Apabila ahli keluarga diraja Britain terpaksa melalui detik-detik cemas berdepan dengan penceroboh istana, sudah pasti berita ini akan menarik perhatian dunia dengan begitu pantas. 

Pada tahun 1982, seorang lelaki dalam lingkungan usia 30an yang bernama Michael Fagan telah ditangkap sebanyak 2 kali di dalam Buckingham Palace, istana utama diraja Britain, selain daripada Windsor Castle.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Pada kali pertama ditangkap, dia sedang berkeliaran di dalam bilik yang digunakan oleh Pricess Diana, dan dia juga dituduh cuba untuk duduk di atas kerusi takhta Queen Elizabeth II. 

Melepasi dinding luar istana setinggi 14 kaki (bersamaan 4.3 meter) yang mempunyai paku dan kawat berduri, Fagan berjaya menyelinap masuk untuk kali kedua. Kali ini, dia telah memasuki bilik tidur Queen Elizabeth II. Insiden ini sehingga hari ini dikenali sebagai antara kes pencerobohan istana paling berisiko buat keluarga diraja di zaman moden ini. 

Kisah The Boy Jones Yang Mencuri Seluar Dalam Queen Victoria

ratu victoria ketika muda dan tua

Sebelum Fagan, terdapat beberapa orang lagi penceroboh yang berjaya menyelinap masuk ke dalam Buckingham Palace. Yang terkenal antara mereka adalah 'The Boy Jones'.

Dia dianggap sebagai seorang penghendap selebriti (celebrity stalker) ketika abad ke-19 yang berjaya memecah masuk ke dalam istana tersebut sebanyak beberapa kali, yang memaksa pihak berkuasa untuk mengambil langkah berjaga-jaga dalam usaha untuk melindungi ratu yang berkuasa pada ketika itu, iaitu Queen Victoria. 

Ketika pertama kali ditangkap pada tahun 1838, Boy Jones hanya berusia 14 tahun. Yang paling mengejutkan adalah, dia ditemui mencuri seluar dalam kepunyaan Queen Victoria (ketika itu berusia 19 tahun, bukan 91 tahun ye), dan menyembunyikannya di dalam seluarnya. Adakah dia seorang yang gila? Adakah dia seorang penjenayah?

Beberapa sumber mengatakan bahawa dia sedar dan jelas akan tindakannya itu. Tindakan tersebut tidaklah dilihat sebagai berniat jahat, ingin menyantau ratu atau sebagainya, namun ianya lebih kepada sikap aneh dan pelik Boy Jones. Hari-harinya sebagai penghendap ratu akan menghantui dirinya seumur hidup. 

Tidak terdapat sebarang rekod mengapa Jones menjadi obses dengan Queen Victoria, yang merupakan Queen of the United Kingdom of Great Britain and Ireland daripada tahun 1837 sehinggalah kemangkatannya pada tahun 1901.

Boy Jones Terus Menerus Menceroboh Istana Buckingham

istana buckingham di england

Jones dikatakan sebagai seorang yang agak hodoh dan selekeh, dan jarang sekali mandi. Terdapat sumber yang mengatakan bahawa pekerjaan Jones adalah sama ada sebagai seorang penyapu cerobong (chimneys) ataupun pengutip barang buangan di Sungai Thames. 

Keselamatan di sekitar kediaman diraja itu telah dilaporkan sedikit longgar dan tidak teratur ketika di awal pemerintahan Queen Victoria. Orang mabuk dan pengemis kerap kali ditemui tidur di halaman kediaman ratu tersebut, terlalu hampir dengan istana. Dindingnya juga mudah untuk dilepasi. 

