Oleh pada 09 Oct 2018 kategori

Pada Kejohanan UFC 229 yang berlangsung baru-baru ini, Conor McGregor ditundukkan selepas dia tewas dengan petarung Rusia, Khabib Nurmagomedov. Kejohanan UFC 229 yang merupakan kejohanan terbesar dalam sejarah UFC itu dicemari dengan insiden pergaduhan namun Khabib berjaya mempertahankan rekod kemenangan tanpa kalahnya 27-0.

Walaupun begitu, kemenangan Khabib tidak dihadiri oleh orang paling penting dalam kariernya iaitu jurulatih yang juga merupakan bapanya sendiri, Abdulmanap Nurmagomedov. Sudah dua kali permohonan visanya untuk menyaksikan perlawanan Khabib di Amerika Syarikat ditolak. Kali ini kami ingin mengupas kisah jurulatih yang juga sumber motivasi kepada juara tanpa kalah ini.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Abdulmanap adalah seorang jurulatih yang dihormati di Dagestan. Dia merupakan individu penting di sebalik kejayaan anak sulungnya, Khabib serta perkembangan karier adik Khabib iaitu Abubakar.

Cinta Abdulmanap untuk sukan tempur berakar umbi daripada perjalanan hidupnya. Walaupun dia menempuhi pelbagai kesukaran dan perperangan yang berlaku di kampung halamannya, dia berjaya melahirkan pejuang generasi baru Dagestan yang disegani.

Kehidupan awal Abdulmanap Nurmagomedov

abdulmanap dan khabib

Terletak di kawasan barat pantai Laut Caspian, Dagestan adalah republik terbesar di Kaukasus Utara yang mempunyai lebih daripada 40 daerah dan 30 bahasa dan identiti kebudayaan yang berbeza. Namun telah berlaku perperangan agama di sekitar rantau ini pada tahun 1990-an.

Sebelum itu, pengusiran besar-besaran telah berlaku di seluruh Kaukasus di bawah pemerintahan kuku besi Stalin. Berjuta-juta rakyat yang terpaksa melarikan diri dari rumah mereka. Namun, pada tahun 1957 hingga 1962, kira-kira 80,000 orang telah kembali ke Dagestan dan membina semula puluhan ribu rumah baru di kampung halaman mereka. Pada tahun terakhir penempatan semula itu berlaku, Abdulmanap Nurmagomedov dilahirkan. 

khabib dan ayahnya

Dagestan mempunyai beberapa etnik yang besar di antaranya termasuk orang Lakh, Lezghian, dan keturunan Abdulmanap iaitu orang Avar. Etnik Avar merupakan etnik yang dominan di Dagestan dan mempunyai sejarah selama ribuan tahun di rantau ini.

Abdulmanap mula menyertai kelas gusti pertamanya pada usia lapan tahun. Ibu bapanya menganggap ia adalah penting untuk pertahanan diri dan juga sebagai kaedah untuk meningkatkan disiplin diri agar tidak terlibat dengan sebarang kelakuan jenayah kelak.

Namun, Abdulmanap tidak menemui potensi dirinya dalam seni bela diri sehinggalah dia bercadang untuk menyertai tentera Rusia pada usia 19 tahun pada 1981. Dalam tentera, dia telah menyertai pelbagai sukan dan ia merupakan tempat latihan disiplin diri baginya.

Setelah perkhidmatan tenteranya tamat, Abdulmanap telah mengembara ke Ukraine untuk melanjutkan pelajara di salah sebuah universiti terkemuka di sana iaitu Institute of Poltava. Di sini dia belajar Judo di bawah latihan jurulatih Petr Ivanovich Butriy dan kemudian tercalon sebagai salah seorang dari pasukan Judo Ukraine.

Abdulmanap berjaya memenangi Kejohanan Kebangsaan Ukraine dalam Judo dan juga Combat Sambo. Sekembalinya di tanah air, dia berjaya memenangi pula Kejohanan Kebangsaan Dagestan dalam gusti gaya bebas. Di Dagestan, dia dianggap sebagai salah seorang penggusti paling hebat pada zamannya.

Karier sebagai jurulatih dan perperangan

pasukan mma eagles

Setelah sekian lama, Adbulmanap beralih daripada seorang pesaing menjadi seorang jurulatih pula. Walaupun dalam masa ekonomi agak sukar, ia merupakan pekerjaan mudah baginya untuk memperolehi pendapatan di samping menyumbang jasa penting dalam komunitinya.

