(Mak Lampir)
Setiap daripada kita mempunyai kepercayaan terhadap alam ghaib yang tersendiri. Di indonesia, mereka mempunyai lagenda misteri mak lampir, di Malaysia pula kita mempunyai hantu raya dan di Thailand mereka mempunyai Nangnak.
Dan di negara matahari terbit, mereka mempunyai lagenda roh jahat alam ghaib mereka tersendiri yang di namakan Kuchisake-Onne.
BESARKAN TEKS A- A+
Kisahnya bermula sewaktu zaman Jepun Heian memerintah beribu-ribu tahun dahulu, terdapat seorang samurai yang mengahwini seorang wanita yang memiliki rupa paras yang sangat jelita.
(Wajah wanita yang dikatakan Kuchisake-Onne ketika masih hidup)
Wanita Jepun ini menjadi tarikan setiap lelaki dan samurai pada ketika itu, oleh kerana kecantikannya. Dia gemar berjalan-jalan di bandar dan bertanyakan pada sesiapa sahaja yang menjeling ke arahnya dengan pertanyaan, "Cantik tak saya?".
Si suami tidak gembira dengan perkara itu dan telah mendapati isterinya tidak jujur. Pada suatu hari, samurai itu telah menangkap isterinya yang berlaku curang dengan seorang lelaki lain, membuatkan dia tersangat berang.
Selepas si isteri bertemu dengan 'kekasih gelapnya', samurai itu datang dari arah belakang dan memegang kemas badan isteri dari belakang.
Samurai tersebut kemudiannya menoreh wajah isterinya menggunakan pisau dari bahagian pipi mulut ke hujung telinga lalu ditinggalkan si isteri terkapai-kapai dalam kesakitan dan berlumuran darah.
"Siapa yang kamu fikir yang cantik sekarang?". Ini adalah soalan terakhir si suami sebelum meninggalkan isterinya dalam keadaan nyawa-nyawa ikan.
Maka, mati lah si isteri yang curang itu dalam keadaan mulutnya tertoreh luas.
Selepas kematiaannya, roh isteri yang penuh amarah telah kembali ke bumi dan dinamakan KUCHISAKE-ONNE yang membawa maksud perempuan dengan torehan luas pada bahagian mulut.
Pada penghujung tahun 1970, negara Jepun digemparkan dengan berita dimana ada beberapa orang yang berselisih dengan Kuchisake-Onne dan berita itu menyebabkan rakyat Jepun dalam ketakutan.
Polis telah dikerahkan untuk meningkatkan kawalan keselamatan dan para pelajar yang pulang dari sekolah juga dinasihatkan untuk berjalan berpasangan.
Penduduk Jepun memperhebatkan lagi langkah berjaga-jaga setiap hari di kawasan mereka bagi mengelakkan perkara buruk terjadi kerana jika berlaku pasti ada kematian.
Menurut desas-desus, jika anda berjalan bersendirian, Kuchisake-Onne akan munculkan diri di kawasan sekitar dengan memakai kot labuh dan juga penutup mulut.
Di jepun, cara pemakaian sebegitu adalah biasa bagi penduduknya disebabkan suhu yang sejuk dan juga tekanan kerajaan bagi mengelakkan penyebaran dan jangkitan kuman.
Jadi, anda akan beranggapan bahawa kuchisake-onne merupakan seorang manusia biasa. Dia akan menghampiri anda bertanya soalan, "Cantik tak saya?".
Jika jawapan anda adalah "Tidak", kuchisake-onne akan mengeluarkan sebilah gunting dan membunuh anda.
Namun, jika anda menjawab "Ya", Kuchisake-Onne akan terus merapatkan mukanya dengan muka anda sambil membuka penutup muka yang menunjukkan kesan torehan pada mulutnya yang sangat luas sehingga ke telinga.
Dia akan bertanya lagi, "Cantik tak saya sekarang?"
Tidak kisahlah apa jua jawapan yang diberikan, nasib anda tetap sama iaitu kematian.
Walaubagaimanapun, ada beberapa kisah yang juga mengatakan terdapat cara bagi menghindari atau melarikan diri dari roh jahat tersebut, iaitu dengan menjawab "biasa-biasa sahaja".
Jawapan ini akan membuatkan roh itu keliru dan juga memberi masa untuk anda melarikan diri.
Kisah Kuchisake-Onne ini telah banyak diadatasikan ke dalam beberapa filem seram Jepun. Bagi anda diluar sana, adakah anda berani untuk menjawab soalan "Cantik tak saya?".
Penulisan ini ditulis oleh saudara Jeroong Wia di laman Facebook beliau dan pihak iluminasi mendapat kebenaran untuk mengulang siar penulisan ini. Penulisan ini telah disunting bagi memudahkan pembacaan.