Di atas padang, Rio Ferdinand dengan tenang memerangkap pihak lawan.
Beliau bukanlah seorang pemain pertahanan yang gemar melakukan bentesan minit terakhir untuk menyelamatkan situasi cemas. Permainannya lebih kepada bagaimana beliau membaca permainan dan memahami pihak lawan secara individu. Sebagai tulang belakang penting kepada pasukan Manchester United, dia perlu jadi pemain paling tenang di atas padang.
BESARKAN TEKS A- A+
Kini hidup Rio Ferdinand berubah 100% selepas bersara dari karier bolasepak yang dipenuhi dengan piala dan memori kejayaan. Menguruskan tiga orang anak yang dinamakan Lorenz, Tate dan Tia menjadi rutin yang mampu membuatkan dia, seorang legenda pasukan Manchester United yang amat terkenal dengan aksi tenang mempertahankan gawang gol, kelam kabut.
Ini kerana dia perlu meneruskan hidup sebagai bapa dan juga memenuhi tanggungjawab isterinya, Rebecca yang meninggal akibat kanser pada tahun 2015.
Rebecca Ellison merupakan isteri Rio Ferdinand dan ibu kepada tiga anak mereka. Perkahwinan gembira yang diharapkan berpanjangan terhenti apabila Rebecca yang pada ketika itu baru berumur 34 tahun, meninggal kerana serangan kanser payu dara. Rebecca adalah tunjang kepada keluarga mereka, bertanggungjawab sebagai pengurus yang perlu mempersiapkan segala-galanya di rumah.
"Saya bangun tidur selepas kematian Rebecca dan saya baru menyedari yang saya kini bertanggungjawab untuk menyiapkan anak-anak. Itu kali pertama saya benar-benar cemas menghadapi tanggungjawab besar menjadi bapa dan juga ibu kepada anak-anak kami," kata Rio Ferdinand.
Pada awal 2015, Rio dan Rebecca mendapat pengesahan dari pihak hospital. Kanser yang menyerang payu dara Rebecca merupakan sejenis kanser yang sangat agresif dan besar kemungkinan, isterinya tidak akan selamat. 10 minggu kemudian, isterinya meninggal dunia.
"Beberapa minggu awal, saya terdesak. Semua perkara saya mengharapkan isteri saya ada. Ketika itu barulah saya sedar yang sebagai suami, saya sedar apa yang isteri saya mampu lakukan tapi saya sendiri tidak tahu bagaimana dia mampu melakukannya," ujar Rio.
"Bila saya lihat anak saya, saya sedih kerana mereka dah tiada ibu mereka."
Pengalaman itu membuatkan Rio Ferdinand sedikit sebanyak memahami mengapa ada segelintir orang mampu membunuh diri apabila menghadapi situasi sedemikian.
Rio tidak menyangka tekanan yang dihadapi begitu berat untuk ditanggung. Salah satu perkara yang dia paling kesalkan adalah apabila dia enggan mendengar pesanan isterinya yang mahu dia belajar meneruskan hidup tanpa dirinya.
"Sebelum dia meninggal, Rebecca cuba berpesan dengan saya beberapa perkara, seolah mahu saya menerima dia akan tiada, tapi saya tak mahu dengar jadi pesanan itu banyak tidak diendahkan kerana saya yakin semua akan jadi lebih baik."
"Kali terakhir dia di rumah, sebelum dia dimasukkan ke hospital, isteri saya cuba bercakap berkenaan perkara-perkara yang saya perlu tahu, tapi saya pada ketika itu, tak mahu berbicara perihal negatif," kata Rio Ferdinand. "Itu membuatkan saya kurang bersedia kerana saya jangkakan semua akan jadi seperti sediakala."
Rio Ferdinand sedar kemurungan yang melanda dan tabiat mabuk tidak mampu memperbetulkan keadaan. Apatah lagi dia mempunyai tiga orang anak yang memerlukan dia. Dia mula sedar anak-anaknya langsung tidak bercakap dengan dia. Tidak ada langsung perbincangan berlaku berkenaan kematian ibu mereka. Dia buntu.
"Saya cuba berkomunikasi dengan anak-anak. Mereka tidak hiraukan saya."
Itu detik di mana Rio sedar dia memerlukan bantuan dan dia tidak mampu menghadapi situasi itu seorang diri. Dia mula melibatkan diri dengan satu kumpulan sokongan yang menamakan diri mereka The Gentleman's Room, sebuah kumpulan lelaki yang kesemuanya kehilangan isteri tersayang kerana tragedi.
"Pada mulanya, saya tak mampu nak melihat sebuah keluarga yang makan di meja sebelah, yang ibu mereka masih hidup, saya jadi marah!" kata Rio.
Ahli kumpulan sokongan itu mula berkongsi pengalaman mereka berdepan kematian isteri. Pengasas kumpulan itu kematian isteri yang dilanggar kenderaan meninggalkan dia bersama anak berumur 2 tahun. Seorang peserta lain kehilangan isteri yang menghidap kanser. Peluang untuk hidupnya hanya 5 peratus dalam 5 tahun dan dia berjaya hidup 5 tahun beberapa bulan.
Pengalaman baru berkongsi kisah hidup membuatkan Rio Ferdinand sedar yang semua perasaan memberontak itu tidak membantu lagi. Dia perlu menerima hakikat yang kehidupan dia dan anak-anaknya perlu diteruskan. Selepas beberapa bulan, anak-anaknya mula berani berbicara berkenaan ibu mereka secara lebih terbuka. Rio Ferdinand bersara dari bolasepak beberapa minggu selepas kematian Rebecca untuk menumpukan perhatian pada keluarga dan karier baru sebagai pengacara televisyen.
"Pesanan saya, jika anda menghadapi situasi yang saya alami, cari bantuan. Bukan semua orang mampu menanganinya sendiri. Apatah lagi apabila kita mempunyai anak-anak yang memerlukan kita." ulas Rio. "Bukan senang seorang ayah mahu menanggung tanggungjawab seorang ibu dalam satu masa."
"Jangan ulangi apa yang saya buat. Jika isteri anda mahu berkomunikasi, jangan tutup pintu kepada dia. Dengar apa yang dia ingin perkatakan kerana kita tak tahu apa akan berlaku kemudian hari."
Rebecca Ellison selamat dikebumikan di sebuah kawasan perkuburan di daerah Kent pada tahun 2015. Majlis tertutup itu dihadiri oleh rakan sepasukan Rio seperti Robin Van Persie, Edwin Van Der Saar dan Nemanja Vidic. Bekas pengurus Manchester United, Alex Ferguson juga turut hadir memberikan penghormatan.
2 tahun selepas kematian isterinya, kini Rio Ferdinand akan berkongsi kisah bagaimana dia bangkit dari situasi yang membuatkan dia tersungkur penuh penyesalan, melalui sebuah rancangan dokumentari 1 jam terbitan BBC bertajuk 'Being Mom and Dad.'
"Saya harap dokumentari ini membantu golongan lelaki yang kematian isteri kerana kita perlu sokongan, walau sekuat mana pun kita." Rio Ferdinand kini mungkin tidak lagi beraksi di atas padang, tapi akhirnya kini dia mengakui hidupnya telahpun kembali tenang.