-kedua kumpulan penganut agama terbesar di India.
Sindrom sama juga dapat dilihat dalam kes pembunuhan Asifa ini.
Beberapa orang pegawai kerajaan yang datang dari pada parti BJP serta membawa ideologi pro Hindu boleh pula secara terbuka mempertahankan tindakan kumpulan suspek dalam kejadian menyayat hati ini.
Insiden perebutan tanah yang kerap berlaku di antara penganut Hindu dan Islam memang senantiasa mencetuskan ketegangan di daerah Kashmir. Apa yang cukup membimbangkan, siasatan pihak polis mendapati insiden pembunuhan Asifa, sebenarnya bukanlah hanya cubaan untuk melampiaskan nafu serakah semata-mata.
Apa yang Sanji Ram dan kumpulan jahatnya lakukan; semuanya berpunca daripada kebencian orang Hindu terhadap Muslim dalam kelompok komuniti yang sama.
Sanji Ram - Syaitan bertopengkan manusia
Sanji Ram adalah seorang pegawai kerajaan yang telah bersara. Seorang nasionalis Hindu yang tegar, dia dikenali sebagai seorang yang anti Islam serta tidak mahu kewujudan komuniti Muslim di kawasan tempat tinggal beliau.
Sanji menentang sekeras-kerasnya rancangan etnik Bakerwals untuk membina penempatan di Kathua serta kerap menjadi penggerak utama dalam mengajak gerakan bantahan golongan penganut Hindu. Didakwa sebagai perancang utama kejadian rogol dan bunuh Asifa, pihak polis mengenalpasti punca utama kejadian itu dilakukan adalah untuk menimbulkan perasaan takut dan bimbang pada komuniti Muslim di Kathua, agar mereka membatalkan rancangan mahu menetap di situ.
Semua ini diburukkan lagi dengan sikap berdiam diri yang diambil kerajaan pimpinan Narendra Modi dalam kes ini, walaupun pada peringkat daerah parti mereka sendiri menyatakan sokongan terbuka secara penuh kepada suspek serta mempersoalkan mengapa keperluan mereka didakwa. Apa yang lebih menakutkan, peguam-peguam beragama Hindu dilihat bersatu melalui kuasa mahkamah untuk menghalang dakwaan dilakukan terhadap suspek.
Selepas mayat Asifa ditemui, pasukan penyiasat mengalami kesukaran untuk meneruskan siasatan berikutan ada usaha untuk mensabotaj siasatan oleh pihak polis sendiri. Anand Dutta, seorang pegawai polis yang ditugaskan mengetuai siasatan kes tersebut, cuba untuk memusnahkan bahan bukti seperti baju yang dipakai Asifa serta kesan darah dan air mani pada badan mangsa.
Ada 8 suspek utama kes ini. Sanji Ram dikenali sebagai dalang utama, pegawai polis Deepak Khajuria, anak Sanji Ram sendiri yang bernama Vishal, remaja bawah umur yang juga anak buah kepada Sanji Ram dan rakannya yang bernama Mannu. Kesemua lima orang ini berkomplot menculik, merogol dan membunuh Asifa Bano dalam tempoh lima hari penuh seksa. Tiga orang anggota polis didakwa cuba menipu dan memusnahkan bahan bukti dalam siasatan. Kesemua lapan suspek beragama Hindu.
Tekanan masyarakat setempat dan dunia semakin memuncak selepas laporan siasatan berjaya dikeluarkan lebih 90 hari selepas mayat Asifa dijumpai. Apa yang terkandung dalam laporan adalah sesuatu yang di luar jangkaan semua pihak.
Kronologi kes culik, rogol dan bunuh Asifa
Dalang insiden ini adalah hasil buah fikiran Sanji Ram, dengan Deepak Khajuria menjadi tulang belakang rancangan jahat ini.
Pada hari yang telah dirancang dalam bulan Januari, Sanji mengarahkan anak buahnya menculik Asifa yang memang sudah dikenali kerana kerap datang membawa kudanya makan berdekatan kawasan rumah Sanji.
Asifa yang mencari kudanya bertanya kepada anak buah Sanji di mana kudanya yang hilang. Remaja itu mengarahkan Asifa mencari di hutan dan berjanji untuk sama-sama menolong Asifa mencari. Asifa yang masih budak mengikut saja pelawaan remaja itu sebelum seorang lagi lelaki, Mannu menyertai mereka. Menyedari ada sesuatu yang aneh, Asifa cuba melarikan diri namun berjaya ditangkap. Dia dirogol buat kali pertama dalam hutan oleh remaja itu dan kemudiannya Mannu.
