Kredit foto: BH Online

Penyanyi Saleem yang dimasukkan ke hospital kerana sakit kepala kronik, kini dilaporkan dalam keadaan stabil.

Beliau dirawat di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) sejak Rabu.

Saleem, 56, berkata, bukan niatnya untuk merahsiakan perkara itu, sebaliknya pada awal dia menganggap ia hanyalah sakit kepala biasa.

"Saya akui terlalu sibuk dengan undangan persembahan dan kerap berulang-alik ke Sabah, sejak akhir-akhir ini.

“Saya baru saja pulang ke ibu kota selepas hampir dua minggu mengikuti siri jelajah ke kawasan pedalaman di Sabah. Ia antara punca saya kurang rehat.

"Pada mulanya saya tidak menghiraukan sakit kepala ini, biarpun seumur hidup tak pernah mengalami kesakitan sebegini. Kepala saya rasa macam hendak pecah.

"Bagaimanapun, isteri berasakan ada sesuatu yang tidak kena apabila saya hampir kemalangan ketika memandu kereta.

“Lebih menambah kerisauan apabila dia melihat keadaan saya seperti lemah dan tidak bermaya ketika itu," katanya seperti dilaporkan portal BH Online.

Berikutan itu, isterinya, Juriah @ Julia Bachok bertanggungjawab mengambil tindakan pantas membawa beliau ke hospital.

"Pemeriksaan doktor mendapati ada ketulan darah beku di kepala kerana kekurangan oksigen," kata Saleem yang juga menyifatkan isterinya itu sebagai penyelamat.

Dalam pada itu, penyanyi lagenda kelahiran Setiu, Terengganu ini memberitahu dia amat terkejut selepas mendapat tahu status kesihatannya seperti dinyatakan doktor.

"Saya takut jika ada ketumbuhan, kanser atau penyakit kronik lain. Bagaimanapun, ketulan darah beku itu timbul kerana kekurangan oksigen.

“Alhamdulillah, saya kini berasa lebih sihat dan tidak lagi sakit selepas diberikan oksigen serta ubat.

"Doktor turut menasihatkan saya berehat di hospital dulu supaya badan benar-benar mendapat oksigen mencukupi," katanya.

Dalam perkembangan lain, Saleem akan menyertai siri jelajah di Sabah selama sebulan pada April ini.

Sumber berita: BH Online




Hakcipta iluminasi.com (2017)