Dia mula melatih kanak-kanak pada tahun 1987 sedekat sebelum bermulanya perang. Dia percaya melatih kanak-kanak seni bela diri merupakan elemen penting untuk mempersiapkan mereka sekiranya terjadi sebarang konflik perperangan.

Kanak-kanak bermula dari usia 5 tahun akan diberi latihan kelas gimnastik. Setelah mencapai usia 8 tahun barulah mereka diajar seni bela diri, hanya untuk 3 hari seminggu. Mereka juga boleh memilih sukan lain mengikut minat. Pada usia 16 tahun, seorang budak lelaki mesti memilih satu sukan mengikut pencapaiannya dan dari situ dia akan mula fokus melatih.

Sangkaan Adbulmanap tentang persediaan pemuda Dagestani menghadapi perperangan menjadi benar apabila perang meletus. Ketegangan terjadi antara Dagestan dengan kemasukan ajaran Wahabi pada tahun 1980an. Pada penghujung tahun 1990an, tertubuhnya kumpulan militan di Djamaat Islam, sebuah daerah di Dagestan yang teridiri dari kaum Kadar, karamakhi dan Chabanmakhi.

Selepas Djamaat Islam berjaya melepaskan diri dari kawalan kerajaan, berlakunya pertumpahan darah di seluruh Dagestan dengan kumpulan militan diketuai oleh panglima perang Chechen iaitu Shamil Basaev yang berharap agar ideologinya diterima oleh seluruh penduduk sebagai satu cara pembebasan.

Abdulmanap memberitahu ia adalah waktu sukar untuk negaranya. Perang berlaku tidak lebih 20km dari kampungnya. Pada 10 Ogos 1999, selepas 6 hari pencerobohan berlaku, Negara Islam Dagestan telah diisytiharkan selepas pemberontak Chechen berjaya merampas beberapa kampung kecil di sempadan Dagestan.

Namun, pengisytiharan itu tidak mendapat sambutan kerana ianya tidak disambut penduduk yang lain sebaliknya penduduk membentuk satu kumpulan kecil untuk menentang kembali pencerobohan yang berlaku. Mereka membuktikan dengan tegas bahawa mereka tidak boleh dikawal atau dipaksa.

Beberapa minggu kemudian, kerajaan Rusia telah campur tangan dengan melakukan serangan udara dan darat untuk membantu penduduk Dagestan yang menentang dan mengusir pemberontak untuk berundur ke kawasan pergunungan di Chechnya. Perang itu berlangsung selama enam minggu namun kesannya dirasai untuk jangka masa yang lebih lama.

Melatih juara

abubakar dan khabib

Abdulmanap percaya perperangan itu telah memberi "kesan" kepada anak-anaknya. Abdulmanap mula melatih Khabib gusti pada usia 8 tahun dan dia tahu anaknya itu bagus sejak dari mula lagi. Dia menyedari potensi sebenar Khabib apabila dia beralih melatih anaknya itu dengan Judo dan Combo Sambo.

Dari situ kemahiran Khabib naik mendadak dan berjaya merangkul banyak pingat kejohanan peringkat kebangsaan. Khabib dilatih dengan pelbagai disiplin gusti seperi Judo, Combat Sambo dan gusti gaya bebas. Setelah itu barulah dia mengasah kemahidannya untuk MMA. Ia adalah hasil latihan yang baik daripada Jafar Jafarov dan jurulatih Dagestan yang lain.

Di bawah bimbingan jurulatih, Khabib memenangi Kejohanan Kebangsaan dalam Combar Sambo dan juga Kejohanan Eropah dalam pertempuran Hand-to-Hand tentera dan Pankration. Kebolehannya menindas lawan dan melepaskan tumbukan mengejut dengan tepat membolehkan di menang dari masa ke semasa di bawah seliaan bapanya.

Namun, Abdulmanap tidak begitu yakin. Ini kerana MMA adalah sesuatu yang asing baginya. Dia berhati-hati untuk meletakkan anaknya dalam sukan yang berbeza dengan tradisi negaranya. Khabib adalah pemegang tali pinggang hitam Judo, pada mulanya Abdulmanap tidak mengerti mengapa anaknya mahukan sukan yang sepenuhnya berbeza ini.