Asifa kemudiannya dibawa ke dalam sebuah kuil berdekatan lalu dikurung dan diberikan pil yang diperolehi oleh Deepak untuk mengkhayalkannya. Mereka yang melakukan upacara ritual pemujaan di dalam kuil tersebut, sebelum mula bertindak merogol Asifa yang tidak sedarkan diri bergilir-gilir.
Tidak dapat dipastikan berapa kali Asifa dirogol dalam tempoh lima hari dia diculik.
Ibu bapa Asifa, Akhtar dan Rafeeza ada datang mencari di kuil namun Sanji Ram yang terkenal di kalangan penduduk setempat, berbohong dengan mengatakan Asifa mungkin berada di rumah saudaranya. Ekoran laporan polis yang dibuat ibu bapa Asifa, anggota polis mula mencari di sekitar kawasan kampung namun kehadiran Deepak berjaya menyembunyikan kegiatan mereka.
Vishal Jangotra, anak kepada Sanji yang tinggal agak jauh dari Kasmir dihubungi salah seorang suspek. Vishal diberitahu apa yang telah mereka lakukan dan mempelawa Vishal pulang sekiranya dia mahu memuaskan nafsu. Awal jam 8.30 pagi, Vishal sampai dan tidak menunggu lama untuk merogol Asifa selepas memberikan dia pil pelali, walaupun baru saja menempuh perjalanan sejauh hampir 300km.
Masuk hari kelima Asifa diculik, selepas puas melakukan apa saja yang mereka mahu pada kanak-kanak tidak bermaya itu, Sanji merasakan sudah tiba waktu yang sesuai untuk Asifa dibunuh.
Peluang rogol sekali lagi semasa bernyawa
Rancangan Sanji Ram adalah untuk membunuh Asifa di suatu lokasi lain dan mayatnya dicampak ke dalam hutan.
Vishal, Mannu dan remaja bawah umur itu merancang untuk membawa Asifa ke sebuah terowong kecil di bawah jambatan berdekatan, untuk membunuh Asifa di situ. Rancangan mereka ditangguh setelah mendapat panggilan telefon daripada Deepak Khajuria, yang meminta peluang untuk merogol Asifa sekali lagi semasa Asifa masih hidup.
Selepas selesai merogol Asifa, Deepak menjadi individu yang bertanggungjawab membunuh Asifa. Dia cuba untuk mencekik Asifa dengan betis yang ditekan pada leher Asifa, namun tekanan yang dikenakan tidak cukup untuk membunuh Asifa. Deepak mengubah kaedah dan menekan kedua-dua lututnya pada belakang Asifa yang tersembam, dengan kain selendang Asifa digunakan untuk menjerut lehernya lalu ditarik.
Asifa meninggal dunia dalam dewan sembahyang kuil itu lalu dibiarkan begitu saja selama dua hari, ekoran ketiadaan pengangkutan untuk membawa mayatnya. Dua hari selepas itu pada 15 Januari 2018, Sanji Ram mengarahkan mereka yang terlibat mengangkut dia ke dalam hutan untuk dibuang.
Tubuh Asifa dijumpai pada 17 Januari 2018, sebelum pihak siasatan berjaya menahan remaja bawah umur yang terlibat. Penangkapan itulah yang membawa kepada tertangkapnya semua pihak yang terlibat menculik, merogol dan membunuh Asifa termasuklah individu-individu yang turut terlibat dalam cubaan hendak menutup kes ini.
Bagaimanapun, semua suspek mengaku tidak bersalah. Masyarakat Hindu India mempersoalkan keadilan siasatan kes itu,selepas majoriti pegawai polis yang menyiasat datang dari penganut agama Islam. Aktivis Hindu menyatakan yang komuniti Muslim tidak boleh dipercayai dengan motif siasatan yang dilihat prejudis terhadap komuniti Hindu memburukkan lagi keadaan.
Hanya pada 14 April 2018, Perdana Menteri India, Narendra Modi mengeluarkan kenyataan mengutuk tindakan kejam itu serta menjamin keadilan akan tetap ditegakkan. Ekoran tindakan Narenda itu, dua orang menteri Menteri pimpinan beliau, Choudhary Lal Singh dan Chander Prakash Ganga meletakkan jawatan setelah didapati terlibat dalam tunjuk perasaan mengutuk dakwaan ke atas semua suspek yang terlibat.
Rujukan