Oleh pada 30 Jun 2021 kategori

Sepertimana yang kita ketahui, golongan gelandangan adalah kelompok masyarakat yang tiada rumah atau tempat tinggal. Mereka biasanya berada di kota atau bandar besar seperti Kuala Lumpur.

Kewujudan golongan ini adalah disebabkan pelbagai faktor yang menghimpit dan mendesak. Antaranya adalah seperti kemiskinan bandar, disisih keluarga, bekas banduan, gangguan mental dan penagih dadah atau arak.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Walaupun terdapat badan serta individu yang menghulurkan bantuan, golongan ini masih tercicir dan berada dalam hierarki terendah sesuatu masyarakat. Keadaan ini bukan hanya di Malaysia tetapi berlaku di seluruh dunia.

Namun, terdapat satu kisah unik mengenai seorang gelandangan yang dikenali dengan nama Radioman. Anda mungkin tidak mengenalinya tetapi kemungkinan besar pernah melihatnya. Berikut adalah kisahnya.

Gelandangan paling popular

Berbeza dengan gelandangan lain yang tidak dihiraukan masyarakat sekeliling, Radioman atau nama sebenarnya, Craig Castaldo, boleh dikatakan sebagai gelandangan paling popular di dunia.

radioman

Dilahirkan pada tahun 1951 di Brooklyn, New York, Amerika Syarikat, tidak banyak maklumat yang diketahui mengenai asal usul atau latar belakangnya.

Lelaki yang mempunyai jambang putih, memakai radio di leher dan berpakaian lusuh ini sebenarnya adalah seorang legenda bandaraya New York. Radioman bukan sahaja dikenali penduduk setempat tetapi juga mereka yang berstatus bintang filem.

Dalam banyak filem Hollywood, New York sering menjadi lokasi penggambaran. Malah, filem telah memainkan peranan besar dalam sejarah kebudayaan bandar itu dan Radioman adalah sebahagian darinya.

Penggambaran filem yang dijalankan di bandar New York seakan tidak lengkap tanpa kehadiran Radioman. Ini kerana, gelandangan itu dianggap sebagai "bintang besar" industri filem.

Gelandangan bintang filem

Anda mungkin tidak mengenalinya tetapi Radioman telah muncul di lebih daripada 100 filem yang melakukan penggambaran di New York. Walaupun hanya memegang watak sampingan, ramai pengarah mahukan Radioman berada di dalam filem mereka.

radioman dan matt damon

Radioman bersama Matt Damon

Kemunculannya dalam sesuatu babak filem hanya sebagai cameo atau kemunculan kecil dan sekejap sahaja. Namun, Radioman dikenali dan dihormati kru serta bintang filem seperti Meryl Streep, Tom Hanks, Johnny Depp, Pierce Brosnan dan ramai lagi.

Radioman muncul sebagai cameo dalam filem popular seperti Godzilla, The Bourne Trilogy, Shutter Island, Anger Management, Mr. Deed dan banyak lagi.

Bukan sahaja memegang watak semula jadi sebagai seorang gelandangan, Radioman juga melakonkan pelbagai watak lain seperti penjual ikan, pengayuh basikal, mangsa pijakan Godzilla dan banyak lagi.

Malah, Radioman juga pernah dijemput pelakon Whoopi Goldberg untuk menghadiri salah satu majlis anurgerah paling berprestij dalam dunia perfileman iaitu Anugerah Oscar.

Radioman mula berlakon

Radioman atau Craig Castaldo ketika ditemuramah wartawan memberitahu bagaimana dia mula berlakon. Dia yang tinggal di jalanan sekitar bandar New York sering hadir di set penggambaran untuk melihat bagaimana filem dihasilkan.

radioman dan tom hanks

Dia pernah menegur pelakon pelakon dan pengarah Bruce Willis ketika sedang mabuk dengan mengatakan "Bruce, saya rasa filem anda kelihatan seperti kartun".

Setelah kerap muncul di set penggambaran, pengarah mula menawarkannya untuk berlakon apabila memerlukan watak gelandangan.

Radioman yang sememangnya nampak "asli" tidak perlu dimekap atau memakai prop untuk kelihatan seperti seorang gelandangan. Maka, bermulalah kariernya sebagai cameo terkenal.

Dokumentari Radioman

Seorang pengarah Britain, Mary Kerr, menghabiskan masa selama empat tahun mengikuti Radioman di pelbagai set pengambaran atau ketika gelandangan itu mengayuh basikal di sekitar New York bagi menghasilkan dokumentari mengenainya.

dokumentari radioman

Dokumentari berjudul "Radioman" itu diterbitkan pada tahun 2012 dan turut memuatkan beberapa bintang ternama lain seperti George Clooney, Matt Damon, Johnny Depp, Halen Mirren, Tom Hanks dan ramai lagi.

Menurut Mary Kerr, dia begitu berminat dengan Radioman kerana keunikan lelaki itu. Walaupun dikenali orang ternama dan berlakon banyak filem, dia tetap seperti dirinya.

Radioman berlakon sebagai dirinya sendiri bukanlah watak ciptaan. Menurut Radioman, dia menyertai bidang lakonan Hollywood kerana ingin menjadi sebahagian daripada sesuatu.

Dia juga sukakan persekitaran dan mereka yang terlibat dalam dunia perfileman. Radioman juga berseloroh bahawa dia sukakan makanan percuma yang disediakan oleh kru filem.




Hakcipta iluminasi.com (2017)