Salah satu sumber inspirasi terbaik ialah kisah hidup usahawan, pemimpin dan orang terkenal yang berjaya. Kita suka membaca tentang kisah mereka, mengambil pengajaran kehidupan, melihat bagaimana mereka bermula dan menggunakannya sebagai inspirasi untuk mensasarkan matlamat besar.
Namun, ada individu lain yang tidak mempunyai kaitan dengan perniagaan dan materialisme yang boleh diambil pengajaran hidupnya.
BESARKAN TEKS A- A+
Salah seorang daripadanya sudah tentulah Bob Marley, King of Reggae yang cuba menggunakan muzik untuk mengubah dunia.
Beliau meraikan kehidupan walaupun menghadapi banyak kesukaran dan menggunakannya sebagai batu loncatan, mengingatkan orang lain bahawa setiap saat itu sangat berharga dan kita harus berhenti mengeluh serta hidup sebaiknya.
Kehidupan awal dan kelahiran falfasah hidup yang unik
(Bob Marley (kanak) ketika zaman kanak-kanak)
Dilahirkan pada 6 Februari 1945 di St. Ann Parish, Jamaica, Bob Marley atau nama sebenarnya Robert Nesta Marley merupakan anak kepada penyelia ladang berkulit putih dan ibunya yang merupakan gadis kampung berkulit hitam yang pada ketika itu hanya berusia 19 tahun.
Beliau tinggal di kawasan miskin di Jamaica di awal zaman kanak-kanak, yang biasanya membawa kepada kewujudan pemikiran menyalahkan, negativisme, dendam, putus asa dan banyak lagi.
Sebaliknya, hatinya penuh dengan cinta, rasa syukur dan sukacita. Beliau menggunakan kesukaran yang dihadapi untuk menjadi seorang yang lebih kuat.
Cabaran hidup yang pertama membawa kepada pencarian identitinya adalah hakikat bahawa beliau mempunyai darah campuran. Hakikat ini membuatkan Bob Marley dibuli.
Ketika dilahirkan, ibunya menamakan beliau sebagai Nesta. Walau bagaimanapun, Walau bagaimanapun, institusi rasmi tidak suka dengan nama tersebut dan mengubahnya kepada Robert.
Beliau menghabiskan 5 tahun kehidupan awalnya di desa luar bandar, kemudian keluarganya berpindah ke Kingston, Jamaica dengan harapan untuk mencari kehidupan yang lebih baik.
Di sana, mereka terus hidup dalam kemiskinan. Bob Marley dirujuk sebagai 'budak berkulit putih' oleh penduduk tempatan, kerana wajahnya jelas mempunyai banyak ciri bangsa putih.
Ini membuatkan beliau berasa terpencil dari orang-orang di sana, walaupun beliau mahu menjadi sebahagian daripada masyarakat.
Bob Marley kemudiannya memutuskan bahawa perkara ini tidak semestinya perlu membentuk siapa dirinya dan masa depannya.
Beliau menerima cabaran ini sebagai sebahagian daripada perjalanan hidup dan tidak membiarkan mereka mengaburi pandangannya atau mengawal ketenangan pemikirannya.
Bob Marley menerima hakikat bahawa beliau adalah sebahagian daripada 2 bangsa, menjadi yakin tentang asal usulnya dan menganggap dirinya dilindungi Tuhan.
Beliau memberitahu bahawa semua ini membantunya mengembangkan falsafah dan bahawa beliau bukanlah putih ataupun hitam.
Muzik sebagai cara membebaskan dari daripada kemiskinan
Bob Marley meninggalkan sekolah agak awal dan menjadi tukang kimpal pelatih. Beliau memutuskan untuk berhenti bekerja selepas terlibat dalam kecederaan di tempat kerja, memikirkan ia adalah yang terbaik untuk semua orang.
Tetapi sebelum itu, seorang rakan baik dari zaman kanak-kanak bukan sahaja berkongsi keghairahannya terhadap muzik, tetapi juga menjadi inspirasi kepadanya untuk belajar bermain gitar.
Muzik adalah cara untuk Bob lari daripada realiti yang mana membantunya berhadapan dengan hakikat kemiskinan di sekelilingnya, dan perkara yang paling digemarinya.
Salah satu daripada kata-katanya yang terkenal adalah: "One good thing about music, when it hits you, you feel no pain,".
Salah satu falsafah utama Bob Marley ialah kita harus hidup dengan minda yang bebas dan kita adalah orang yang berkuasa.
Sekiranya jika kita mahu melakukannya, kita dapat membebaskan diri kita daripada semua beban dari perkara buruk yang ada di dunia dan dapat mencari keamanan.
Beliau menggunakan muzik sebagai alat untuk menyebarkan mesejnya dan membantu orang melepaskan segala kesukaran di minda serta berasa tenang.
Kawasan kejiranannya di Kingston juga merupakan tempat asal bagi beberapa penghibur yang hebat.
Bob Marley mengenali beberapa nama besar dalam industri ini, mendapat inspirasi daripada artis yang berjaya dan juga bertemu seorang penerbit yang memberi peluang kepadanya.
Beliau kemudiannya merakamkan beberapa single yang meletup dan menandakan permulaan kerjaya muziknya.
Selepas bertemu dengan seorang lagi yang berkongsi cintanya dengan muzik dan bertemu semula dengan rakan yang memberi inspirasi kepadanya untuk mula bermain gitar ketika di sekolah, trio ini mula menulis lagu.
Bob Marley dan The Wailers
Satu komponen besar kisah hidup Bob Marley adalah memulakan band pertamanya pada tahun 1962. Ia dinamakan The Wailers, kerana menganggap diri mereka sebagai penderita ghetto (kawasan kejiranan miskin).
