Lelaki terkaya di Arab Saudi iaitu Putera Alwaleed bin Talal sering kali disebut sebagai "Warren Buffett dari Arab Saudi".

Ini kerana sama seperti Buffet, Putera Alwaleed mendapatkan kekayaannya melalui pelaburan yang sangat bijak.

Pada Ogos 2018, beliau mengumumkan pelaburan RM1.04 bilion dalam Snap Inc. (SNAP) yang memberikan pegangan sebanyak 2.3% dalam syarikat itu.

BESARKAN TEKS     A-  A+

iluminasi.com kongsikan gambaran tentang bagaimana Putera Alwaleed bin Talal menggunakan sejumlah wang yang agak kecil untuk membina salah satu portfolio pelaburan paling berharga di dunia.

Permulaan yang biasa

kingdom holding company milik putera alwaleed

Selepas menamatkan pengajian, Putera Alwaleed meminjam RM1.24 juta dari bapanya untuk memulakan syarikat pelaburan.

Dalam tempoh 12 bulan pertama beroperasi, beliau kehilangan semua wang tersebut dan akibatnya, terpaksa bermula semula dari awal.

Dan kini, lebih dari 35 tahun sejak melancarkan kariernya dalam perniagaan, Putera Alwaleed adalah salah satu pelabur paling kaya dan paling berjaya di dunia.

Syarikat yang dimulakan pada tahun 1980 yang diberi nama Kingdom Holding Company, mempunyai permodalan pasaran lebih dari RM4.1 bilion, seperti yang dilaporkan oleh Google Finance pada Oktober 2019.

Keuntungan ekuiti majoriti Putera Alwaleed dalam syarikat itu melonjakkan nilai kekayaan bersih peribadinya kepada lebih dari RM77.4 bilion, ketika artikel ini ditulis.

Sebagai pelabur nilai yang komited, Putera Alwaleed menggunakan Kingdom Holdings sebagai kenderaan untuk memegang pelbagai portfolio perniagaan antarabangsa yang beroperasi dalam banyak sektor termasuk perbankan, hartanah dan penjagaan kesihatan.

kisah kekayaan putera alwaleed bin talal

Pelaburan beliau yang paling ketara termasuklah kepentingan yang besar dalam Four Seasons Hotel Ltd., Citigroup Inc. (C) dan Euro Disney S.C.A.

Di samping mengawal portfolio pelaburan yang besar, Putera Alwaleed memiliki 460,000 kaki persegi istana yang memerlukan 100 kakitangan untuk mengendalikannya serta sebuah Boeing (BA) 747.

Pada tahun 2015, Putera Alwaleed menjadi tajuk utama dalam media kewangan di seluruh dunia setelah berjanji untuk memberikan sebahagian besar kekayaannya untuk membiayai kerja-kerja amal yang penting di seluruh dunia.

Kehidupan awal Putera Alwaleed

putera alwaleed seorang pelabur yang hebat

Perjalanan Putera Alwaleed untuk memperoleh kekayaannya yang begitu banyak bukanlah cerita dari miskin kepada kaya raya. Semasa kelahirannya pada tahun 1955, Putera Alwaleed menjadi ahli House of Saud, keluarga raja Arab Saudi yang tersangat kaya.

Beliau adalah cucu raja pertama Saudi Arabia, Raja Ibn Saud dan anak saudara Raja terakhir, Abdullah Saud.

Juga, bapa Putera Alwaleed iaitu Putera Talal, pernah menjadi menteri kewangan Arab Saudi sementara ibunya, Putri Mona Al Solh, adalah anak kepada Perdana Menteri pertama Lubnan.

Sebagai seorang rakyat Arab Saudi, Putera Alwaleed dibesarkan dalam rumah tangga yang mempraktikkan kepercayaan Islam.

Beliau juga menunjukkan tanda-tanda awal keusahawanan semasa zaman kanak-kanaknya. Dalam buku "Alwaleed: Ahli perniagaan, Jutawan, Putera" oleh Riz Khan, ibu Putera Alwaleed menyatakan, ''Walaupun ketika masih kanak-kanak, anda [mungkin dapat melihat] keazaman yang dimilikinya".

Dalam buku yang sama, Raid El Solh menjelaskan, "Setiap hari selepas sekolah, Alwaleed dan saya menghabiskan satu jam bermain Monopoli dan hampir setiap kali, dia mengalahkan saya. Saya fikir saya mempunyai otak untuk menahan serangannya, tetapi dia sentiasa berjaya mengalahkan saya dalam Monopoli, jadi saya tahu dia akan dapat menjana wang,".

Ketika zaman remaja, Putera Alwaleed mula memberontak dan akibatnya, ibu bapanya mendaftarkannya ke sekolah tentera untuk menanam sikap disiplin dalam dirinya.

Di usia 20 tahun, Putera Alwaleed meninggalkan Timur Tengah untuk menyambungkan pelajaran dalam pentadbiran perniagaan di Amerika Syarikat.

Beliau berkelulusan ijazah sarjana muda dari Kolej Menlo California pada tahun 1979, sebelum menerima gelaran sarjana dalam sains sosial pada tahun 1985 dari Universiti Syracuse di New York.

Merebut peluang keemasan

putera alwaleed manusia terkaya di arab saudi

Berikutan tamatnya program sarjana muda beliau di Amerika Syarikat, Putera Alwaleed pulang ke Arab Saudi untuk memulakan kerjaya dalam perniagaan. Ketika itu, Arab Saudi sedang berhadapan dengan ledakan ekonomi.

Ketika era itu, Arab Saudi memerlukan syarikat-syarikat asing yang berminat untuk beroperasi di negara tersebut untuk mempunyai rakan kongsi dan wakil-wakil yang merupakan rakyat negara itu.

Ini mewujudkan peluang yang lumayan untuk ahli perniagaan tempatan yang ingin mendapat keuntungan dari jumlah pelaburan langsung asing (FDI) yang banyak berlaku di negara ini.

Akibatnya, ramai orang, termasuk Putera Alwaleed, menjadi wakil tempatan untuk syarikat-syarikat antarabangsa dan kemudian mengenakan caj kepada syarikat-syarikat ini bagi setiap urusan yang mereka jalankan di Arab Saudi.

Komisen ini berkisar antara 5% hingga 30% daripada setiap transaksi.

putera alwaleed dan isterinya

Walaupun Putera Alwaleed bekerja dengan syarikat asing dan pemaju untuk membantu mereka mendapatkan projek di tanah di Arab Saudi, beliau sering memilih untuk tidak menerima komisen dengan menjelaskan bahawa beliau "membencinya," kerana ia adalah "cara yang sangat cepat untuk menghasilkan wang".

Sebaliknya, Putera Alwaleed mengambil hak pemilikan sebenar dalam projek-projek yang dibantu beliau.

Beliau menggunakan konsep ini ke atas kontrak utama pertamanya, yang berlaku pada tahun 1982 ketika dia mendapat kontrak untuk membina sebuah kelab bagi sebuah syarikat yang berpusat di Korea Selatan.

Di samping itu, kontrak tersebut membuatkan Putera Alwaleed mempunyai wang tunai yang cukup untuk membina portfolio hartanah sederhana secara perlahan-lahan dalam masa yang sama.

Berkat siri kontrak yang berjaya dan Arab Saudi yang tidak mengenakan cukai pendapatan, Putera Alwaleed berjaya mengumpulkan kekayaan peribadi bersih sebanyak RM4.1 bilion pada awal tahun 1989, ketika berusia 34 tahun dan tepat satu dekad selepas tamat pengajian kolej. 

Mengembangkan portfolio Kingdom Holdings

kekayaan putera alwaleed

Semasa pertengahan 1980-an, Putera Alwaleed mula mempelbagaikan portfolio pelaburan Kingdom Holdings.

Salah satu pelaburannya yang pertama dan paling ketara ialah 7% kepentingan ekuiti diperolehnya secara perlahan di United Commercial Bank, sebuah bank tempatan yang didagangkan secara umum yang pada ketika itu berada di ambang kejatuhan.

