Penulisan ini ditulis oleh Tuan Syahril A. Kadir di laman Facebook beliau dan pihak iluminasi mendapat kebenaran mengulang siar penulisan ini untuk manfaat bersama. Penulisan ini mungkin telah disunting bagi memudahkan pembacaan.
(Syahril A. Kadir, wartawan jenayah terkenal. Kredit: Facebook)
Sekitar 17 tahun lalu, saya berjaya mengesan seorang 'lelaki tua' yang tinggal bersendirian di sebuah apartment dekat Johor Bahru.
BESARKAN TEKS A- A+
Dan lelaki tersebut bukanlah biasa-biasa.
Beliau adalah S. Kulasingam, individu yang bertanggungjawab mengheret penjenayah tersohor era 70-an, Botak Chin hingga ke tali gantung.
Disebabkan kehebatannya, Ketua Pengarang Utusan Malaysia ketika itu, Datuk Khalid Mohd telah meminta saya 'terbang' segera ke Johor Bharu semata-mata untuk menemuramah Kulasingam dan pulang segera ke Kuala Lumpur di sebelah malamnya bagi menyiapkan artikel berkenaan.
Untuk rekod, Botak Chin pernah mengarahkan konco-konconya menembak Kulasingam hingga beliau hampir maut di mana berbutir-butir peluru menembusi tubuhnya.
(DSP S. Kulasingam)
Selain ditembak konco-konconya Botak Chin, Kulasingam juga pernah parah akibat ditikam dengan pisau dan disimbah asid sepanjang tugasannya sebagai seorang pegawai polis.
Begitulah hebatnya lelaki tua ini. Setelah pelbagai keperitan dan bahaya dilalui, namun beliau tidak pernah berasa gentar dengan segala ancaman penjenayah.
Dan disebabkan itu, Kulasingam juga mengambil keputusan untuk tidak berkahwin hingga ke akhir hayatnya kerana wira ini, beliau telah ambil keputusan untuk 'berkahwin' dengan kerjayanya.
Sanggup gadaikan nyawa untuk negara
(Wira yang tak didendang S.Kulasingam. Kredit: NAS)
Terlibat dalam bidang kepolisan seawal usia 19 tahun, bakat kepemimpinan dan kemampuan menyelesaikan banyak kes jenayah terserlah walaupun masih baru terlibat.
Dari situ bermulalah perjuangan bekas Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur ketika itu, Deputi Superintendan, S. Kulasingam atau lebih mesra dikenali sebagai Kula, dalam memastikan kedaulatan dan ketenteraman negara terus dipelihara.
Ketokohan Kula terserlah apabila diberi kepercayaan memegang beberapa jawatan penting dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menuntut keberanian dan komitmen tinggi.
(Botak Chin berjaya ditumpaskan atas usaha S. Kulasingam dan pasukan PDRM. Kredit: Utusan)
Sepanjang kerjayanya selama 35 tahun bersana PDRM, Kula mencatatkan kejayaan cemerlang apabila berjaya menumpaskan 25 kumpulan kongsi gelap termasuk geng pecah rumah serta geng rompakan bersenjata di ibu negara, Johor Bharu, Pulau Pinang, Sarawak dan Brunei.
Dalam satu insiden pada 22 November 1975, Kula telah ditembak di persimpangan lampu isyarat Jalan Davis-Jalan Pekeliling, Kuala Lumpur.
Ketika itu, Kula mengetuai operasi memerangi penjenayah berbahaya di mana lebih 11 das tembakan dilepaskan dari dalam sebuah kereta dan beberapa butir daripadanya menembusi tubuh Kula.
Individu yang bertanggungjawab dalam peristiwa tembakan tersebut adalah tak lain dan tak bukan penjenayah terkenal, Botak Chin atau nama sebenarnya Wong Swee Chin.
(Keratan akhbat melaporkan kejadian tembakan S. Kulasingam oleh geng Botak Chin. Kredit: Lobak Merah)
Tembakan itu menyebabkan Kula patah tulang rusuk, sebahagian daripada hatinya turut hancur manakala sebutir peluru menembusi paru-parunya.
Biarpun sebahagian hatinya hancur ditembusi peluru, namun kejadian itu sedikit pun tidak mematahkan semangat beliau untuk kembali bertugas selepas tiga bulan menjalani rawatan.
Kegiatan jenayah Botak Chin yang semakin menjadi-jadi sepanjang tempoh Kula dirawat membuatkan semangatnya berkobar-kobar memburu penjenayah itu.
Kula membuktikan keberaniannya sehingga perompak terkenal itu berjaya diberkas dan diseret ke tali gantung.
Sebelum menjalani hukuman gantung sampai mati di Penjara Pudu pada 11 Jun 1981, Botak Chin bersumpah untuk membunuh Kula.
Kejadian Kula ditembak oleh kumpulan Botak Chin bukannya insiden pertama dan terakhir yang hampir meragut nyawa beliau.
(Keratan akhbat tentang kisah S. Kulasingam yang disiarkan Utusan Malaysia pada tahun 2002)
Akhbar Mingguan Malaysia bertarikh 2 Disember 2007 memuatkan berita Legenda ‘singa polis’ melaporkan, Kula dalam temuramah eksklusif dengan Utusan Malaysia pada 2002;
“Saya tidak berkahwin demi tugas, saya ditembak demi tugas dan saya meraung kesakitan pun demi tugas. Bagi saya itu pun sudah cukup, sama ada orang ingat atau tidak itu biarlah sejarah yang menentukan segalanya.’’
Jelas Kula, hari ini sejarah benar-benar membuktikan apabila nama beliau terpahat sebagai antara tokoh polis cemerlang.
Kula yang pada usia mudanya memiliki raut wajah serius tetapi mudah didampingi ini pernah berkhidmat di bawah empat Ketua Polis Negara.
Walaupun tidak mencapai kedudukan tertinggi dalam PDRM namun keringat dan jasa Kula kepada institusi kepolisan dan negara tidak pernah kering.
Ketokohan dan kewibawaan Kula sebagai seorang wira tidak mengenal erti putus asa terbukti apabila dipilih menjadi Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor.
(DSP S. Kulasingam di hari-hari tua beliau)
Memetik laporan akhbar Utusan Malaysia bertarikh 29 November 2007 memuatkan berita Kulasingam ‘hero polis’ meninggal, tanggal 16 Julai 2019 merupakan hari yang paling sedih bagi negara kerana kehilangan seorang pejuang yang terkenal dengan keberaniannya bertarung dengan maut sepanjang menyarung pakain seragam polis.
Kula meninggal dunia pada usia 77 di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor akibat penyakit paru-paru berair atau pneumonia pada pukul 3.06 pagi setelah bertarung nyawa hampir sebulan selepas menjalani pembedahan menggantikan tulang rusuk yang patah.
Dikenali sebagai tokoh polis yang berani serta tidak takut mati, mayat Kula dibakar di Krematorium Hindu di Jalan Templer, Seremban.
(Petikan artikel mengenai kisah mendiang Kulasingam yang diolah semula dan disiarkan akhbar Utusan Malaysia hari ini)