Ramai di antara kita yang mungkin pernah melihat filem tentang patung yang menyeramkan seperti Chucky. Namun, boleh dikatakan hampir kesemua patung zaman dahulu kelihatan menyeramkan. Sebelum ini kami pernah menulis artikel mengenai 5 anak patung paling menyeramkan di dunia. Kali ini kami perincikan kisah mengenai salah satu patung di dalam senarai itu iaitu Robert the Doll.
BESARKAN TEKS A- A+
Pertama sekali, saiz patung Robert ini menyamai seorang budak kecil serta dikenakan pula dengan pakaian manusia sebenar. Rupanya agak menakutkan dengan matanya diperbuat daripada butang berwarna hitam seolah-olah sedang merenung jauh.
Bahan yang digunakan untuk membuat mukanya pula sudah begitu usang dan kelihatan beberapa lubang telah terbentuk pada pipinya. Dia juga mempunyai seekor anjing pada pangkuannya.
Lebih kurang 115 tahun yang lalu, Robert the Doll ini kelihatan baru dan cantik. Ia dihasilkan oleh Syarikat Steiff iaitu syarikat yang sama menghasilkan patung "teddy bear" yang pertama untuk Presiden Amerika, Theodore Roosevelt.
Pada asalnya, Syarikat Steiff menghasilkan patung Robert ini bukanlah sebagai permainan tetapi sebagai boneka pakaian atau mannequin di sebalik cermin kaca. Namun, apa yang menjadi persoalan ialah bagaimana ia boleh berada dalam simpanan tuannya, iaitu seorang budak yang mempunyai nama sama dengan patung ini iaitu Robert Eugene Otto.
Terdapat dua kisah popular bagaimana patung ini boleh boleh berada dalam milikan Robert Otto. Kisah pertama diceritakan bahawa datuk kepada Robert Otto telah membeli patung ini ketika melawat Jerman pada tahun 1904 dan memberinya sebagai hadiah kepada cucunya Robert. Namun, kisah ini merupakan kisah yang kurang popular berbanding satu lagi.
Kisah kedua yang lebih popular dan misteri ialah patung ini telah diberikan oleh seorang gadis berketurunan Bahamas yang bekerja sebagai orang gaji untuk keluarga Robert Otto.
Dikatakan patung Robert the Doll itu telah dijampi dengan ilmu Voodoo sebelum diberikan kepada Robert Otto sebagai cara membalas dendam atas layanan buruk yang diberikan keluarga Otto kepada gadis itu.
Walau apapun kisah mengenai cara patung ini diperolehi, Robert Otto begitu sayangkan patung Robert the Doll ini. Robert Otto akan membawa patungnya ke mana sahaja dia pergi bahkan memakaikan patung itu dengan baju kelasi miliknya sendiri yang pernah digunakan ketika dia masih bayi.
Menurut Cori Convertito, seorang pengkaji patung Robert the Doll ini, dia mendapati bahawa Robert Otto dan patungnya mempunyai hubungan yang agak unik. Otto akan membawa patungnya kemana sahaja dia pergi dan bercakap dengan patung itu seakan-akan dia adalah seorang manusia sebenar.
Tidak lama selepas itu, beberapa kejadian aneh mula berlaku di rumah keluarga Otto. Beberapa barangan dan perabot dalam rumah mula bergerak dengan sendirinya dan Robert Otto menyalahkan patungnya di atas semua yang berlaku.
Pada mulanya kedua-dua orang tua Robert tidak mempercayai dakwaan anak mereka itu. Namun, setelah itu mereka perasan ada sesuatu yang tidak kena sedang berlaku di sekeliling kehidupan anak mereka yang sedang membesar itu, mereka tahu sesuatu yang aneh sering berlaku.
Pernah sekali, seorang tukang paip telah diupah oleh keluarga Otto untuk melakukan kerja pembaikan. Ketika sedang melakukan tugasnya, dia mula mendengar suara budak yang sedang ketawa walaupun keluarga Otto tidak berada di rumah pada waktu itu. Apabila tukang paip itu cuba menyiasat dari bilik ke bilik, dia mendapati patung Robert the Doll itu telah berubah tempat dengan sendirinya.