Melalui pengambilalihan yang genting, yang mana berlaku buat kali pertama seumpamanya di Arab Saudi, Putera Alwaleed bekerjasama dengan pemegang saham utama bank lain untuk mengubah pengurusan dan hala tuju keseluruhannya.

Strateginya berjaya dan bank itu akhirnya diambil alih oleh Samba Financial Group, institusi kewangan terbesar milik kerajaan Arab Saudi.

Tahun 1990-an adalah tempoh di mana nama "Alwaleed" mula mendapat perhatian di dunia perniagaan dan kewangan Barat. Pada awal dekad itu, Citigroup sedang berhadapan dengan begitu banyak masalah.

citigroup

Di samping gagal memenuhi keperluan modal Rizab Persekutuan, banyak pinjaman dalam portfolio bank ini tidak dibayar. Ini menyebabkan ramai pemegang saham percaya bahawa bank ini akan gagal dan oleh itu, mengakibatkan kejatuhan harga saham syarikat.

Walaubagaimanapun, Putera Alwaleed percaya bahawa krisis Citigroup tidak akan berpanjangan.

Beliau memanfaatkan harga saham yang rendah dan membeli 4.9% saham dalam syarikat itu dengan harga RM850 juta. Dan sejak itu, nilai pelaburan Citigroup melonjak dan ia kekal sebagai teras dalam portfolio Kingdom Holdings.

Dan sejak itu juga, Putera Alwaleed telah memanfaatkan banyak pelaburan lain dalam pelbagai syarikat terkenal termasuklah Twitter, di mana beliau merupakan salah seorang daripada pelabur terawal sebelum syarikat itu disenarai awam, dan News Corporation, konglomerat gergasi yang memiliki Wall Street Journal dan Penerbit HarperCollins.

Dalam kenyataan Putera Putera Alwaleed yang mengumumkan pelaburan beliau yang besar dalam Snap, beliau menyatakan: "Pelaburan kami di Snapchat adalah lanjutan strategi kami untuk pelaburan peribadi dalam teknologi baru melalui syarikat terkemuka."

Penahanan selama 83 hari

penahanan putera alwaleed selama 83 hari

Putera Alwaleed mendedahkan dalam siaran temubual Bloomberg TV eksklusif pada 20 Mac, 2018, bahawa pembebasannya pada 27 Jan dari penahanan 83 hari di hotel Ritz-Carlton Riyadh diperoleh melalui "penyelesaian dengan kerajaan."

Dia tidak mendedahkan angka monetari yang terlibat, tetapi Wall Street Journal menganggarkan angka itu "sekurang-kurangnya RM24.8 bilion." Putera Alwaleed memberitahu Bloomberg bahawa "tidak ada pertuduhan" dikenakan terhadapnya.

Putera Alwaleed telah ditangkap pada 4 November 2017, dalam satu tindakan keras oleh pihak berkuasa mengenai dakwaan rasuah, yang mana bapanya, Talal menyebutnya sebagai "salah faham."

Penangkapan itu dilaporkan telah diperintahkan oleh bapa saudara dan sepupunya sendiri. Tuduhan terhadap Putera Alwaleed itu termasuklah pengubahan wang haram, rasuah dan memeras ugut pegawai.

Kesimpulan

prince alwaleed bin talal

Walaupun dilahirkan dalam keluarga diraja, namun sebahagian besar daripada kekayaan Putera Alwaleed bin Talal dibina oleh dirinya sendiri.

Selepas tamat pengajian dari kolej, beliau memulakan perniagaan dengan pinjaman yang agak kecil dari bapanya dan kemudian membinanya menjadi konglomerat bernilai berbilion ringgit  melalui satu siri pelaburan yang berjaya dalam urusan hartanah dan syarikat di Arab Saudi serta di luar negara.

Kehebatannya dalam menggunakan peluang dan melihat masa depan membuatkannya antara salah seorang pelabur terhebat di dunia.

Rujukan:

1. Investopedia

2. Financial Times

3. Forbes




Hakcipta iluminasi.com (2017)