Ketika itu, Bob Marley baru berusia 17 tahun dan beliau juga bertemu dengan isterinya. Beliau juga bertemu dengan seorang yang dianggapnya sebagai mentornya iaitu Joe Higgs, yang banyak mempengaruhi cara pemikiran dan kehidupannya.
Tidak lama selepas itu, Joe Higgs mula melatih band baru itu dan membantu mereka dengan penulisan lagu serta nyanyian.
2 tahun kemudian, The Wailers menjual lebih daripada 80,000 salinan dan menjadi sebahagian daripada sejarah reggae.
Bob Marley di peringkat antarabangsa
Pada tahun 1970, Bob Marley mengasaskan label rekod yang dikenali sebagai Tuff Gong.
Kemudian di England, The Wailers menerima kontrak serius pertama mereka yang membawa mereka ke seluruh dunia.
"Lebih baik mati memperjuangkan kebebasan daripada menjadi tawanan sepanjang hayat" - Bob Marley
Album pertama Bob Marley adalah Natty Dread. Ketika tempoh hidupnya ini, beliau membuat persembahan di atas pentas bersama Stevie Wonder. Pertunjukan terakhirnya bersama The Wailers juga berlaku ketika itu.
(Stevie Wonder dan Bob Marley)
The Wailers dibubarkan pada tahun 1974, dengan masing-masing tiga ahli utama mengejar kerjaya solo.
13 tahun selepas merakamkan lagu pertamanya iaitu pada tahun 1975, Bob mengeluarkan lagu hit pertama di peringkat antarabangsa berjudul "No Woman, No Cry",
Kepercayaan politik Bob Marley
Lagu-lagu Bob Marley dan persembahan siaran langsungnya merupakan usaha untuk membawa keamanan dan membantu mereka yang memerlukan.
Sebagai contoh, keuntungan dari kerjasama dengan Stevie Wonder disumbangkan kepada Sekolah Salvation Army untuk Orang Buta.
Walau bagaimanapun, apa yang dianggap sebagai landasan muziknya adalah pandangannya yang kuat mengenai agama, politik dan semua isu sosial.
Beliau sangat menentang materialisme dunia Barat dan kawalan pihak berkuasa ke atas orang ramai.
Raja reggae ini ingin menggalakkan semua orang untuk memperjuangkan hak mereka, percaya bahawa mereka lebih berhak, untuk tidak pernah berputus asa atau mempercayai mana-mana ahli politik serta untuk bersatu.
Dan sudah tentu, semua ini sangat dipengaruhi oleh hakikat bahawa beliau hidup dalam kemiskinan dan mengalami ketidakadilan secara terus, membesar ketika Jamaica memperoleh kemerdekaan dan terjersumus ke dalam perang saudara yang ganas.
Sepanjang kariernya, Bob Marley menulis dan menyanyikan lagu mengenai perkauman, pengangguran, ketidaksamaan serta keganasan politik di Jamaica dan di seluruh dunia.
Usaha ini menjadikan beliau sebagai ikon budaya yang berpengaruh dan salah satu artis antarabangsa yang paling memberi inspirasi.
Terselamat dari cubaan bunuh
Pada tahun 1976 ketika berusia 31 tahun, satu cubaan bunuh ke atas Bob Marley berlaku dan individu yang bertanggungjawab tidak pernah ditemukan.
Dalam insiden tersebut, beliau ditembak namun terselamat dan serangan tersebut berlaku 2 hari sebelum satu konsert besar.
Namun, ini tidak menghalangnya daripada berada di pentas di hadapan 80,000 orang dan melakukan apa yang digemarinya, iaitu berkongsi mesejnya dengan dunia melalui muziknya.
Ketika ditanyakan mengapa beliau memutuskan untuk meneruskan konsert walaupun tercedera, Bob Marley menjawab:
"Orang-orang yang cuba berusaha untuk menjadikan dunia ini lebih baik tidak bercuti. Takkan saya nak cuti?"
Bob Marley menghembuskan nafas terakhirnya pada 11 Mei 1981.
Sebab kematian yang sebenarnya adalah kanser kulit (melanoma) dan beliau enggan menjalani rawatan kerana prinsip keagamaan yang dipegang.
Perkara menjadi lebih buruk dalam tempoh 4 tahun sebelum kematian apabila kanser merebak ke otak beliau.
Beliau meninggal dunia pada usia 36 tahun dan dikebumikan di Jamaica. Kata-kata terakhirnya ialah:
"Wang tidak dapat membeli kehidupan."
Legasi dan pengajaran daripada kehidupan Bob Marley
Kehidupan Bob Marley adalah satu contoh untuk mengikut minat anda, mengubah negatif kepadayang positif, generasi yang memberi inspirasi, mempunyai tujuan dalam hidup dan tidak berputus asa dalam menghadapi ketidakadilan.
Bob Marley dipilih sebagai salah seorang penulis lirik terhebat sepanjang masa oleh BBC.
Rolling Stone meletakkan Bob Marley di kedudukan ke-11 dalam senarai 100 Artis Terhebat Sepanjang Masa dan Exodus telah diundi sebagai Album Terbaik Abad Ini oleh Majalah Time pada tahun 1999.
Apabila beliau meninggal, Bob Marley meninggalkan warisan seperti beberapa yang lain.
Falsafah beliau akan hidup selagi muziknya bersama kita dan setiap generasi baru akan mendengar mengenai pemuzik Jamaica ini yang bermula dari bawah dan mengubah dunia dengan seninya.
Rujukan:
1. GoalCast