Mungkin disebabkan keselamatan yang longgar inilah yang membolehkan Jones mudah keluar masuk melalui pintu dan tingkap yang dibiarkan terbuka di aras bawah istana tersebut. Dalam sebuah kejadian lain, Jones telah ditangkap mencuri daripada dapur istana. Dia juga telah dituduh cuba menduduki kerusi takhta sebanyak 2 kali. Dia telah diberi gelaran Boy Jones oleh para pekerja istana.  

budak curi seluar dalam queen victoria

Setiap kali dia ditemui berkeliaran di dalam istana, Jones akan diserahkan kepada pihak polis. Pihak berkuasa berasa khuatir dengan aktiviti Jones. Apa lagi yang telah dilakukannya semasa berada di dalam istana? Sejauh manakah pengetahuannya tentang istana dan isinya? Apa lagi yang telah dia lihat? Keadaan ini sangat merisaukan semua pihak. 

Sesetengah sumber juga ada mengatakan bahawa Jones telah mencuri dengar perbualan antara Ratu Victoria dengan menteri-menterinya. Remaja lelaki itu turut berkesempatan mencuri beberapa barangan milik baginda, antaranya termasuklah portret baginda, sepucuk surat dan sebuah koleksi kain linen. 

Penangkapan Boy Jones Dan Hukuman Terhadapnya

boy jones curi spender queen victoria

Selepas pertama kali ditangkap, Jones dilepaskan dengan amaran. Ketika percubaan untuk menceroboh yang lain, penguatkuasaan keselamatan diperketatkan lagi, di mana dia beberapa kali ditangkap dan dihukum.

Antara hukuman yang diterimanya termasuklah dijadikan sebagai buruh paksa selama 3 bulan pada Disember 1840. Hukuman tersebut adalah atas kesalahan yang sama, di mana dia ditemui sedang bersembunyi di bawah sebuah sofa di dalam bilik bersebelahan dengan bilik tidur ratu United Kingdom itu. 

Queen Victoria turut menceritakan kejadian menakutkan itu di dalam diarinya, di mana baginda terkejut bagaimana penceroboh tersebut sungguh hampir dengan bilik tidurnya. Selepas hukuman tersebut, Jones tidak langsung berasa menyesal. 

Dia sekali lagi menyelinap masuk ke Buckingham Palace. Penat dengan tindakan Jones, pihak berkuasa tidak menghukumnya. Sebaliknya, mereka menjemput Jones untuk menyertai Tentera Laut Diraja supaya dengan cara ini, dia akan sentiasa berada jauh daripada London, terutama sekali jauh daripada kediaman Queen Victoria. Beliau menolak tawaran tersebut. 

Boy Jones Dibuang Negeri Sebanyak Beberapa Kali

plak peringatan buat edward jones the boy jones

Akhirnya, Jones telah dibuang negeri ke Brazil, di mana dia diletakkan di dalam sebuah penjara terapung selama 6 tahun. Kapal penjara tersebut ternyata tidak menginsafkan Jones. Tidak tahu bagaimana, dia berjaya pulang semula ke England, sebelum sekali lagi dibuang negeri ke Australia. 

Di tanah Down Under, Jones bekerja sebagai vendor, dan dia berjaya mengumpul wang dan sekali lagi pulang semula ke England. Sekali lagi, dia dihantar semula ke Australia, sebelum bekerja sebagai seorang juruhebah di Perth. Kisah Jones diketahui oleh rakyat Australia, yang kerap kali dijadikan bahan jenaka dalam kalangan rakyat tempatan, sebagai mana yang berlaku di England. 

boy jone dihukum penjara di brazil

Jones berasa sangat tertekan dengan keadaan tersebut, dan membuat keputusan untuk menukarkan namanya, menjadi Thomas Jones. Walaupun sudah mempunyai nama baharu, kisahnya tidak lekang di mulut orang ramai, dan kisahnya kekal hingga ke hari ini. 

Jones mempunyai tabiat minum arak yang teruk, yang menjadi punca kematiannya pada tahun 1893. Pada suatu ketika, dia terlampau mabuk dan jatuh daripada sebuah jambatan dan meninggal dunia. Kisahnya ini memberi inspirasi kepada sebuah filem yang diterbitkan pada tahun 1950, iaitu The Mudlark.

Sumber & Bacaan Tambahan:

  1. bbc.com
  2. timeline.com
  3. thevintagenews.com
  4. historyextra.com



Hakcipta iluminasi.com (2017)