Ruben dibesarkan sebagai seorang ateis dalam keluarga yang tidak mempercayai kewujudan Tuhan.
Pada tahun pertamanya di universiti, Ruben ditimpa pelbagai masalah dalam kehidupan. Kedua-dua ibu bapanya berpisah, anjing kesayangannya mati, dia mengalami dua kemalangan dalam tempoh seminggu dan seorang rakan baiknya meninggal dunia pada tahun yang sama.
Kesemua dugaan ini menyebabkan Ruben mempersoalkan kewujudannya di atas muka bumi. Dia juga merasakan tidak ada arah tuju sebenar dalam kehidupan.
BESARKAN TEKS A- A+
Siasatan kerohanian
Apabila Ruben mempunyai pelbagai macam persoalan yang tidak berkesudahan, dia mula tercari-cari jawapan.
Sebagai orang Australia, perkara pertama yang naluri Ruben ingin lakukan adalah menyelidik tentang agama Kristian. Dia mempunyai ramai kenalan beragama Kristian dan pernah menyertai sebuah kem gereja.
Menurut Ruben, ia merupakan salah satu kem paling lucu yang pernah dihadirinya. Semua orang asyik bernyanyi dengan suara yang merdu walaupun Ruben tidak memahami apa yang mereka nyanyikan.
Ruben juga sering diingatkan bahawa Tuhan sentiasa ada dan amat menyayanginya. Namun Ruben masih tidak mempercayainya kerana anjingnya baru sahaja mati. Fikir Ruben, kalau Tuhan menyayanginya, kenapa dibunuh anjingnya?
Ruben meneruskan penyiasatannya mendalami agama Kristian dari pelbagai aspek. Dia mencari ilmu tentang Katolik, Anglican, pembaptisan, paderi dan sebagainya. Walau bagaimanapun, setiap kali dia bertanyakan pada agamawan Kristian, mereka tidak merujuk langsung pada kitab Bible dan hanya memberikan jawapan berdasarkan pandangan dan tafsiran sendiri.
Ruben mulai sedar bahawa terdapat terlalu banyak tafsiran berkenaan Kristian. Setiap paderi mempunyai pegangan berlainan dengan paderi yang lain. Ini menimbulkan kekeliruan dalam diri Ruben.
Masih mencari jalan yang benar
Semasa belajar di universiti, Ruben bekerja secara separuh masa di sebuah stesen minyak. Di situ, dia mempunyai beberapa orang rakan sekerja yang beragama Hindu.
Kerana sifat ingin tahu yang menebal dalam diri, Ruben bertanyakan kenapa agama Hindu memilih kepala gajah sebagai tuhan. Ruben musykil mengapakah mereka tidak memilih kepala singa, harimau atau haiwan lain yang lebih baik dan lebih berkuasa? Ruben dan rakan Hindunya sering berdebat tentang ilmu ketuhanan namun jawapan yang diberikan sukar untuk diterima Ruben.
Mormonisme, Yahudi dan Buddha
Ruben kemudian belajar tentang Mormonisme dan Yahudi namun masih tidak bertemu bukti dan jawapan yang diinginkan.
Akhir sekali Ruben mula belajar tentang kepercayaan Buddha. Ruben mula merasakan Buddha seolah-olah memenuhi keperluan hidupnya. Penganut agama Buddha rata-rata kelihatan tenang, aman dan 'bersatu' dengan alam. Walau bagaimanapun, apabila diselidiki dengan lebih mendalam, Ruben mendapati ia bukanlah agama ketuhanan. Sebaliknya ia hanyalah satu gaya hidup.
Islam agama pengganas
Salah seorang rakan karib Ruben, yang merupakan seorang penganut Kristian, bertanyakan padanya agama apakah yang telah Ruben pelajari. Ruben pun menyenaraikan semua agama yang telah didalami - Yahudi, Kristian, Katolik, Buddha, Hindu.
Kemudian rakannya bertanya, "Bagaimana pula dengan Islam?"
Ruben menjawab, "Islam? Mereka semua pengganas! Taknaklah belajar pasal agama tu. Mereka semua gila, buat apa saya nak tahu pasal agama mereka?"
Namun, pada suatu hari, Ruben tergerak hati untuk berkunjung ke sebuah masjid. Dia terus masuk tanpa membuka kasut, berjalan laju masuk ke ruang solat di mana seorang lelaki sedang bersembahyang. Ruben hampir terpijak kepalanya semasa dia hendak tunduk bersujud. Ruben benar-benar 'blur' dan tidak tahu apa yang dia sedang lakukan.
Abu Hamza, lelaki 'pengganas' pertama dijumpai Ruben
Ruben kemudian terlihat kelibat seorang lelaki berjambang lebat yang sedang menuju ke arahnya. Ruben teramat takut dan fikir itu mungkin saat kematiannya. Lelaki berjambang dan berjubah yang Ruben anggap pengganas itu mesti ingin membunuh seorang lelaki berkulit putih sepertinya atau mungkin meletupkan keretanya di luar masjid.
Apabila lelaki itu merapatinya, Ruben benar-benar terperanjat apabila perkataan pertama yang keluar dari mulut lelaki itu adalah "G'Day mate! How ya going?" yang merupakan sapaan biasa orang Australia.
Lelaki dari Lebanon yang bernama Abu Hamza itu berbicara dengan Ruben dengan penuh hemah dan sangat mesra. Sepanjang perbualan, Ruben dihidangkan dengan minuman teh dan biskut tanpa henti. Ruben tidak pernah dilayan dengan sebegitu baik oleh saudara dari agama lain sebelum itu.
Sentiasa guna Al-Quran sebagai bahan rujukan
Setelah berkenalan dengan Abu Hamza dan saudara-saudara lain di masjid itu, Ruben mula bertanyakan soalan-soalan yang pernah ditanyakan kepada paderi, pendeta, sami dan rakan-rakannya sepanjang mendalami ilmu agama lain.
Apa yang lebih memeranjatkan Ruben, setiap kali dia bertanya, setiap kali itu jugalah saudara-saudara Islam ini akan mengambil Al-Quran dan merujuk jawapan berdasarkan ayat-ayat yang terkandung di dalamnya. Mereka tidak pernah menjawab berdasarkan pandangan atau tafsiran peribadi.
Setelah dua minggu menelaah perihal Islam, Ruben bertanya pada salah seorang saudara di situ, "Apa pandangan anda tentang perkara ini? Kenapa tak boleh beri pendapat sendiri?"
Saudara itu menjawab, "Bagaimana nak beri pendapat sedangkan inilah kalam Allah?"
Jawapan itulah yang telah menetapkan hati Ruben untuk menuju ke jalan Islam.
Allah tak robohkan rumah Ruben
Ruben meminta izin untuk membawa pulang senaskhah Al-Quran untuk dibaca.
Pada suatu malam, Ruben ingin mendapatkan rasa kerohanian yang mendalam. Jadi dia nyalakan sebatang lilin, membuka tingkap dan membiarkan langsir mengurai.
Ruben telahpun bertemu segala bukti kerohanian dan bukti saintifik berkenaan gunung sebagai pasak bumi, kejadian embrio dalam tubuh wanita dan sebagainya daripada Al-Quran. Namun dia hanya memerlukan satu anjakan dan petanda akhir sebelum memeluk Islam.
Semasa membaca Al-Quran, suasana begitu hening, dan Ruben berhenti membaca.
"Ya Allah, inilah waktuku. Inilah masa aku nak memeluk Islam. Apa yang aku perlukan hanyalah satu petanda. Petanda kecil sahaja, tidak perlu besar-besar. Mungkin satu sambaran petir ataupun separuh daripada rumah ini runtuh. Apa-apa sajalah tanda kecil dari-Mu."
Ruben kemudian menanti. Dia menjangkakan api lilin akan menyambar langsir seperti dalam filem. Namun, tidak ada apa-apa yang terjadi.
Ruben berasa agak kecewa. Dia meneruskan bicaranya kepada Allah.
