Oleh pada 20 Apr 2017 kategori

Penjahat dalam filem siri filem 'Fast and Furious' kini biasanya digambarkan sebagai  seorang yang mempunyai kepakaran bidang keganasan siber atau cyber-terrorism, boleh menimbulkan huru-hara hanya dengan menggunakan teknologi kereta yang memandu tanpa pemandu dan kapal selam yang mampu berfikir.

Walaupun semakin lama semakin lari siri Fast and Furious berubah daripada permulannya yang agak sederhana, kisah bagaimana francais filem ini bermula jarang diceritakan; semuanya bermula dengan satu artikel dalam sebuah majalah pada tahun 1998.

BESARKAN TEKS     A-  A+

'Racer X' - tajuk artikel yang terbit pada bulan Mei tahun 1998 dalam majalan berjudul Vibe, adalah hasil tangan seorang jurnalis bernama Kenneth Li, yang secara kebetulan sebelum itu telah terlibat dengan kumpulan perlumbaan haram jalanan dan curi kereta.

Ketika melakukan penyiasatan, Li berjaya diterima masuk menyertai sekumpulan anak muda yang setiap hujung minggu mereka akan menutup lebuh raya secara haram untuk dijadikan trek perlumbaan atau perluncuran. 

Kumpulan ini mempunyai rangkaian besar kerana telah lama ditubuhkan, bermula sebagai kumpulan pelumba haram melibatkan anak muda Asia-Amerika pada awal tahun 90-an di California, sebelum bercambah melibatkan anak-anak muda pelbagai bangsa seperti individu etnik Dominica, Puerto Rico, Itali dan Jamaica yang tinggal di California.

iluminasi fast furious paul walker vin diesel kisah sebalik2

Kenneth Li (kiri) dan Rafael Estevez

Uniknya - walaupun diwakili anak-anak muda, mereka bukannya berlumba menggunakan kereta-kereta biasa yang mudah didapati di California seperti model Chevrolet atau Mustang.

Rata-rata anak-anak muda ini berlumba dalam kereta yang sudah diubah suai dengan pengecas turbo lengkap dengan pemasangan sistem gas pecutan nitrous oxide yang asalnya digunakan untuk memacu kuasa kapal terbang era zaman perang dunia kedua.

Lelaki yang menjadi subjek penting dalam artikel Li bernama Rafael Estevez, individu berusia 30 tahun berbangsa Dominica. 

Seperti ramai anak pendatang ke Amerika Syarikat, Estevez juga tidak dapat lari daripada dipengaruhi budaya popular di sana; jatuh cinta dengan siri televisyen "The Dukes of Hazzard" yang suka memaparkan aksi ngeri kereta melayang di udara dan dua watak utamanya sentiasa diburu polis - tanpa berjaya diberkas.

Artikel Racer X mendapat reaksi positif kerana menggambarkan situasi yang tidak disedari orang ramai, mendedahkan sebuah dunia berbeza yang jarang mendapat pendedahan oleh media.

Ekoran daripada keunikan itulah, hadir beberapa pihak dari Hollywood bertemu Li, menyuarakan minat hendak mengadaptasi artikel Li kepada bentuk filem.

Sebagai seorang anak muda, Li menyifatkan tawaran itu hanyalah gurauan kenalannya. Sehinggalah dia menghubungi seorang ejen yang dikenalinya dan ejen itu mengesahkan artikel tulisan beliau kini sedang hangat menjadi rebutan produser di Hollywood.

Hasil lelongan, hak cipta untuk adaptasi artikel Li kepada filem berjaya diperolehi dengan bayaran 6 angka. Li membelanjakan wang itu untuk membeli sebuah kereta, membeli beberapa barangan lain serta menyelesaikan bayaran yang perlu diselesaikan.

Salah seorang yang tertarik dengan intipati artikel karya Li adalah pengarah Hollywood, Rob Cohen.

Beliau meminta bantuan produser terkenal pada masa itu, Neal H.Moritz untuk menjadi produser, selepas nama Moritz harum ekoran rekod cemerlang berjaya menjadi fenomena di Hollywood menerusi filem "I Know What You Did Last Summer" dan "Cruel Intentions."

Cohen dan Mortiz bersetuju melantik Gary Scott Thompson untuk menulis skrip.

Skrip asal Thompson pada awalnya diberikan judul Racer X sebelum ditukar kepada Redline mendapat maklum balas kurang positif, dikatakan kurang menyerlah. Dialog berada paras minima dengan babak penamat filem berakhir dengan aksi tembak menembak dalam sebuah gudang melibatkan watak utama dan penjahat.

