Sewaktu kecil, kita pasti pernah mendengar kisah-kisah daripada ayah atau datuk kita bagaimana sukarnya mereka hendak ke sekolah. Ada yang terpaksa berjalan jauh, ada yang tidak berkasut, ada yang terpaksa melalui sawah padi dan sebagainya.
Para pelajar zaman sekarang ternyata sangat beruntung. Mereka tidak perlu bersusah-payah ke sekolah kerana biasanya ibu bapa yang akan menghantar mereka sehingga di hadapan pintu pagar sekolah. Selain itu, ada juga yang berbasikal atau menaiki van sekolah.
BESARKAN TEKS A- A+
Walau bagaimanapun, kesenangan seperti ini tidak dapat dinikmati oleh para pelajar di perkampungan Atule'er yang terletak di Sichuan, China. Keadaan geografi tempat tinggal dan sekolah mereka menyebabkan para pelajar terpaksa turun dan naik tangga daripada akar kayu setinggi 800meter.
Kedudukan geografi yang sangat mencabar
Perkampungan yang berusia 200 tahun ini terletak di kawasan berbukit bukau pada ketinggian 799 meter atau 2624 kaki. Kesuburan tanah disini membolehkan para penduduk untuk bercucuk tanam tumbuhan-tumbuhan dan buah-buahan.
Walau bagaimanapun, satu-satunya sekolah berhampiran kampung ini terletak di bawah bukit ini. Ini menyebabkan para pelajar tiada pilihan selain terpaksa mengharungi perjalanan yang sangat mencabar untuk ke sekolah.
Dianggarkan terdapat kira-kira 15 orang pelajar daripada kawasan perkampungan ini yang terpaksa mengharungi perjalanan mencabar selama 2 jam. Ini termasuklah pelajar termuda yang hanya berumur 6 tahun.
Menyedari akan risiko ini, kebiasaannya para pelajar ini akan menetap di sekolah tersebut selama dua minggu sebelum pulang ke rumah. Ianya umpama mereka berada di sekolah berasrama kerana terpaksa berjauhan dengan keluarga.
Tangga semulajadi daripada akar kayu
Perjalanan turun dan naik ke sekolah bukanlah mudah. Malah, satu-satunya jalan untuk ke sekolah adalah melalui tangga semulajadi yang terdiri daripada akar-akar kayu. Keadaan akan menjadi sukar sekiranya cuaca hujan yang akan menjadikan trek semakin licin dan merbahaya.
Bagi memantau dan membantu para pelajar ini, kebiasaannya mereka akan turut ditemani ibu bapa pelajar yang akan bergilir-gilir menemani para pelajar ini. Malangnya, inisiatif ini masih tidak dapat megurangkan secara total risiko yang ada pada trek ini.
Menurut rekod, 8 orang penduduk daripada kampung ini telah terkorban sewaktu melalui trek ini dalam tempoh 2 tahun kebelakangan ini. Walau bagaimanapun, kes-kes kematian ini tidak menghalang penduduk menggunakan laluan ini memandangkan ianya satu-satu jalan yang ada untuk mengakses ke kawasan perkampungan ini.
Perhatian daripada kerajaan China
Kisah para pelajar ini akhirnya mendapat perhatian masyarakat dan kerajaan China apabila siaran Beijing News telah memaparkan beberapa gambar para pelajar dari perkampungan ini memanjat tangga akar kayu ini. Ianya turut menimbulkan simpati orang ramai yang khuatir dengan keselamatan para pelajar ini.
Akhirnya, kisah ini berjaya menarik perhatian pihak pemerintah dan kerajaan telah memberi bantuan untuk pembinaan tangga daripada besi yang akan memudahkan perjalanan penduduk kampung untuk turun naik daripada kawasan tempat tinggal mereka.
Kos keseluruhan pembinaan tangga besi ini dianggarkan sekitar $150,000 dan kerja-kerja pembinaan ini sangat mencabar memandangkan bentuk muka bumi kawasan ini yang sangat curam. Pembinaan tangga besi ini juga menggunapakai sekitar 1500 paip besi untuk pembinaan keseluruhan tangga ini.
Bagi penduduk kampung, mereka sememangnya bersyukur di atas pembinaan tangga besi ini. Tangga ini tentunya akan memudahkan kira-kira 400 orang penduduk di kampung ini untuk turun dan naik setiap minggu terutamanya untuk memasarkan produk hasil tani mereka di pasar yang berdekatan.
Malah, pembinaan tangga ini juga akan memudahkan akses dunia luar ke kawasan perkampungan ini, seterusnya dijangka akan menggalakkan lebih ramai pelancong berkunjung ke kawasan tempat tinggi ini untuk menikmati pemandangan yang menarik dari puncak.
Persoalannya, sanggupkah anda menaiki tangga besi setinggi 800 meter ini? Bagi yang gayat, mungkin anda harus melupakan keinginan ini.
Kredit: