Seorang penari eksotik dari Belanda yang dikenali sebagai "Mata Hari" mempunyai reputasi sebagai seorang perisik wanita paling bahaya di dunia. Dia didakwa telah menyalurkan maklumat rahsia kepada pihak musuh dan bertanggungjawab atas kematian 50,000 anggota tentera Sekutu. Bagaimana dia melakukannya? Berikut adalah kisah mengenai Mata Hari.
Kisah awal Mata Hari
BESARKAN TEKS A- A+
Mata Hari dilahirkan sebagai Margaretha 'Gretha' Zelle pada tahun 1876 di Leeuwarden, Belanda, dalam sebuah keluarga yang kaya. Bapanya, Adam Zelle, adalah pemilik kedai topi dan pelabur dalam industri minyak.
Ketika Gretha meningkat remaja, bapanya telah jatuh bankrap kerana gagal dalam pelaburan dan bercerai dengan ibunya. Apabila ibunya meninggal dunia, Gretha telah dihantar untuk tinggal bersama bapa saudaranya.
Bukan sahaja melalui zaman kanak-kanak yang sukar, Gretha juga gagal ketika percubaannya menjadi seorang guru pelatih tadika. Pada usia 18 tahun, dia telah menerima tawaran satu iklan di akhbar oleh Kapten Tentera Belanda, Rudolf MacLeod, yang mencari calon isteri.
Mata Hari dan suaminya, Rudolf MacLeod
Gretha kemudian berkahwin dengan Rudolf di Amsterdam dan mereka berpindah ke Tanah Jawa pada tahun 1895. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua orang anak iaitu Norman-John dan Louise Jeanne.
Walaupun perkahwinan itu memberikan Gretha jaminan kewangan tetapi dia tidak bahagia. Suaminya yang 20 tahun lebih tua adalah seorang pemabuk dan kaki pukul. Gretha pernah meninggalkan suaminya itu lalu mempelajari kebudayaan Indonesia dan menyertai kumpulan tarian tempatan.
Nama artistik Mata Hari
Pada tahun 1897, Gretha menulis sepucuk surat kepada saudara-maranya di Belanda dan menandatangani surat itu dengan nama 'Mata Hari'. Nama yang diambil dari perkataan Melayu itu kemudian menjadi nama artistiknya.
Dia pernah kembali kepada Rudolf tetapi suaminya itu masih dengan sifat pemabuk dan suka mendera. Anak-anaknya pula mengalami masalah kesihatan yang serius. Anak lelakinya, Norman-John meninggal dunia ketika berusia dua tahun.
Mereka kemudian berpindah semula ke Belanda tetapi pasangan itu bercerai pada tahun 1902 dan Gretha diberi hak penjagaan Louise Jeanne. Rudolf yang diperintahkan untuk memberikan wang saraan anak tidak pernah berbuat demikian.
Tanpa bantuan kewangan yang cukup dan pekerjaan yang begitu terhad untuk wanita pada masa itu, Gretha tidak mempunyai banyak pilihan. Dengan berat hatinya Gretha terpaksa menyerahkan Louise Jeanne dalam jagaan bapanya sebelum dia bertolak ke Paris.
Setibanya di ibu negara Perancis, Gretha cuba menjana pendapatan dengan mengajar piano dan bahasa Jerman. Dia juga menjadi model kepada pelukis-pelukis di Montmartre, Paris, kerana lebih menguntungkan. Dari situlah dia dapat mendapat kenalan dalam bidang teater.
Mata Hari, Puteri dari Jawa
Pada awal 1900, perkara-perkara dari Asia menjadi trend di Paris dan ia adalah masa yang sesuai untuk watak artistik Gretha. Ketika membuat persembahan, Gretha menggambarkan Mata Hari sebagai seorang Puteri Jawa. Buat pertama kalinya, dia menanggalkan pakaiannya semasa membuat persembahan dalam sebuah bar di Montmartre.
Watak artistik ciptaannya itu menjadi bualan di seluruh Paris dengan cepat. Mata Hari menjadi begitu terkenal sehingga beratus-ratus gambar bogelnya tersebar di seluruh Eropah. Gretha tidak menyedari bahawa watak Mata Hari yang mengangkatnya itu juga akan menjadi kejatuhannya.
Mata Hari juga sering berfoya-foya dan menghabiskan masa dengan lelaki-lelaki kaya seperti pegawai bank, peguam, ahli politik dan banyak lagi. Pada tahun 1905, dia berada di kemuncak kejayaannya apabila melakukan persembahan di sekitar Eropah seperti Madrid, Monte Carlo, dan Vienna.
Pada tahun 1910, populariti bintang itu semakin menurun dan tarian eksotiknya tidak lagi unik kerana ramai peniru Mata Hari muncul di Moulin Rouge, sebuah rumah kabaret terkenal di Paris.
Ketika Perang Dunia Pertama tercetus pada musim panas tahun 1914, Mata Hari melakukan beberapa persembahan di sekitar Berlin, Jerman dan Den Haag, Belanda. Persembahan terakhirnya adalah pada tahun 1915.
Pelacur kelas atasan dan perisik dua muka
Walaupun kerjayanya sebagai penari telah tamat, kerjayanya sebagai pelacur masih lagi berjalan. Hubungannya dengan ahli politik dan pegawai-pegawai tentera membolehkan Mata Hari mengembara dengan mudah. Namun, pergerakannya itu menarik perhatian pihak berkuasa Perancis.
Namun, Mata Hari yang tidak lagi membuat persembahan mengalami masalah kewangan untuk menampung kehidupannya yang mahal. Seorang Konsulat Jerman yang juga pelanggannya, Jeneral Carl H. Cramer, mencadangkan dia menjadi ejen perisik Jerman pada tahun 1915.
Cramer memberikan bonus sebanyak 20,000 francs kepada Mata Hari. Wanita itu juga diberi kod nama perisik "H21". Arahannya adalah mudah, dia hanya perlu meneruskan tugasnya sebagai seorang pelacur kelas atasan dan mendengar rahsia perang daripada pegawai tentera Inggeris dan Perancis.
Pada masa yang sama, Mata Hari telah jatuh cinta dengan seorang juruterbang Rusia yang berkhidmat dengan Perancis iaitu Kapten Vadim Maslov. Pada tahun 1916, selepas pesawat Maslov ditembak jatuh, Gretha melawat kekasihnya di hospital.
Ketika di hospital, dia dipintas oleh agen risikan Perancis yang mengugut Mata Hari untuk menjadi perisik mereka sekiranya dia ingin terus berjumpa dengan kekasihnya itu. Kini, Mata Hari telah menjadi ejen perisik talam dua muka.
Konspirasi kambing hitam
Sebelum Perang Dunia Pertama, Mata Hari pernah membuat persembahan untuk Putera Mahkota Wilhelm iaitu anak sulung kepada Raja Jerman, Kaiser Wilhelm II. Pihak Perancis percaya Mata Hari dapat menggoda Putera Wilhelm untuk mendapatkan maklumat ketenteraan dan menawarkan habuan yang besar sekiranya Mata Hari berjaya.
Pada akhir tahun 1916, Mata Hari meminta bantuan seorang tentera laut Jerman, Major Arnold Kalle, untuk mengatur perjumpaan dengan Putera Wilhelm. Dia memberikan maklumat rahsia kepada Kalle sebagai pertukaran.
Malangnya, kapal yang dinaiki Mata Hari ditahan pihak berkuasa selepas berjumpa dengan Kalle. Dia disoal siasat di Hotel Savoy dan mengaku bekerja sebagai perisik Perancis.
Seperti suatu konspirasi, nasib Mata Hari semakin malang. Pada Januari 1917, Major Kalle sengaja menghantar mesej-mesej radio yang mudah dinyahkodkan kepada Berlin dan memberitahu bahawa Mata Hari adalah perisik Jerman bernama samaran H21.
Mara Hari ketika ditangkap pihak berkuasa Perancis
Seperti yang dirancang, mesej itu dengan mudah berjaya dipintas oleh tentera Perancis. Kini, mereka tahu bahawa perisik mereka juga adalah perisik Jerman bernama H21.
Ketika pulang ke Paris pada 13 Februari 1917, Mata Hari ditahan di bilik hotelnya dan dipenjarakan di Penjara Saint-Lazare. Dia dibicarakan pada 24 Julai atas tuduhan menjadi pengintip Jerman dan mengakibatkan kematian puluhan ribu tentera.
Ciuman kepada pasukan penembak
Mata Hari mengaku menerima 20,000 francs untuk menjadi perisik Jerman tetapi dia hanya membekalkan maklumat remeh sahaja kerana dia lebih setia kepada Perancis yang dianggap sebagai negaranya sendiri.
Mata Hari sebelum menjalani hukuman mati
Namun, pihak pendakwa raya Perancis tetap menganggapnya bersalah dan dijatuhkan hukuman mati. Pada 15 Oktober 1917, Mata Hari dibawa untuk ditembak pasukan penembak. Dia menolak untuk memakai penutup mata dan memberi ciuman dari jauh kepada penembak-penembaknya.
Tidak dapat dipastikan sama ada Mata Hari benar-benar bersalah atau menjadi kambing hitam Perancis yang memang banyak melakukan kesilapan ketenteraan ketika itu sehingga mengorbankan ramai anggota tenteranya sendiri. Walaupun telah mati lebih daripada 100 tahun yang lalu, kisah Mata Hari masih menjadi bualan sehingga hari
Rujukan:
1. Mata Hari - Perisik yang menjadi kambing hitam
2. Adakah Mata Hari sebenarnya seorang perisik?
3. Penari Eksotik yang menyebabkan kematian 50,000 tentera Perancis