"Ya Allah, inilah peluang-Mu. Aku di sini. Aku beri pada-Mu satu lagi peluang. Aku tahu Engkau mungkin sibuk, mungkin ada ramai lagi manusia di sebelah bumi yang lain memerlukan-Mu. Tapi berilah aku satu petanda yang sangat kecil. Bunyi burung kentut ataupun lantai berkeriut, aku tak kisah, apa-apa sajalah tanda yang Engkau nak beri kepadaku. Ok? Mulakan sekarang!"
Tapi suasana tetap sunyi sepi. Tidak ada apa-apa yang berlaku. Ruben berasa amat kecewa kerana merasakan Islamlah agama yang ditunggu-tunggu tetapi masih tiada 'jawapan' dari Allah.
Ruben kemudian mengambil semula Al-Quran untuk disambung pembacaan. Apabila Ruben menyelak sahaja muka surat untuk meneruskan ayat berikutnya, Ruben tersentak.
“Dan Dia menundukkan malam dan siang, matahari dan bulan untukmu. Dan bintang-bintang itu ditundukkan (untukmu) dengan perintah-Nya. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar ada tanda (kekuasaan Allah) bagi kaum yang memahami(nya) dan Dia (menundukkan pula) apa yang Dia ciptakan untukmu di bumi ini dengan berlain-lainan macamnya. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda (kekuasaan Allah) bagi kaum yang mengambil pelajaran.” (an-Nahl: 12-13)
Usai membaca ayat itu, Ruben terus segera menyimpan Al-Quran, menarik selimut menutupi mukanya dan berpura-pura tidur. Dia berasa sangat takut kerana terlalu sombong dengan Allah dengan meminta petunjuk dan petanda khusus untuk dirinya sedangkan kesemua petanda itu telahpun ada di seluruh alam sekelilingnya.
Dicium berkali-kali oleh ramai lelaki
Hari berikutnya, Ruben yang hanya berusia 20 tahun telah menetapkan hati untuk menjadi seorang Muslim setelah 6 bulan menghayati ilmu ajaran Islam.
Ia merupakan 1 Ramadhan dan masjid dipenuhi dengan ribuan umat Islam. Ruben perlu mengucapkan dua kalimah shahadah di hadapan beribu jemaah yang sedang memerhatikannya.
Ruben meminta untuk mengucap dalam bahasa Inggeris namun diberitahu bahawa dia perlu membacanya dalam bahasa Arab.
Ruben masih lagi takut sekiranya tersilap sebut, dia akan dibunuh oleh jemaah masjid itu yang dilihat seperti pengganas.
Jemaah yang ramai itu merenung tepat ke arah Ruben sehingga menakutkannya. Namun sejurus sahaja Ruben mula mengucapkan أشهدُ, semua rasa takut itu terus hilang dari fikiran dan hatinya.
Selesai mengucap, ramai saudara dalam masjid itu bingkas bangun sambil bertakbir, memeluk serta mencium Ruben yang kini diberi nama Abu Bakr. Abu Bakr tidak pernah dicium sebegitu ramai lelaki, namun ia merupakan suatu hari yang indah. Abu Bakr telah memperolehi ramai saudara seagama yang sentiasa menyokongnya dari belakang.
Penerimaan keluarga
Pada mulanya, keluarga Abu Bakr risau sekiranya dia akan bersikap pelik dan menjauhkan diri dengan mereka. Namun tidak lama selepas memeluk Islam, mereka mula sedar yang agama ini telah menjadikan Abu Bakr seorang manusia yang jauh lebih baik dari segi fizikal, mental dan kerohanian.
Malah, lebih menakjubkan apabila ayah Abu Bakr meminta sesalinan Al-Quran untuk dibaca. Abu Bakr menjangkakan ayahnyalah orang yang paling sukar diubah pemikiran, namun ayahnya sukakan perubahan Abu Bakr ke arah kebaikan sehingga menjadikannya lebih tertarik dengan Islam.
Sesungguhnya hidayah itu memang milik Allah. Tapi kita yang sememangnya dilahirkan Islam ini, patutnya perlu lebihkan rasa bersyukur kerana sentiasa ada pegangan hidup. Cuma nak dengan taknak buat saja.
Rujukan:
1. Islamic Studies - General eBook
2. Bayynat
3. IISNA
4. Youtube