Abdulmanap mahukan Khabib meneruskan Judo tetapi karier dalam MMA merupakan pilihan yang tepat. Sebagai sokongan, Abdulmanap lakukan apa yang dia tahu iaitu melatih. Dia melayan Khabib sama seperti petarung yang lain berlatih di gimnya. Dia tidak memberikan jalan mudah atau pengecualian kepada Khabib. Jika MMA menjadi pilihan, dia akan pastikan Khabib berusaha keras menjadi yang terbaik.

Perlawanan pertama Khabib dalam MMA adalah pada September 2008 dan berjaya mengalahkan Vusal Bayramov dalam masa dua minit sahaja. Dalam masa dua tahun Khabib berjaya mencipta rekod kemenangan 8-0 termasuk kemenangan ke atas Shahbulat Shamhalaev di M-1 Global. Namun, kemenangannya pada Kejohanan Dunia Sambo pada 2010 membuka matanya bahawa dia ingin menjadi petarung profesional.

Setelah lapan kemenangan berikutnya barulah Khabib sampai di UFC dan memenangi enam lagi pertarungan. Dia menjadi ayam tambatan daerahnya. Menerusi MMA, Khabib dapat menguji kehebatan seni mempertahankan diri dari daerahnya dengan gaya lain dari barat. Di UFC dia dapat mencabar gaya lain untuk menjadi yang terbaik.

Latihan istimewa

khabib berlatih

Menurut Abdulmanap, latihan yang dijalankan di kawasan pergunungan Kaukasus Utara adalah istimewa dan tidak sama dengan tempat lain. Mereka boleh mengekalkan stamina dan rentak laju yang boleh memenatkan pihak lawan. Ini adalah satu sebab mengapa petarung dari Kaukasus selalu berjaya dalam UFC.

Petarung Kaukasus bukan sahaja berlatih di kawasan pergunungan tetapi mempunyai kemudahan makanan yang segar sama ada buah-buahan, sayur-sayuran dan juga keju yang sentiasa tersedia di kem latihan mereka.

Abdulmanap menambah lagi, kem latihan di kawasan gunung Dagestan juga membekalkan altitud tinggi, udara dan air yang segar yang tidak boleh didapati di Amerika Syarikat. Walaupun begitu, Abdulmanap mengakui mereka kekurangan ilmu dari segi nutrisi sukan seperti pembentukan badan untuk mencapai tahap maksimum kondisi seseorang atlet itu. Dalam hal ini Amerika Syarikat sememangnya pakar.

Kini Abdulmanap menjadi jurulatih di Sekolah Latihan Gaji Makhachev di ibu negeri Dagestan, Makhachkala. Dia juga terlibat dengan kem latihan petarung tetapi sering membawa anak didiknya ke Kelab Sukan Bazarganov kerana gimnya sendiri kekurangan peralatan untuk berlatih.

Anak didiknya dilatih selama beberapa kali sehari, tujuh hari seminggu. Selain fokus dalam meningkatkan skill dan penguasaan gaya tempur tempatan, dia juga melatih mereka melakukan aktiviti lain seperti bermain bola sepak, bola keranjang dan juga berlari di gunung bagi merehatkan minda tanpa memperlahankan rentak latihan.

Disebabkan keadaan ekonomi Dagestan yang tidak begitu baik, kebanyakan pemuda di sana mempunyai dua pilihan, samada menjadi militan Islam atau mempunyai karier dalam sukan. Oleh sebab ini kebanyakan anak didiknya begitu berdedikasi untuk belajar supaya dapat keluar dari kepompong kemiskinan dan juga sebarang aktiviti jenayah.

Generasi gusti Dagestan

pasukan eagles

Dagestan telah melahirkan banyak generasi gusti dan menjadi penyumbang pingat yang Olimpik kepada Rusia saban tahun. Salah seorang terkenal adalah Sagid Murtazaliev yang memenangi pingat emas dalam gusti gaya bebas di Olimpik Musim Panas di Sydney pada tahun 2000 sebelum masuk ke dalam bidang politik. 

