Kalau di Malaysia, antara gua yang terkenal adalah Batu Caves, Gua Tempurung, Gua Kelam dan Gua Niah. Jika dibandingkan gua-gua yang ada di Malaysia dengan Gua Hang Son Doong, gua kita boleh dianggap sebagai 'adik' memandangkan saiz Hang Son Doong yang amat besar dan luas.
Penemuan Kali Pertama Gua Hang Son Doong
BESARKAN TEKS A- A+
Hang Son Doong telah ditemukan pada tahun 1990, oleh seorang lelaki tempatan bernama Ho Khanh yang pada ketika itu sedang memburu di Taman Negara Phong Nha-Ke Bang. Ketika sedang mencari tempat untuk berlindung daripada ribut petir yang sedang menghampirinya, Ho Khanh telah menemui sebuah pembukaan besar di sisi tebing, dengan awan bergerak keluar darinya.
Dia mendekati kawasan masuk pembukaan tersebut, dan mendengar bunyi aliran sungai di dalamnya. Keadaan batu yang curam dan merbahaya menyebabkan Ho Khanh tidak meneruskan penerokaan kawasan berkenaan, dan meninggalkannya sejurus ribut petir berhenti. Dalam waktu yang sama, dua orang pakar gua daripada British Cave Research Association (BCRA) yang bernama Howard dan Deb Limbert sedang tinggal di Phong Nha sedang dalam pengembaraan bagi mencari gua semulajadi yang baharu.
Ho Khanh telah menemui keduanya, dan ketika sedang makan malam bersama mereka, dia telah menceritakan tentang penemuannya itu kepada Howard dan Deb, namun dia mengaku bahawa terlupa lokasi sebenar gua berkenaan. Mengetahui bahawa kehadiran awan dan sungai bawah tanah membawa maksud terdapatnya sesuatu yang istimewa di tempat tersebut, Howard dan Deb menggesa Ho Khanh untuk cuba mencari gua tersebut. Untuk dua dekad berikutnya, pencarian mereka tidak membawa apa-apa hasil.
Penemuan Kali Kedua Gua Paling Besar di Dunia
Namun, segalanya berubah pada tahun 2008. Ketika sedang dalam misi memburu, Ho Khanh telah berjaya menemui kawasan hutan yang berhampiran dengan pintu masuk ke gua berkenaan, melalui ingatan memorinya tentang kawasan tersebut. Setelah berpuluh tahun mencari, akhirnya dia berjaya menjejakinya semula, dan kali ini Ho Khanh dengan teliti mengingati lokasi gua berkenaan. Dia dengan segera menuju ke kampung Phong Nha di mana Howard dan Deb tinggal bagi memaklumkan tentang hal tersebut.
Walaubagaimanapun, musim tengkujuh pada waktu itu menghalang misi mereka untuk ke gua berkenaan, dan mereka terpaksa menunggu tahun berikutnya untuk ke sana. Pada tahun 2009, Ho Khanh pulang semula ke gua tersebut, namun kali ini bersama dengan BCRA. Mereka memulakan misi meneroka gua berkenaan, namun terhalang oleh sebuah dinding besar yang mereka gelarkan sebagai 'Great Wall of Vietnam'. Pada tahun 2010, mereka berjaya merentasi dinding tersebut dan akhirnya menemukan sebuah lagi pintu gua itu.
Ketika itu, mereka telah menyedari bahawa gua tersebut adalah gua paling besar yang pernah ditemui di dunia. Gua tersebut dinamakan sebagai Hang Son Doong, yang membawa maksud 'Gua Gunung Bersungai' dalam bahasa VIetnam. Kini, gua tersebut dibuka kepada kumpulan ekspedisi yang inginkan cabaran meneroka gua terbesar di dunia.
Gua Hang Son Doong Membawa Rezeki Kepada Penduduk Tempatan
Penemuan gua paling besar di dunia di salah sebuah kawasan paling miskin di Vietnam dianggap sebagai suatu rahmat kepada penduduk tempatan, kerana berjaya membawa masuk ramai pelancong ke kawasan tersebut, memberikan kesan positif kepada hidup penduduk di sana. Dikatakan lebih ramai orang telah berjaya sampai ke Gunung Everest, berbanding ke gua Hang Son Doong.
ESKTRA - Gambar-Gambar Gua Paling Besar di Dunia
Sumber: