Penulisan ini ditulis saudara Mizra Hilmi di laman Facebook beliau dan pihak iluminasi mendapat kebenaran untuk mengulang siar penulisan ini untuk manfaat bersama.
Penulisan ini telah disunting bagi memudahkan pembacaan.
Nur Ain Jannah binti Mohamad Zakir (1998-2018)
Coretan ini saya nukilkan atas amanah yang saya terima dari ayah arwah Nur Ain Jannah.
BESARKAN TEKS A- A+
Ayah Ain mohon saya tulis kisah ain agar ia menjadi pendorong semangat khusus buat rakan-rakan Ain di jabatan geografi UM, dan amnya untuk semua.
Hari ini saya dan dua orang rakan dari hal ehwal pelajar UM ke Kuantan untuk ziarah takziah dan hulurkan sumbangan buat keluarga Ain. Kehadiran kami disambut oleh kedua ibu bapanya dengan senyuman sayu.
Tiada perabot di bahagian ruang tamu melainkan dua bidang tikar terhampar.
Kehidupan keluarga Ain amat sederhana. Ayah dan ibu Ain bercerita bersilih-ganti apa yang Ain lalui. Kehidupan keluarga ini mula berubah semasa Ain di sekolah menengah.
Ain mula tidak dapat makan dan minum. Perut Ain mula membesar. Setelah melalui beberapa prosedur, Ain telah didiagnos menghidap kanser usus.
Masih ke sekolah walaupun usus dibuang
Sebahagian usus telah dibuang dan beliau melalui rawatan kemoterapi. Walau masih dalam rawatan, beliau tetap ke sekolah.
Pada tahun berikutnya pembedahan di bahagian usus dibuat sekali lagi kerana parut di bahagian yang dibedah melekat dan usus tersumbat.
Semangat untuk Ain belajar tidak pudar. Semasa di tingkatan 5, sekali lagi perut Ain membesar. Ain disahkan mengalami kanser di bahagian rahim.
Sekali lagi Ain melalui prosedur kemoterapi dan pembedahan. Ain tidak dapat menumpukan sepenuh perhatian untuk peperiksaan SPM.
Beliau tekad untuk meneruskan pelajaran dan menduduki STPM. Keputusan dibuat oleh Ain ini memberi tamparan hebat kepada rakan-rakan sekolahnya yang putus asa kerana keputusan SPM yangg kurang memuaskan.
Akhirnya rakan-rakan rapat Ain turut menduduki STPM.
Ain berjaya mendapat keputusan yang cemerlang dan menerima tawaran ke UM dalam bidang Geografi.
Ayahnya berat untuk lepaskan Ain, tapi Ain merayu kerana Melanjutkan pelajaran di UM adalah harapannya.
Setelah sebulan melalui kehidupan sebagai seorang mahasiswi, Ain terpaksa kembali pulang ke pangkuan keluarga kerana mengalami batuk yang teruk dan sukar untuk bernafas.
Disahkan menghidap kanser kedua
Setelah melalui beberapa prosedur, Ain sekali lagi disahkan menghidap kanser, kali ini di bahagian paru-paru pula. Sebahagian besar paru-paru Ain di bahagian kanan telah diserang kanser.
Hanya bahagian sebesar 50 sen sahaja yang tinggal.
Ain tidak dapat melalui rawatan kemoterapi kerana keadaannya yang kurang sihat. Hampir 2 bulan Ain tidak dapat baring kerana setiap kali baring beliau akan mula tidak dapat bernafas.
Beliau hanya duduk menunduk beralaskan papan para yang dibuat khas oleh ayah sebagai tempat berpaut tangan. Itulah posisi yang paling selesa untuk Ain selama hampir 2 bulan.
Dijemput ilahi
Pada 26 November 2018 jam lebih kurang 9.30 pagi, apa yang dilalui oleh Ain telah tiba ke penghujungnya. Rahmat Allah telah menjemput Ain bertemu Yang Maha Kuasa.
Ibu dan Ayah Ain masih sukar menerima pemergian anak tunggal mereka, kerana tatkala ajal datang menjemput Ain, mereka berdua berada di Hospital Kuala Lumpur kerana ibu Ain perlu menerima rawatan radioterapi.
Ibu Ain sedang bertarung dengan kanser payudara.
(Gambar sekadar hiasan)
Perasaan hiba yang ibu dan ayah Ain lalui hanya Allah yang maha mengetahui. Ketika mereka tiba di rumah, jenazah telah diuruskan dengan sempurna.
Hanya mata Ain masih belum tertutup rapat. Ayah yang selama ini menguruskan Ain menyempurnakan segalanya. Mata Ain ditutup oleh ayah, dan kain kapan diikat rapi.
Pemergian Ain merupakan kehilangan besar buat para guru dan rakan sekolahnya. Ain merupakan inspirasi besar buat mereka serta jiran tetangga.
Para doktor dan jururawat Hospital Kuantan yang selama ini merawat Ain turut hadir memberi penghormatan terakhir. Ain telah pergi buat selama-lamanya.
Semangat untuk teruskan kehidupan dan mendakap kejayaan membuatkan mereka sebak dan menitiskan air mata.
(Gambar sekadar hiasan)
Ain dikebumikan tatkala azan Asar berkumandang. Pengebumian Ain diiringi awan mendung dan hunjan renyai-renyai. Berduyun insan2 yang terkesan dengan pemergian insan tabah ini memenuhi tanah perkuburan.
Pemergiannya amat istimewa, dalam jihad menuntut ilmu.
Di akhir perbualan, ibu Ain menyapa saya.
“Ustaz, sampai hari ini saya masih tidak percaya anak saya dah tak ada. Setiap kali saya ke pusara Ain, hati saya kuat meminta untuk digalikan semula kubur, supaya dapat saya sahkan sekali lagi Ain benar-benar dah tak ada”
Saya tahan rasa ketat dan sebak di hati.
“Akak, Ain sedang tunggu ibu dan ayahnya di tempat yang istimewa di sana. Cuma perkara pertama yang akak kena buat supaya dapat bersama-sama dgn Ain adalah akak kena redha atas ketentuanNya. Banyakkan sedekah atas nama Ain. Insya Allah akak, Allah tak akan sia-siakan hambanya yang bertakwa”.
Semoga Allah kurniakan ketabahan buat ayah Ain dan kesembuhan buat ibu Ain. Semoga Ain ditempatkan bersama-sama para solehin dan mukminin.