Setelah Robert Otto menjadi dewasa, dia telah berpindah ke satu rumah yang lebih besar di Key West yang dikenali sebagai "Rumah Artis". Walaupun patung Robert the Doll tidak lagi dibawa ke sana ke mari, Robert Otto telah meletakkan patungnya itu di atas sebuah kerusi menghadap tingkap di sebuah bilik tingkat atas rumah itu dan dapat dilihat oleh mereka yang lalu-lalang di hadapan rumahnya.
Ramai penjalan kaki yang mendakwa mereka pernah terlihat patung itu menggerakkan kepala dengan sendirinya dan memandang ke arah mereka. Patung itu kekal berada di rumah keluarga Otto yang beralamat di 534, Eaton Street di Key West sementara Robert Otto menyambung pengajiannya dalam bidang seni di New York dan Paris.
Robert Otto kemudian berkahwin dengan seorang wanita bernama Annette Parker pada 3 Mei, 1930 di Paris. Pasangan itu kemudian pulang semula dan tinggal di Rumah Artis itu setelah tamat pengajian mereka.
Para tetamu yang datang ke Rumah Artis itu kerap mendakwa mereka terdengar bunyi seakan orang berjalan di bilik atas di mana patung Robert the Doll ditempatkan. Bahkan beberapa perabot atau peralatan dalam rumah itu juga sering beralih tempat dengan sendirinya tanpa sebarang penjelasan. Apabila ditanya, Robert Otto akan mengatakan ia dilakukan oleh patungnya itu.
Isteri Robert Otto iaitu Annette menjadi takut terhadap patung berhantu itu kemudiannya membuat keputusan untuk menyimpan patung itu di loteng rumah mereka. Robert Otto kemudian meninggal dunia pada tahun 1974 dan diikuti dengan kematian isterinya dua tahun kemudian.
Selepas itu, pemilik baru iaitu Myrtle Reuter telah pindah masuk ke dalam rumah itu. Selain memiliki rumah itu, secara tidak sengaja Myrtle juga mewarisi patung Robert the Doll yang masih berada di atas loteng rumah itu.
Kemudian, Reuter menyumbangkan patung itu ke Muzium Fort East Martello dengan hanya satu sebab, kerana ianya berhantu. Pihak muzium mengambilnya namun tidak meletakkan patung itu untuk dipamerkan kerana menyangka dakwaan Reuter itu hanyalah mengarut. Mereka menyimpan Robert the Doll itu di bilik stor muzium berkenaan.
Walau bagaimanapun, tidak lama selepas patung itu tiba di muzium, ramai pelawat yang datang menggesa agar patung itu diletakkan sebagai pameran kerana ingin melihatnya. Pihak muzium agak hairan bagaimana ramai pengunjung tahu kerana tiada hebahan akhbar tentang mereka diberikan patung itu oleh Reuter.
Akhirnya pihak muzium terpaksa akur dan memuaskan hati para pengunjung dengan mempamirkan Robert the Doll di muzium mereka. Patung itu diletakkan dalam sebuah kotak kaca dan jarang sekali dikeluarkan dari kotak itu. Ramai pengunjung yang melawat berharap dapat melihat patung itu bergerak dengan sendirinya.
Walaupun patung itu sudah berusia lebih 116 tahun, para pengunjung masih percaya bahawa patung itu berhantu. Ada pengunjung yang mendakwa mengalami masalah kamera ketika ingin mengambil gambar patung itu dan ada juga yang berkata peralatan elektronik mereka menjadi tidak menentu ketika menghampiri Robert the Doll.
Pihak muzium juga menerima banyak surat permohonan maaf daripada pengunjung terhadap Robert the Doll kerana ketika melawat muzium itu mereka telah mencemuh, mengejek atau mempermain-mainkan patung itu. Setelah mereka pulang ke rumah masing-masing mereka mendapati sesuatu yang aneh berlaku dan mereka sering mengalami nasib malang.
Rujukan:
2. Key West Art & Historical Society
3. Clermont Sun
4. ATI