Tugu atau patung biasanya dihasilkan bertujuan untuk memperingati sesuatu peristiwa atau tokoh. Namun hasil seni ini tak pernah lari daripada kontroversi. 

Fakta bahawa ia biasanya dimodelkan bersempena seseorang terkenal atau objek serta bersempena memperingati peristiwa-persitiwa tertentu, sudah cukup untuk membuatkannya menjadi kontroversi.

Malah, dalam sesetengah keadaan, rusuhan berlaku disebabkan oleh perselisihan yang berkaitan dengan patung-patung yang dibina. 

BESARKAN TEKS     A-  A+

iluminasi.com kongsikan 6 patung yang paling kontroversi di dunia.

6. Mahatma Gandhi - Malawi

pembinaan patung mahatma gandhi di malawi mendapat tentangan penduduk tempatam

Pada Ogos 2018, sebuah patung Mahatma Gandhi telah mula dibina di sebuah jalan yang dinamakan bersempena nama beliau.

Menurut kerajaan Malawi, patung tersebut merupakan sebahagian daripada perjanjian yang bakal menyaksikan New Delhi membina sebuah pusat konvensyen di Blantyre, pusat kewangan dan perdagangan negara tersebut.

Namun pembinaan tersebut dibantah apabila lebih daripada 3,000 orang menandatangani petisyen menentang idea tersebut. Menurut mereka, Mahatma Gandhi langsung tidak mempunyai sebarang sumbangan ke atas negara tersebut.

Para penentang juga mendakwa bahawa bahawa wira kemerdekaan India tersebut merupakan seorang yang bersifat perkauman.

mahatma gandhi di afrika selatan

Malah, mereka berasa dipaksa untuk menerima patung tersebut yang mana dianggap sebagai satu usaha kuasa asing yang menzahirkan dominasi mereka di Malawi.

Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negara Malawi mempertahankan projek tersebut dengan berkata bahawa Mahatma Gandhi adalah seorang yang mempromosikan kesederhanaan, memerangi kejahatan sosial, memperjuangkan hak kemanusiaan dan kebebasan sivil serta meningkatkan kesejahteraan sosial rakyat.

Hubungan diplomatik di antara kedua-dua negara tersebut bermula pada tahun 1964 dan New Delhi merupakan salah satu penyumbang terbesar kepada Malawi.

5. Karl Marx - Jerman

patung karl marx

Karl Marx dianggap sebagai pengasas Komunisme. Teori politiknya, yang masih dikaji di negara-negara seperti China, dinamakan sebagai Marxisme. Kedua-duanya adalah kontroversi dan dibenci di Barat.

Melihat dari sejarah Karl Marx dan sikap Barat terhadap Marxisme dan komunisme, tidak hairanlah patung berketinggian 4.5 meter ini menyebabkan kontroversi di bandar Trier, Jerman.

Malah, asal patung ini yang merupakan hadiah dari China menambahkan lagi kontroversi. Majlis bandar Trier menghabiskan dua tahun membincangkan sama ada untuk mengambil patung atau tidak.

patung karl marx 2

Mereka bimbang penerimaan patung tersebut boleh membuatkan orang ramai berfikir mereka menyokong jenayah hak asasi manusia yang dilakukan oleh kerajaan China.

Organisasi Penulis Antarabangsa berkata bahawa Trier tak seharusnya memperkenalkan patung ini melainkan jika China membebaskan Liu Xia, isteri mendiang Liu Xiaobo, seorang pemenang Anugerah Nobel Keamanan yang sedang berada dalam tahanan rumah.

Sekitar waktu patung tersebut diperkenalkan di Trier pada Mei 2018, Presiden China Xi Jinping telah memberikan ucapan yang memuji Marx dan Marxhisme.

Sementara itu, Datuk Bandar Wolfram Leibe berkata patung tersebut hanyalah "isyarat persahabata" di antara kedua-dua negara tersebut.

4. "Statue Of Unity" - India

patung statue of unity

Patung ini adalah lain daripada yang lain, kerana ia telah mencetuskan kontroversi ketika masih belum siap dibina. Jika ia sudah boleh mencetuskan kontroversi ketika belum siap, bayangkan apabila ia siap dibina.

"Statue of Unity" atau Patung Perpaduan ini kini masih dalam pembinaan. Pembinaannya bermula pada 31 Oktober 2014 dan dijangka siap pada 31 Oktober 2018.

Apabila ia siap, patung ini akan menjadi patung paling tinggi di dunia dengan ketinggian 182 meter. Ketika ini, rekod tersebut dipegang oleh patung Buddha di China dengan ketinggian 153 meter.

patung statue of unity 2

Patung ini dimodelkan bersempena Sardar Vallabhbhai Patel, timbalan perdana menteri India yang pertama dan salah seorang yang memperjuangkan kemerdekaan India.

Ramai yang mengkritik patung ini disebabkan kosnya dan kebimbangan bahawa ia bersifat politik.

Kos pembinaan patung ini adalah sebanyak RM1.75 bilion, jumlah yang mana Sardar sendiri tak akan membenarkan untuk dibelanjakan jika dia masih hidup, jelas pengkritik.

Mereka juga berkata bahawa adalah lebih baik wang tersebut dibelanjakan untuk berjuta-juta orang India yang berada dalam kemiskinan.

Pengkritik turut mengesyaki Ketua Menteri Narendra Modi, individu yang bertanggungjawab mengarahkan pembinaan patung tersebut, menggunakan Sardar untuk mempromosikan partinya.

Narendra sendiri sebelum itu menyebut bahawa Sardar lebih sesuai menjadi Perdana Menteri berbanding Jawaharlal Nehru, yang menjadi Perdana Menteri India yang pertama.

3. Petra - Jerman

patung petra 2

Pada tahun 2011, artis Marcel Walldorf telah mencetuskan kontroversi di Dresden, Jerman, selepas dia melancarkan Petra, sebuah patung seorang anggota polis wanita dalam keadaan sedang kencing.

Polis wanita dihasilkan dengan pakaian seragam rusuhan dan duduk mencangkung.

Di bawahnya pula diletakkan gelatin yang kelihatan seolah-olah air kencingnya. Marcel telah menyertai satu pertandingan yang dianjurkan oleh Akademi Seni Halus Yayasan Leinemaan dan mendapat tempat pertama.

Dia memenangi wang tunai sebanyak RM4,800.

patung petra

Patung itu kemudiannya dipamerkan di Akademi Seni Halus di mana kontroversi mula tercetus. Para pengkritik mengatakan ia adalah satu penghinaan terhadap semua anggota polis.

Kesatuan polis Jerman menyuarakan bahawa ia "melanggar batas kebebasan artistik". Ramai yang lain menghantar surat kepada akademi (terus kepada Marcel) untuk meluahkan rasa jijik mereka.

Jurucakap akademi itu, Andrea Weippert, mengecam para pengkritik dengan mengatakan majoriti maklum balas yang mereka terima adalah positif.

2. Cristo del PacĂ­fico - Peru

cristo del pac fico

Pasti anda sudah pernah melihat patung "Christ the Redeemer" di Rio de Janerio, Brazil. Namun, bagaimana pula dengan "adik" nya yang berukuran 37 meter tinggi di Lima, Peru?

Patung ini diarahkan penghasilannya oleh Presiden Peru, Alan Garcia, pada tahun 2011 sebagai hadiah peribadi kepada rakyat Peru. Patung ini dibiayai bersama oleh firma kejuruteraan berpangkalan di Brazil iaitu Odebrecht dan Presiden Garcia sendiri.

Garcia menyumbang RM125,043 manakala Odebrecht pula menambah sebanyak RM1,038,064. Odebrecht bukanlah dengan mudah menyumbang sebegitu banyak, kerana jelas ia bukanlah badan amal.

Syarikat ini telah memenangi kontrak yang sangat menguntungkan bagi membina lebuh raya di antara Brazil dan Peru, maka Odebrecht membelanjakan sedikit wang untuk melobi.

cristo del pac fico 2

Patung ini mempunyai lebih ramai pengkritik berbanding penyokong. Ia dikritik kerana kosnya yang tersangat tinggi dan tiada keaslian dalam penghasilannya. Ada di antara mereka yang berasa aneh mengapa Garcia menghabiskan wang begitu banyak dengan meniru patung yang popular.

Arkitek-arkitak Peru pula mempunyai alasan tersendiri untuk menentang patung ini. Para pelajar seni bina kemudiannya mengadakan protes untuk menzahirkan ketidakpuasan hati mereka. 

Augusto Ortiz de Zevallos, seorang arkitek terkenal, menggelarkan ia sebagai "berlebihan dan bersifat autoritarian" serta mengkritik patung ini sebagai terlalu tidak asli.

Dia membandingkannya dengan patung-patung Stalin, Mussolini dan Hitler.

1. Him (Adolf Hitler) - Poland

patung him adolf hitler

"Him" adalah sebuah patung Adolf Hitler yang berada dalam keadaan melutut sambil berdoa.

Walaupun Hitler sendiri adalah seorang tokoh yang sangat kontroversi, namun patung ini sepatutnya boleh terhindar daripada palitan kontroversi sekiranya penciptanya, Maurizio Cattelan tidak memilih untuk mempamerkannya di bekas kawasan ghetto di Warsaw, Poland pada tahun 2012.

Dianggarkan seramai 300,000 orang yahudi mati atau dihantar ke kem tahanan dari kawasan ghetto Warsaw ini ketika Perang Dunia Kedua. Orang Yahudi adalah yang paling kuat menentang patung ini.

patung him adolf hitler3

Pusat Simon Wiesenthal, sebuah kumpulan advokasi Yahudi, berkata penghasilan patung ini adalah sangat tidak mengambil kira sensitiviti dan menghina orang Yahudi yang dibunuh oleh Nazi.

Pengarah kumpulan itu di Israel, Efraim Zuroff, berkata "Satu-satunya doa Hitler adalah agar orang Yahudi dilenyapkan dari muka bumi,". 

Walaubagaimanapun, Maurizio Cattelan dan penyokongnya mengatakan bahawa patung itu hanyalah bertujuan untuk membuatkan orang ramai berfikir bagaimana benda yang tidak bersalah boleh bertukar menjadi kejahatan.

Patung tersebut kemudiannya dijual dalam satu acara lelongan di New York dengan harga RM71.5 juta.

Rujukan:

1. CNBC

2. The Local

3. Washington

4. SH




Hakcipta iluminasi.com (2017)