Bagi kebanyakan pemilik kucing, memandikan haiwan peliharaan mereka boleh menjadi mimpi ngeri. Tidak seperti spesies kucing besar (singa atau harimau) yang suka berenang atau mandi, kucing peliharaan biasanya akan mengelak daripada terkena air.
Apakah yang membuatkan haiwan berbulu yang comel ini takutkan air? Adakah mereka fobia terhadap air atau benci apabila dimandikan? Sebenarnya, terdapat beberapa fakta saintifik mengapa kucing tidak sukakan air.
BESARKAN TEKS A- A+
Kucing dalam sejarah
Keturunan dan evolusi kucing memainkan peranan penting dalam tingkah laku mereka terhadap air. Sejarah awal kucing domestik boleh dikesan sehingga ke Era Neolitik (10,000 tahun yang lalu).
Pada era itu, manusia di Timur Tengah mula bereksperimen dengan pertanian. Apabila mereka mengumpul dan menyimpan hasil bijirin, haiwan perosak seperti tikus datang untuk mencuri. Ketika inilah felis silvestris lybica (kucing liar Afrika) mula dijinakkan dan digunakan untuk menangkap tikus.
Kucing liar Afrika
Kucing-kucing ini terbukti sangat berharga kepada manusia kerana sangat berkesan dalam menangani haiwan perosak. Apabila para peladang ini berhijrah daripada Timur Tengah ke bahagian lain di serata dunia, mereka membawa bersama kucing-kucing ini.
Pendek kata, kucing terdahulu berasal dari tempat yang panas, gersang dan kering seperti Timur Tengah dan Mesir. Kucing terawal yang biasa hidup di padang pasir mempunyai pendedahan yang sangat sedikit terhadap air. Secara semula jadi, badan mereka tidak dapat disesuaikan untuk berada di dalam air.
Faktor fizikal
Selain itu, terdapat juga beberapa faktor fizikal mengapa kucing tidak sukakan air.
1. Suhu badan yang tinggi
Kajian menunjukkan bahawa suhu badan normal kucing adalah sekitar 36.7 Celsius hingga 38.9 Celsius di mana ia lebih tinggi daripada suhu badan normal bagi manusia. Kucing juga mempunyai toleransi haba yang agak tinggi. Maka, mereka lebih sukakan haba dan kehangatan.
Walaupun telah dijinakkan, kucing masih mempunyai naluri pemangsa semula jadi. Mereka juga mempunyai metabolisme yang aktif dan suka memburu. Semua aktiviti ini memerlukan tenaga yang diperolehi dengan menjimatkan tenaga badan atau bergantung kepada sumber haba luaran.
Inilah sebabnya mengapa kucing suka berjemur atau berada dalam posisi seperti bola bagi mengoptimumkan haba badan mereka.
Jika mereka terkena air atau dimandikan, suhu badan mereka akan turun. Ini menjadikan mereka tidak bertenaga atau aktif. Jadi, kucing lebih gemar berada dalam keadaan kering.
2. Bulu
Anda mungkin pernah melihat anjing bermain dengan air dan menggoyang-goyangkan badannya untuk mengeringkan bulunya. Namun, kucing tidak berbuat demikian kerana bulu anjing dan kucing agak berbeza.
Bulu anjing adalah seperti baju hujan dan boleh menghilangkan air dengan mudah manakala bulu kucing pula adalah seperti kain kapas yang menyerap air dan menjadi berat apabila basah.
Kucing mempunyai dua hingga tiga lapisan bulu bergantung kepada baka. Lapisan paling bawah biasa dipenuhi dengan bulu pendek yang memberikan kehangatan dan berfungsi sebagai penebat.
Lapisan kedua pula adalah lebih panjang untuk melindungi lapisan bawah. Sesetengah baka mempunyai lapisan bulu sekunder di antara lapisan bawah dan atas. Bulu kucing yang tidak kalis air akan basah apabila terkena air dan menyebabkan suhu badan haiwan itu turun.
Jika kucing itu mempunyai bulu yang panjang, ia akan menjadi berat dan menyukarkan pergerakan kucing apabila basah. Jika berbulu pendek pula, kucing itu akan cepat menjadi kesejukan dan tidak baik untuk kesihatannya.
Kebolehan menghidu
Kucing dapat menghidu jauh lebih baik berbanding manusia. Secara purata, manusia mempunyai kira-kira lima juta sensor pada hidung manakala kucing pula sekitar 200 juta.
Mereka menggunakan deria bau untuk berkomunikasi, memburu dan mengesan pemangsa. Malah, mereka juga menggunakan bau air kencing untuk menanda kawasan. Sesuatu bau boleh membuatkan kucing berasa tertekan atau selamat dalam persekitaran tertentu.
Selain hidung, kucing mempunyai organ lain yang dipanggil vomeronasal atau Jacobson's organ yang terletak di lelangit mulut mereka. Organ ini digunakan apabila kucing memerlukan analisis bau yang lebih mendalam.
Apakah kaitan kebolehan menghidu ini dengan kucing takutkan air? Sebenarnya, kucing dapat "menghidu" kandungan kimia atau bendasing di dalam air. Ia adalah salah satu sebab mengapa mereka tidak mahu bau asing ini melekat pada badan seperti bau klorin.
Kucing biasanya menggosokkan badan mereka pada manusia, perabot atau benda lain untuk menghilangkan bau pada badan.
Cara kucing membersihkan diri
Kebanyakan pembela kucing mungkin mengetahui bahawa kucing membersihkan diri mereka menggunakan lidah. Lidah kucing adalah seperti sikat kecil yang mempunyai struktur berduri dipanggil papillae. Ia membantu kucing menyikat bulunya dan membuang kotoran.
Walaupun kebanyakan baka kucing "takut air" tetapi ada beberapa baka yang terkecuali. Malah, beberapa baka ini suka mandi dan berada di dalam air seperti baka Turkish Van, Abyssinian dan beberapa baka hibrid yang telah dilatih untuk mandi dan berenang.