Perasan atau tidak, zip merupakan komponen utama sesuatu pakaian atau aksesori harian kita. Daripada zip di seluar, jaket hinggalah zip di bag tangan, zip memastikan pakaian atau aksesori kita kelihatan tertutup kemas. Sekiranya zip rosak, kita kemungkinan besar tidak akan menggunakan barangan tersebut sehingga zip tersebut diperbaiki.
Namun, apa yang membezakan antara zip yang digunakan di sesebuah barangan itu adalah kualitinya. Pernahkah anda membeli beg murah dan zip yang ada padanya begitu mudah rosak? Yang pasti, sejak dahulu lagi satu jenama zip iaitu "YKK" begitu dominan dalam dunia penghasilan zip ini.
BESARKAN TEKS A- A+
Sekiranya anda tidak percaya, cuma lihat tulisan pada seluar atau beg anda, besar kemungkinan zip tersebut adalah daripada jenama YKK. Malah, dikatakan bahawa lebih 50% daripada zip yang digunakan di dunia sebenarnya dihasilkan oleh syarikat yang berpangkalan di Jepun ini.
Bagaimana YKK dapat menguasai industri yang unik ini?
Latar belakang syarikat YKK
Selama beberapa dekad, syarikat pembuat pakaian berjenama sesekali tidak akan mempertaruhkan produk mereka dengan menggunakan zip berkualiti rendah dan biasanya akan beralih kepada satu pengeluar zip, YKK yang membuat kira-kira separuh daripada semua zip yang ada di bumi bersamaan lebih daripada 7 bilion zip setiap tahun.
Diasaskan oleh Tadao Yoshida di Tokyo pada tahun 1934, YKK bermaksud Yoshida Kogyo Kabushikikaisha (yang secara mudahnya diterjemahkan sebagai Yoshida Company Limited). Tadao Yoshida ketika zaman mudanya adalah seorang pemikir yang membina mesin pembuatan zip sendiri kerana beliau tidak berpuas hati dengan kaedah pengeluaran yang sedia ada.
Satu demi satu, beliau secara asasnya membawa setiap tahap proses pembuatan zip di rumahnya. Malah akhbar Los Angeles Times pada 1998 melaporkan bahawa YKK akan "mencelupkan tembaga sendiri, mengadun poliesternya sendiri, memutar benang, tenunan dan kain pewarna sendiri untuk pita zipnya, menempa dan membentuk gigi zipnya yang bersendi".
Dalam kata mudahnya, YKK mahu mengawal setiap proses pembuatan zipnya sendiri daripada awal hingga akhir. YKK bahkan membuat kotak yang digunakan untuk penghantaran zipnya kepada pelanggannya.
Malah, ia turut masih mengeluarkan mesin pembuatan zipnya sendiri - yang disembunyikannya dengan teliti dari mata pesaing. Dengan setiap perincian kecil yang dikendalikan di bawah bumbung YKK, pemboleh ubah luar dihapuskan dan syarikat ini dapat memastikan kualiti dan kelajuan pengeluaran yang konsisten.
Ketika gempa bumi Jepun melanda pada tahun 2011, banyak produk mengalami masalah pengeluaran akibat rantaian pembekal terkesan namun YKK boleh dikatakan langsung tidak terkesan atau impaknya terlalu minima memandangkan mereka mengawal hampir keseluruhan proses pembuatann.
Prinsip "The Cycle of Goodness”
Tadao Yoshida juga mengamalkan prinsip pengurusan perniagaan yang dikenali sebagai "The Cycle of Goodness”. Mengikut prinsip ini, beliau percaya manusia tidak akan berjaya selagi mana dia tidak memberi manfaat kepada orang lain. Mengikut prinsip ini, beliau sentiasa berusaha untuk menghasilkan zip berkualiti yang lebih tinggi dengan kos yang lebih rendah.
Prinsip ini nampak intuitif tetapi jauh daripada mudah dilakukan. Pada akhirnya, rahsia kejayaan YKK tidaklah rumit dan bukannya luar biasa. YKK membuat zip yang sangat boleh dipercayai, menghantarnya tepat pada waktunya tanpa gagal, menawarkan pelbagai warna, bahan dan gaya dan harganya sentiasa mampu milik.
Apabila semua proses pembuatan zip YKK dikawal dan kualitinya sentiasa dijaga, jenama-jenama besar dalam industri pakaian tahu mereka tidak akan menghadapi sebarang masalah apabila kekal dengan zip YKK.
Tidak kira sebagus manapun pakaian itu, namun sekiranya zipnya mudah rosak sudah tentulah pembeli akan berasa kecewa kerana perlu membayar harga yang tinggi. Menggunakan zip berkualiti rendah untuk pakaian yang berkualiti adalah umpama satu perjudian yang akhirnya akan merugikan sendiri jenama pakaian tersebt.
Zip nilon YKK 14 inci yang "tidak kelihatan" (jenis yang boleh disembunyikan di belakang kain) berharga hanya kira-kira $ 0.32 sen. Untuk pembuat pakaian yang menjual pakaian yang berharga $40 - $65 untuk kos pembuatannya dan akan dijual pada harga tiga kali lebih banyak atau lebih, berjimat untuk kos zip adalah satu perjudian besar.
Saingan dari pengeluar zip China
Terdapat beratus-ratus pengeluar zip di China. Harga zip mereka mungkin sedikit lebih murah atau mungkin mempunyai kemampuan untuk menghasilkan zip dalam jumlah yang lebih banyak dalam masa yang lebih singkat, namun terdapat pemborong pakaian mendakwa beberapa syarikat Eropah bahkan tidak akan menerima penghantaran pakaian menggunakan zip dari China kerana bimbang zip itu mungkin mengandungi timah.
Selain itu, terdapat beberapa insiden dimana beberapa jenama pakaian terkenal terpaksa memanggil semula produk yang dijual mereka disebabkan zip jenama lain bukan YKK) yang digunakan gagal memenuhi standard mereka.
YKK bukan sejenis jenama yang dipasarkan kepada pengguna secara terus. Pembeli tidak membeli seluar jeans dan jaket dengan melihat jenama zip yang digunakan. Malah, pembeli juga sesekali tidak akan membatalkan niat mereka membeli sesuatu pakaian hanya disebabkan zip yang digunakan bukan dari YKK.
Tetapi YKK adalah jenama yang dikenali dengan kualitinya. Ia masih mempunyai imej dan reputasi. Demografi sasarannya adalah pengurus pengeluaran dalam industri pakaian. Mereka adalah orang-orang tahu betapa pentingnya jenama "YKK".
YKK, selama beberapa dekad sekarang telah menjadikan dirinya sebagai jenama yang boleh dipercayai. "Zip tidak akan pernah membuat pakaian, namun zip boleh merosakkan pakaian."
Kredit: