Oleh pada 12 Nov 2021 kategori

Las Vegas atau "Sin City" adalah sebuah bandar yang mempunyai banyak kasino besar, hotel mewah dan lampu neonnya yang menerangi gelap malam. Las Vegas dikenali sebagai tempat perjudian, percutian, hiburan dan kehidupan malamnya yang meriah. 

Namun, ramai tidak mengetahui bahawa terdapat "dunia lain" di bawah kemeriahan dan populariti Las Vegas. Terdapat satu komuniti yang tinggal di dalam terowong pembentungan bawah tanah yang gelap di bandar itu.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Sementara Las Vegas menarik jutaan pengunjung setiap tahun, komuniti bawah tanah ini kekal sebagai salah satu tempat paling bahaya di bandar itu. Namun, ia tidak menghalang mereka untuk membina penempatan di tempat yang gelap dan sempit itu.

Terowong bawah tanah Las Vegas

Pada tahun 1975, berlaku satu kejadian banjir kilat di Las Vegas yang mengakibatkan kerugian bernilai puluhan juta. Untuk mengelak daripada kejadian sama berulang, kerajaan negeri mula membina rangkaian terowong di bawah bandar itu.

gelandangan di las vegas

Sekiranya berlaku lagi kejadian banjir kilat, terowong ini mampu mengalihkan air ke tampat yang lebih selamat. Kini, terowong yang mempunyai panjang keseluruhan 320 km itu menjadi tempat tinggal golongan gelandangan di Las Vegas. Mereka dikenali sebagai "Mole People of Las Vegas".

Walaupun golongan gelandangan telah lama mendiami terowong bawah tanah ini namun tempat itu menjadi popular pada tahun 2002 apabila seorang penjenayah bernama Timmy Weber ditemui bersembunyi di situ setelah membunuh teman wanitanya.

Tidak semua penjenayah menjadikan terowong ini sebagai tempat persembunyian tetapi rata-rata penduduk bawah tanah ini terlibat dalam masalah ketagihan dadah, alkohol atau gangguan mental. Dianggarkan sekitar 300 hingga 1000 orang menetap di dalam terowong itu pada satu-satu masa.

Seperti satu penempatan besar

Banyak penulis buku, wartawan dan penerbit dokumentari masuk dan meluangkan masa di terowong ini bagi membuat liputan atau memahami bagaimana "komuniti" gelandangan ini hidup.

homeless las vegas

Walaupun tiada kemudahan asas seperti air bersih dan elektrik, ia tidak menghalang sebahagian penduduk membina kemudahan tempat tinggal seperti katil, almari, meja, dapur dan sebagainya. Hujan lebat adalah masalah yang sering dihadapi kerana boleh menghanyutkan barangan mereka.

Satu produksi telah membuat dokumentari di penempatan itu terkejut apabila mendapati seorang bekas pelakon filem dewasa yang popular bernama Jenni Lee juga tinggal di situ.

Jenni yang menggunakan nama layar Stephanie Saddora pernah berada di tangga ke-119 sebagai pelakon porno terbaik. Pelakon yang kini berusia 39 tahun itu berkata dia selesa tinggal di situ dan tidak mahu berpindah.

jenni lee sandora

Jenni yang mempunyai masalah ketagihan mendakwa penduduk bawah tanah itu lebih bersikap "menerima" dan dia mempunyai rakan yang lebih ikhlas dan tidak bermuka-muka.

Terlindung daripada undang-undang

Ketiadaan kamera litar tertutup menjadikan terowong ini berisiko tinggi berlakunya jenayah. Ada kumpulan penduduk bawah tanah ini yang mengenakan peraturan bagi mengelakkan kejadian jenayah atau diserbu pihak berkuasa.

Bukan sahaja jenayah yang menjadi masalah utama penduduk bawah tanah ini. Banjir juga merupakan masalah besar bagi mereka. Banyak kejadian lemas di Las Vegas melibatkan penduduk terowong bawah tanah ini.

terowong las vegas 593

Pasukan keselamatan sering cuba meyakinkan penduduk untuk berpindah dari terowong itu terutamanya pada musim hujan dari Jun hingga September. Namun, kebanyakan mereka tidak mengendahkan amaran itu.

Walaupun bahaya, kebanyakan gelandangan lebih selesa tinggal di dalam terowong ini berbanding di jalanan. Mereka berasa lebih aman daripada gangguan polis atau orang awam. Menurut seorang gelandangan, tempat paling "aman" di dalam terowong itu adalah tempat yang jauh dari pintu masuk.

Ini kerana tidak ramai yang akan mengganggu mereka dan polis biasanya tidak masuk begitu dalam jika mencari suspek. Namun, risiko mereka untuk lemas sekiranya banjir adalah lebih tinggi.

Bantuan kepada penduduk bawah tanah

Las Vegas merupakan antara bandar paling tinggi jumlah gelandangan di Amerika Syarikat. Dianggarkan seramai 5,500 orang gelandangan di bandar itu tetapi hanya terdapat 2,000 katil sahaja pusat perlindungan.

las vegas mole people

Pada November 2019, pihak berkuasa Las Vegas mengharamkan orang ramai untuk tidur atau berkhemah di jalan-jalan tertentu. Denda dan hukuman akan dikenakan kepada mereka yang ingkar. Gelandangan yang tiada pilihan terpaksa tinggal di terowong bawah tanah.

Pekerja sosial dan kakitangan perubatan pula sukar untuk menjejaki semua gelandangan yang tinggal di terowong terutamanya yang jauh di dalam. Jadi, ada kumpulan gelandangan ini menubuhkan persatuan sendiri bagi membantu "mereka yang paling memerlukan" untuk mendapatkan katil di pusat perlindungan masyarakat.

Paul Vautrinot adalah bekas penghuni terowong ini selama beberapa tahun ketika dia bergelumang dengan ketagihan heroin. Kini, Paul yang berjaya mendapatkan pekerjaan dan tempat tinggal telah menubuhkan NGO bernama Shine a Light untuk membantu gelandangan lain keluar dari kehidupan itu.




Hakcipta iluminasi.com (2017)