Abdulmanap mencadangkan supaya anak didiknya mempelajari MMA kerana ia memberikan kelebihan yang besar dari sudut kewangan. Dia merasakan kombinasi gusti gaya bebas dan sambo adalah kombinasi yang sempurna. Dia percaya suatu perlawanan itu mempunyai dua tahap, menyerang dan bergelut.

Teknik Sambo membolehkan petarung menjadi mahir dalam mendekatkan jarak dengan pihak lawan. Oleh itu dia sering melatih anak didiknya mengunakan teknik tumbuk, tangkap, baling dan submission.

Namun, dia mempunyai helah tersendiri bagi setiap perlawanan anak didiknya menentang pihak lawan yang berbeza. Pada tahun 2000 dia menyedari setelah melihat gaya pertarungan Jiu-Jitsu Brazil, bahawa submission adalah begitu penting dan digelar sebagai "titik kemenangan".

Walaupun dia menitik beratkan penggunaan submission, namun dia tidak melupakan asas gaya Combat Sombo. Dia menekankan perkara ini kepada anak-anaknya iaitu Khabib dan Abubakar dan hasilnya adalah menakjubkan setakat ini.

Perkembangan Khabib dilihat sedikit lebih pantas daripada Abubakar. Khatib dilihat sebagai atlet yang lebih menyeluruh. Walaupun Abubakar dilatih dengan gaya yang sama tetapi belum mencapai standard abangnya.

Setelah berjaya mencatat kemenangan 8-0 terhadap lawan yang lebih rendah tahapnya, Abubakar telah bertarung dengan Magomed Mustafaev dan mengalami kekalahannya yang pertama. Ia merupakan keputusan yang mengecewakan untuk Abubakar yang berbakat. Bahkan, Abdulmanap juga terkejut dan tidak berpuas hati dengan perkembangan dan persembahan anaknya itu.

Abubakar meneruskan perlawanan seterusnya di Penza, Rusia dengan pemantauan Khabib di tepi gelanggang dan berjaya memperolehi kemenangan TKO terhadap Vladimir Gunzu. Kemenangan terbaru Abubakar pula membolehkan dia mendapat kontrak beraksi di World Series of Fighting, satu organisasi yang agak besar dalam MMA di Amerika Syarikat.

Abdulmanap merasakan perkara itu berlaku sedikit awal daripada jangkaannya dan dia ingin Abubakar untuk terus berada di Rusia. Namun, Abdulmanap tahu bahawa setiap petarung mengimpikan untuk beraksi di gelanggang dunia. Dia tidak mahu menafikan peluang anaknya tetapi akan memastikan Abubakar di pantau rapat olehnya.

Tambah Abdulmanap lagi, Abubakar perlu beraksi di Kejohanan Dunia Combat Sambo dan menjalani latihan selama 1,650 jam serta menang empat perlawanan berturut-turut sebelum memasuki tahap elit pertandingan MMA.

Legasi Abdulmanap dan Dinasti Nurmagomedov

abdulmanap nurmagomedov

Rancangan Abdulmanap ialah untuk memperbanyakkan lagi anak muridnya di UFC, termasuk Islam Makhachev yang kini mempunyai rekod  16 menang dan 1 kalah. Dia yang kini merupakan Ketua Jurulatih Kumpulan Eagle MMA di Dagestan sejak tahun 2016 mempunyai ramai lagi anak murid yang semakin meningkat naik.

Antara anak didiknya yang lain ialah Rustam Khabilov, Azamat Hashimov, Shamil Zavurov, Magomedrasul Hasbulaev dan juga dua lagi anak lelakinya yang lebih muda iaitu Omar Nurmagomedov dan Gadzhimurad Nurmagomedov.

Abdulmanap sememangnya seorang lelaki yang sedar akan hakikat sesuatu perlu dilakukan terhadap anak muda di Dagestan yang masih lagi bergolak akibat perperangan. Dia cuba menjadi sebahagian dari gerakan yang menimbulkan kesedaran dan mengelak dari anak muda terlibat dengan jenayah.

Walaupun mempunyai disiplin dan latihan yang ketat, Abdulmanap tetap mengutamakan agama Islam lebih dari semuanya. Dia memberitahu bahawa kepercayaan dan agama adalah perkara paling penting yang akan membuatkan hidup anda lebih berdisiplin dan berdedikasi.

Sumber :

1. Bloody Elbow

2. Khabib.com




Hakcipta iluminasi.com (2017)