Legenda petinju Mike Tyson dan kisah-kisah menarik berkenaan beliau kerap kali dikongsikan dan antara yang paling popular adalah berkait dengan tindakan beliau menggigit telinga seterunya Evander Holyfield sehingga putus.
Kami pernah menerbitkan sebuah artikel berkait dengan jatuh bangun beliau sebagai seorang petinju profesional serta individu-individu yang berpengaruh dalam karier beliau. Walau bagaimanapun, dalam artikel kami - kami tidak menceritakan tentang satu insiden mengerikan yang berlaku antara Mike Tyson dengan seorang lagi selebriti terkenal dunia, aktor kacak Brad Pitt.
BESARKAN TEKS A- A+
Kenapa kami kata mengerikan? Jom kami ceritakan.
Perkahwinan 3 bulan usia
Sekitar era 80-an, nama aktor Brad Pitt belum dikenali seperti sekarang ini. Kerjayanya juga terumbang-ambing dengan hanya ditawarkan lakonan watak-watak sampingan dalam beberapa siri televisyen.
Bagaimanapun, berbekalkan wajah yang kacak - wanita sudah pastilah mudah jatuh hati dengan beliau. Itulah yang diceritakan oleh Mike Tyson, berlaku sekitar tahun 1989 apabila isterinya ketika itu, Robin Givens yang didapati menjalinkan hubungan sulit dengan Pitt bekas kekasihnya, semasa mereka masih berkahwin.
Tyson dan Givens telah berkahwin pada bulan Mei 1988, namun selepas keguguran kandungan pertama mereka - pasangan itu mula renggang dan merancang untuk bercerai. Givens menyifatkan Tyson adalah seorang yang pemarah dan ganas, sementara Tyson pula menuduh Givens mengahwininya hanya kerana duit.
Perkahwinan mereka berdua berakhir di mahkamah pada bulan Februari 1989, selepas mahkamah selesai mendengar keterangan kedua-duanya. Dalam sebuah buku yang merekodkan perjalanan hidup Tyson yang terbit pada bulan Julai tahun yang sama, ada dicatatkan bagaimana Tyson mengaku pernah menumbuk isterinya akibat tekanan.
Dia juga menyifatkan tumbukan itu, merupakan tumbukan paling memuaskan hati yang pernah dia lepaskan. Hasil perceraian mereka berdua, Tyson dilaporkan perlu membayar pampasan sebanyak $10 juta kepada bekas isterinya.
Jadi apa kaitannya dengan Brad Pitt?
Brad Pitt si mata keranjang
Semasa kedua-dua pasangan masih tinggal bersama dan sedang menguruskan proses perceraian, berlaku satu kejadian yang tidak disangka berlaku dan kisah ini hanya diceritakan pada tahun 2012, dalam satu temuramah bersama sebuah rancangan temubual sukan, In Depth with Graham Bensinger.
Bensinger yang menemuramah Tyson berjaya menanyakan satu soalan berkaitan desas-desus itu, membuatkan Tyson menceritakan secara jujur tentang insiden berkaitan Brad Pitt. Ketika kedua-duanya perlu hadir ke mahkamah pada satu hari, Tyson yang pulang mendapati isterinya dan Pitt sedang memadu asmara di atas katil isterinya (mereka sudah tidur berasingan).
Kaget melihat apa yang berlaku, Pitt dan Givens terpaksa berhenti daripada terus 'beraksi' memandangkan suaminya yang masih sah ketika itu, seorang juara tinju dunia paling mahsyur ketika itu - berada di hadapan mereka.
Pitt dikatakan menggeletar serta hilang kawalan diri, gementar agaknya ditangkap berselingkuh dengan isteri orang - apatah lagi isteri Mike Tyson.
Bagaimanapun, nasib Brad Pitt baik hari itu kerana Tyson tidak bertindak menghadiahkan beberapa das penumbuk ke muka kacaknya, sebaliknya hanya berdiri kaget dengan muka bersalah bercampur cuak, berdepan Tyson yang berang. Tidak diketahui kenapa Tyson tidak mengganas hari itu.
Cerita berbeza daripada isteri curang
Kisah yang diceritakan oleh Robin Givens berkenaan insiden ini sedikit berbeza. Dalam temubual pada bulan Julai tahun 2019 selepas lama berdiam diri daripada memberikan komen berkenaan dakwaan hubungannya dengan Brad Pitt - Givens mengakui pada hari itu memang Brad Pitt ada bersamanya.
Tetapi dia menafikan dakwaan Tyson bahawa kedua-duanya ditangkap di atas ranjang, sebaliknya mempertahankan Pitt, mendakwa bahawa jika insiden itu benar-benar berlaku, Brad Pitt pasti berani berhadapan dengan Tyson. Kami sedikit skeptikal dengan dakwaan ini. Dia Mike Tyson kot! (memerli secara tersirat, Mike pernah mengalami masalah ketagihan dadah)
Sehingga kini Mike Tyson menyifatkan dia tidak lagi berasa marah dengan Brad Pitt, atas apa yang telah berlaku namun tetap menyalahkan Pitt; ekoran campur tangannya dalam urusan rumah tangga mereka ketika itu.
Bagi Brad Pitt pula - kariernya mula meningkat selepas membintangi filem 'Thelma and Louise' pada tahun 1991, tetapi perangai kasanovanya seakan tidak berubah walaupun mengahwini ramai wanita berstatus bintang terkenal.
Perkahwinannya dengan Jennifer Aniston berakhir selepas Pitt dan pelakon terkenal Angelina Jolie, menjalinkan hubungan sulit. Angelina Jolie kemudiannya mengalami nasib serupa, selepas Brad Pitt ditangkap menjalin hubungan dengan pelakon cantik Marion Cotillard walaupun sudah hidup bersama dengan seorang pelakon Perancis, Guillaume Canet. Mike Tyson pula sehingga kini selamat berkahwin dengan isterinya yang ketiga, seorang wanita bernama Lakiha Spicer sejak tahun 2009.
Begitulah kisahnya bagaimana Brad Pitt hampir dibelasah Mike Tyson dan sehingga kini, sekalipun Brad Pitt tidak pernah membuka mulut bagi mempertahankan dirinya dalam isu ini.