Ekoran maklum balas yang diterima, Thompson mengubah visinya. Dia menggarap kembali watak yang ada sebagai watak anti hero, menukarkan jalan cerita filem itu lebih mirip kepada kisah Romeo and Juliet....dengan kereta. 

Dua watak utama kisah itu iaitu Brian dan Mia bertemu ketika kedua-duanya terlibat dalam sengketa perang perlumbaan antara kumpulan pelumba haram yang berlainan ideologi.

iluminasi fast furious paul walker vin diesel kisah sebalik6

Universal Studios menggemari idea tersebut.

Namun projek ini terpaksa ditangguhkan selepas tragedi pembunuhan di Sekolah Tinggi Columbinemengorbankan 12 orang pelajar dan seorang guru, dibimbangi nakan mencetuskan sentimen berbeza.

'Redline' yang menjadikan seorang penjenayah sebagai watak utama dengan latar belakang kisah hidup yang ganas, dikhuatiri akan mengganggu sensitiviti masyarakat Amerika Syarikat ketika itu.

Bukan sekadar masalah keganasan saja menjadi isu, Universal juga menimbulkan isu yang kurangnya pelakon kulit putih dalam filem tersebut. "Saya fikir idea mereka tidak kena, kerana filem tersebut tentang Los Angeles, berapa orang berkulit putih tinggal di Los Angeles jika kita bercakap mengenai bukan barat Los Angeles?" Akhirnya, Cohen mendapat idea bagaimana hendak meneruskan projek tersebut. Dia merekacipta semula filem Point Break lakonan Patrick Swayze dan Keanu Reeves dengan mengambil elemen polis menyamar menjadi anggota kumpulan kongsi gelap. Oleh itulah dalam filem pertama Fast and The Furious, watak Brian adalah seorang polis samaran.

"Apa yang menghairankan saya adalah kisah yang dipaparkan dalam filem adalah kisah yang saya harap dapat tonjolkan dalam artikel asal saya," kata Li. "Saya sebenarnya sedang cuba menyiasat berkenaan sindiket curi kereta kemudian terserempak dengan kumpulan pelumba itu. Mereka pula ambil cerita saya yang tidak ada kaitan dengan kecurian kereta, lalu dijadikan sebuah filem."

Kisah seperti inilah yang menarik minat Paul Walker yang pernah bekerjasama dengan Rob Cohen dalam filem The Skulls serta berazam mahu mencuba watak seorang pelumba dan polis dalam satu masa. Gementar kerana takut tidak mampu membawa filem tersebut seorangan, Paul meminta satu watak yang akan menyeimbangkan watak dia; lalu watak untuk Vin Diesel bernama Dominic Toretto diwujudkan. Michelle Rodriguez dan Jordana Brewster, dua wanita yang menjadi nadi filem The Fast and The Furious memulakan penggambaran filem tanpa memiliki lesen memandu. Watak untuk Rodriguez diolah semula kerana Rob Cohen gemar lakonan Rodriguez dalam filem Girlfight.

"Apa yang kami cuba lakukan dengan The Fast and The Furious adalah mengambil tema filem western dan menerapkannya dalam unsur urban," kata Cohen. "Kami cuba memperkembangkan tema kesetiaan, pembelotan dan kebebasan. Cuma tiada kuda, kami pakai kereta."

iluminasi fast furious paul walker vin diesel kisah sebalik4

Penggambaran mula berlangsung pada musim luruh tahun 2000 dengan bajet sebanyak USD38 juta. Rob Cohen juga terpaksa membeli lesen untuk menggunakan nama "The Fast and The Furious" dari sebuah filem lain untuk menggantikan nama asal filem iaitu Redline. Universal menjangkakan filem tersebut tidak akan meletup tetapi jangkaan mereka meleset apabila filem pertama itu mengutip lebih USD200 juta sepanjang tempoh tayangan.

iluminasi fast furious paul walker vin diesel kisah sebalik3

Kenneth Li dan Rafael Estevez adalah peminat siri filem itu. Estevez yang kini memiliki sebuah bengkel di Queens, New York dilaporkan mendapat sedikit imbuhan hasil dari siri tersebut, bukan lagi seorang pelumba.

"Sekarang ini, isteri saya memandu lebih pantas dari saya," kata beliau. "Dia marah kalau saya memandu kerana perlahan sangat. Isteri saya suruh saya cepat sikit memandu."

Artikel ini adalah artikel terjemahan dari Telegraph UK




Hakcipta iluminasi.com (2017)