Oleh pada 01 Sep 2020 kategori

Perancangan serta desakan peminat filem adiwira akhirnya berjaya membuahkan hasil, setelah filem 'Justice League' akhirnya akan dikeluarkan semula dalam versi 'Snyder's Cut', mewakili pengarah asal filem tersebut Zack Snyder.

'Justice League' yang keluar di pawagam agak mengecewakan berbanding jangkaan awal pemasarannya; filem itu kelam-kabut. Disebabkan itulah jutaan peminat di seluruh dunia mahukan agar visi sebenar filem tersebut diterbitkan semula dalam terbitan baru dijangka keluar tahun 2021.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Filem dalam bentuk 'versi pengarah' atau 'director's cut' bukanlah satu perkara baru. Tetapi filem yang berubah berbanding versi asalnya disebabkan oleh 'versi pengarah' agak jarang ditemui. Berikut adalah lima filem yang berubah selepas pengarahnya diberikan kuasa menentukan hala tuju filem - selepas filem itu ditayangkan di pawagam.

1. Blade Runner

blade runner final cut

Diterbitkan dalam versi pertama pada tahun 1982, filem klasik sains fiksyen 'Blade Runner' telah mengalami pelbagai jenis versi terbitan - lima semuanya setakat ini!

Versi terakhir filem ini diistilahkan sebagai 'Versi Suntingan Terakhir' diterbitkan pada tahun 2007 melangkaui 'Versi Pengarah' yang telah keluar pada tahun 1992.

Bagaimanapun, versi pengarah yang dikeluarkan bukanlah versi yang melibatkan pengarah sebenar filem itu Ridley Scott, sebaliknya pihak studio melantik seorang pengarah lain bagi melakukan suntingan - berdasarkan kepada nota pengarah asalnya.

Hanya selepas proses mahkamah melibatkan Scott dan studio selesai, barulah Ridley Scott diberikan kebebasan penuh untuk mengawal suntingan melahirkan versi 'Suntingan Terakhir' terbitan tahun 2007 yang setakat ini kekal sebagai satu-satunya versi yang mendapat cop mohor pengarahnya sendiri.

Penambahan beberapa adegan serta suntingan tambahan mengekalkan durasinya tidak banyak berbeza dengan versi awal, dengan hanya perbezaan satu minit durasi filem tersebut ditambah. Walau demikian, banyak adegan yang terpaksa dibuang sebelum itu dimasukkan semula selain daripada beberapa perubahan yang membina misteri utama dalam konteks filem tersebut.

2. Trilogi 'The Lord of the Rings'

aragorn

Secara keseluruhannya, apabila digabungkan kesemua filem dalam trilogi yang sudah diiktiraf klasik ini - durasinya mencecah 11 jam 36 minit berbanding dengan 9 jam 3 minit, dalam versi asal.

Digelarkan sebagai 'versi tambahan' atau 'extended version', ketiga-tiga filem mendapat sentuhan istimewa pengarahnya Peter Jackson yang tidak lagi terikat dengan syarat-syarat tayangan, bebas memasukkan kembali babak-babak yang telah dipotong keluar bagi memenuhi durasi untuk tayangan awal.

Dua filem terakhir iaitu 'The Two Towers' dan 'The Return of the King' menerima tambahan durasi hampir satu jam kedua-duanya, menjelaskan lagi kisah disebalik watak-watak yang ada.

'The Return of the King' khasnya harus diakui lebih lengkap dengan tambahan barunya melibatkan adegan-adegan pertarungan besar yang berlaku, memanjangkan durasinya yang sudah cukup panjang daripada 3 jam 20 minit kepada 4 jam 11 minit.

3. Troy

troy brad pitt

Pengarah Wolfgang Petersen berdepan tekanan studio yang mahukan filem arahannya 'Troy' memaparkan aktor Brad Pitt dan Eric Bana, diklasifikasikan sebagai filem PG-13.

Keperluan untuk menepati tarikh tayangan juga menyebabkan filem ini terpaksa disiapkan pada kadar segera, mengakibatkan banyak perancangan awalnya terpaksa diketepikan.

Ini menyebabkan visi asal filem tersebut diakui oleh Petersen sendiri, tidak menepati citarasa beliau.

Hanya selepas filem tersebut meletup di pawagam, barulah studio terbitannya berani memberikan lampu hijau (dan dana) kepada Petersen untuk menyunting semula filem tersebut dengan penambahan babak-babak penting serta adegan lebih keras - memanjangkan durasinya daripada 2 jam 43 minit kepada 3 jam 16 minit.

4. Daredevil

daredevil affleck

Salah satu filem paling teruk dikecam semasa tayangannya di pawagam, 'Daredevil' yang memaparkan salah satu watak adiwira keluaran Marvel serta memaparkan aktor Ben Affleck pada versi asalnya menghadapi masalah kekangan, disebabkan oleh keperluan untuk menepati syarat tayangan orang awam.

Berbeza dengan filem asalnya yang diklasifikasikan sebagai PG-13, versi pengarahnya pula tidak lagi dibelenggu sebaliknya bebas memecah beberapa sempadan yang ada meletakkan filem itu dalam kategori R atau 'untuk tayangan terhad.'

Lebih 30 minit adegan ditambah, dengan fokus kepada penceritaan diperbaiki serta kisah cinta antara Daredevil dengan Elektra dikurangkan. Pertarungan yang dipaparkan juga bersifat lebih bebas tanpa perlu lagi diselindung atau disembunyikan keganasan yang sedang ditonjolkan.

5. Batman v Superman : Dawn of Justice

bvs batman superman ultimate edition

Sebuah lagi filem yang menampilkan aktor Ben Affleck, filem ini yang sangat ditunggu penulis sungguh menghampakan dalam versi asalnya. Menyumpah penulis dalam pawagam!

Bagaimanapun kekecewaan yang dirasai sedikit terubat selepas menonton versi yang dilabelkan sebagai 'Ultimate Edition' kerana berjaya memperbaiki beberapa kelemahan ketara filem tersebut. Perubahan paling ketara adalah klasfikasinya berubah daripada PG13 kepada R, disebabkan oleh penambahan adegan bercorak ganas yang lebih nyata.

Beberapa plot tambahan yang memperkemaskan jalan cerita juga dilakukan, khasnya melibatkan watak antagonis utama filem ini Lex Luthor. Berbeza dengan versi asalnya yang tidak jelas apa strategi utama penjahat tersebut, 'Ultimate Edition' yang disunting semula memberikan kita penjelasan tentang rancangan sebenarnya.

Walau demikian, versi ini tetap tidak boleh memperbetulkan adegan bagaimana Batman dan Superman boleh berhenti bertumbuk sesama mereka.

"Marthaaa!!?"




Hakcipta iluminasi.com (2017)