Menjelang musim pilihanraya, kumpulan-kumpulan manusia bergelar ahli politik mula keluar daripada hibernasi; kembali menonjolkan diri kepada masyarakat.
Sampaikan dah biasa kita berdepan situasi tatkala semakin dekat pilihanraya, tiba-tiba jalan raya bertar cantik. Projek-projek yang dulunya semput bertukar pantas. Jambatan roboh diganti kukuh.
Usaha pembangunan fizikal dan sosial diumumkan dengan visi-visi gah dicanang bakal mengubah sebuah pekan jadi kota metropolitan.
BESARKAN TEKS A- A+
Namun kita sebagai rakyat Malaysia juga (harapnya) semakin bijak menguliti perangai ahli politik yang jelas sukar untuk mereka berubah. Ramai kekal dengan strategi sama, kerana bagi mereka itulah yang berjaya.
Penulis yakin ramai sebenarnya yang dah bosan dengan lima kaedah kempen politik yang memuakkan tekak kita.
1. Ceramah dedah kebodohan lawan
Adakah pernah mana-mana penyelidik mengkaji keberkesanan ceramah politik, dalam era tekno-maklumat menguasai cara orang ramai mendapat berita?
Kadang-kadang apa yang disampaikan dalam ceramah hanyalah kisah yang diputar-putar beberapa tahun kebelakangan, jika dibandingkan dengan informasi politik segar yang saban hari berputar dan berlegar di internet.
Lagipun, sudah beberapa dekad hidup penulis, penulis melihat ceramah politik hanyalah medan di mana seorang ahli politik membodoh dan merendahkan lawannya. Isi ceramah lebih kepada pendedahan tentang aspek negatif lawan, tanpa benar-benar menceritakan perihal wawasan sendiri.
Pendedahan yang dibuat juga hanyalah bersifat hearsay atau lisan, tanpa bukti dibuat hanya untuk menimbulkan rasa was-was atau buruk sangka kita kepada lawan mereka.
2. Berlakon mesra rakyat
Sebulan dua sebelum pilihanraya, muncullah kumpulan ahli politik yang mahu menonjolkan imej mereka mesra orang kebanyakan.
Waktu inilah lakonan 'photo-ops' rancak berjalan. Dapatlah kita lihat pemimpin cuba menyusun batu-bata, menyapu sampah, naik kapal terbang kelas ekonomi, makan nasi bungkus atau buat apa saja perbuatan yang hakikatnya tak ada apa yang istimewa...kerana itulah rutin biasa kita.
Apa yang menghairankan penulis (tak tahulah anda bagaimana), setiap kali seorang ahli politik selesai melakukan perbuatan supra-biasa, hadirin di belakang akan bertepuk tangan meraikan aksi itu seolah-olah sesuatu yang besar dan hebat benar pencapaiannya.
Selama ni ahli politik tak reti menyapu sampah ke? Jika seorang ahli politik diberikan tepukan gemuruh kerana mampu menyapu sampah, di tahap mana sebenarnya kemampuan mereka?
3. Menunggang agama
Dalam aspek menunggang agama di negara kita ada dua kategorinya.
Yang pertama adalah ahli politik beragama Islam yang menggunakan elemen-elemen Islam untuk membantu menaikkan profil mereka.
Ketika inilah pasukan media ahli politik terlibat mula memuatnaik boss mereka mengimamkan solat atau membaca doa. Ada juga yang digambarkan mengetuai bacaan surah Yasin.
Yang tok imam Masjid hari-hari baca doa untuk makmum dan imamkan solat jemaah, sekeping gambar imam pun tak pernah dipetik.
Kategori kedua pula adalah ahli politik bukan Melayu tiba-tiba 'mesra Islam.' Sebulan dua sebelum kempen inilah dia rajin mengucapkan 'Insya Allah'. Bagi ahli politik wanita, waktu inilah dia nak pakai tudung serta menyertai aktiviti komuniti muslimat.
Dalam tahap teruk, ada juga yang akan menyamakan pimpinan tertinggi parti mereka yang bukan Islam dengan Khalifah-Khalifah Agung dalam sejarah Islam hanya untuk menarik minat pengundi Islam di Malaysia.
4. Propaganda semua 'bakal percuma'
Kita ingatkan dah tiba tahun 2022i, propaganda mahu 'mempercumakan' sesuatu sudah terkubur.
Bagaimanapun jelas masih ada pihak kekal berkempen dengan mesej tidak realistik sebegini, menawarkan tol percuma, pinjaman pendidikan langsai dan sebagainya, dijadikan gula-gula mengambil hati pengundi yang ada.
Tak salah untuk anda menawarkan semua ini namun sebagai pemimpin yang baik, anda haruslah turut menceritakan kemungkinan yang boleh berlaku, baik buruk tindakan tawaran itu sekiranya benar-benar anda laksana.
Berjanji sesuatu tanpa benar-benar memperjelaskan apakah langkah yang diambil serta menyenaraikan impaknya kepada orang ramai adalah satu tindakan tidak bertanggungjawab, yang sepatutnya sudah lupus dari amalan politik kita.
Penulis berpandangan kita sebagai rakyat Malaysia sudah lebih matang untuk membincangkan setiap aspek tawaran yang pasti ada pro dan kontra. Ahli politik mana yang akan berani melakukan perubahan sebegitu rupa agaknya?
Kita tak mahulah berlaku lagi ada pihak janji tol percuma, tapi konsesi tol dipanjangkan pula.
5. Program bantuan mengejut
Sudah beberapa kali kediaman penulis menerima sumbangan dari ahli parlimen dalam bentuk beras, gula, minyak masak peket dan susu tin ketika PRU lalu.
Bukanlah tak berterima kasih, namun kedatangan sumbangan atau derma seperti ini jelas berlaku hanya bila tiba musim pilihanraya. Begitu jugalah dengan sesetengah ahli politik yang kreatif berkempen mengadakan program isi minyak motorsikal secara percuma untuk golongan belia.
Beberapa ahli politik menawarkan program pemberian komputer riba percuma untuk golongan susah. Seorang ahli politik menyediakan pertukaran minyak hitam percuma motorsikal untuk 50 orang penerima pertama.
Itu hanyalah segelintir program pemberian percuma yang kreatif muncul tatkala PRU bakal menjelma. Persoalannya di sini, apakah respon kita sebagai sebuah masyarakat kepada program sebegini?
Perlukah kita melihat tindakan sumbangan sebegini seolah menghina kedudukan orang ramai sebagai pengundi atau lebih baik kita guna pendekatan 'ambil saja, sebab dah percuma'?
Tidak dapat kita nafikan program sebegini popular serta mampu menarik minat orang ramai mendekati calon yang bakal bertanding. Tetapi hendak tak hendak, kita sebagai rakyat nampak semua yang dilakukan hanyalah untuk meraih undi.
Walau bagaimanapun jika anda tanya penulis; antara janji tol percuma atau hutang pendidikan mansuh dengan program pemberian mengejut, lebih baik program mengejut sebegini dilakukan.
Sekurang-kurangnya apa yang dah dijanjikan sudah sampai ke tangan orang ramai, tanpa 1001 alasan bakal diberikan bila janji-janji gah dan tak realistik tak dapat ditunaikan.