Oleh pada 18 Jul 2021 kategori

Ramai pemilik kucing atau anjing menganggap haiwan peliharaan mereka itu seperti ahli keluarga sendiri. Maka, tidak hairanlah jika haiwan itu dilayan dengan penuh kasih sayang. Mereka dibelai, dipeluk malah dicium setiap hari.

Persoalannya, adakah selamat bagi seorang manusia untuk mencium haiwan peliharaannya terutamanya pada bahagian mulut?

Pandangan pakar mengenai perkara ini

BESARKAN TEKS     A-  A+

Menurut pakar veterinar Dr. Jeff Werber dari Los Angeles, mencium haiwan kesayangan anda bukanlah suatu masalah besar terutamanya berkaitan penyakit berjangkit. Sekiranya anda mempunyai mulut yang sihat, agak selamat untuk anda mencium haiwan peliharaan anda.

Sama seperti manusia, mulut haiwan peliharaan seperti kucing atau anjing mengandungi ribuan bakteria. Walau bagaimanapun, ia tidak begitu memudaratkan dan tubuh kita mampu menanganinya. Jika tidak, pemilik kucing atau anjing pasti jatuh sakit setiap kali bermain dengan haiwan mereka.

Bakteria pada mulut kucing atau anjing biasanya tidaklah begitu berjangkit atau menyebabkan penyakit pada manusia. Namun, ia tidak bermaksud anda 100 peratus bebas daripada risiko.

anjing jilat

Menurut seorang lagi pakar veterinar dari Oregon iaitu Dr. Megan Conrad, kebanyakan haiwan peliharaan mempunyai tahap kesihatan gigi yang agak teruk.

Keadaan ini boleh menyebabkan penumpukan plak gigi dan penyakit gusi sekaligus menyumbang kepada pertumbuhan bakteria yang berlebihan pada mulut kucing atau anjing anda.

Sekiranya anda membiarkan anjing atau kucing peliharaan menjilat wajah anda sedangkan mereka mempunyai masalah mulut atau penyakit gigi yang teruk, anda mempunyai risiko dijangkiti bakteria bahaya. 

Sebelum memutuskan untuk mencium atau membiarkan haiwan peliharaan menjilat anda, berikut adalah beberapa perkara yang perlu anda ambil tahu.

Tahap sistem imun tubuh anda

Terdapat beberapa bakteria tertentu yang sangat mudah berjangkit seperti staphylococcus, salmonella dan E-coli. Begitu juga dengan jangkitan kulat seperti kurap. Ini adalah bakteria atau penyakit yang biasanya disebarkan haiwan kepada manusia.

Walau bagaimanapun, jangkitan bakteria ini jarang berlaku dan ia tidak berlarutan lama. Malah, penghidap juga mempunyai gejala yang ringan. Ia agak berbeza dengan kurap yang biasanya disebarkan oleh kucing. Walaupun tidaklah begitu berbahaya tetapi agak sukar untuk dirawat.

cakar kucing

Begitu juga dengan jangkitan bakteria bartonella atau lebih dikenali sebagai penyakit cakar kucing. Bakteria yang terdapat pada kuku kucing ini boleh menyebabkan anda demam ringan dan bahagian luka yang bernanah.

Biasanya, orang dengan sistem imun yang lemah, tidak sihat, ibu mengandung atau kanak-kanak adalah golongan paling berisiko mendapat jangkitan daripada haiwan kesayangan anda. 

Bahkan, manusia juga boleh menyebarkan penyakit kepada haiwan kesayangan mereka. Terdapat beberapa kes dilaporkan bahawa anjing dan kucing peliharaan dijangkiti wabak Covid-19 daripada tuan mereka sama ada melalui ciuman atau tidur bersama.

Tabiat buruk haiwan peliharaan anda

Tidak kira betapa comelnya haiwan peliharaan anda, anda perlu mengenalpasti tabiat buruk yang dilakukannya. Ada haiwan yang mempunyai tabiat buruk seperti memakan sampah, bangkai atau najis sendiri. Jika ada, adalah lebih selamat untuk tidak mencium mereka.

anjing makan sampah

Begitu juga haiwan peliharaan yang diberi makan daging mentah. Mereka lebih mudah untuk dijangkiti salmonella atau bakteria lain pada daging. Bakteria ini akan dipindahkan kepada manusia dan membuatkan anda sakit.

Haiwan selain anjing atau kucing

Sebahagian haiwan peliharaan tidak digalakkan untuk dicium terutamanya reptilia. Setiap sentuhan terhadap haiwan peliharaan reptilia haruslah diikuti dengan mencuci tangan secara teliti.

Sekiranya anda memegang haiwan reptilia, jangan sesekali menyentuh muka atau mulut anda kerana haiwan reptilia biasanya membawa salmonella dan beberapa bakteria lain yang boleh membahayakan anda.

Haiwan seperti ferret (sejenis musang) pula biasanya mencium atau menjilat sebagai tanda sayang tetapi juga berpotensi untuk mengigit anda. Bahan kimia seperti lipstik juga boleh menjadi toksik kepada haiwan. Sebaliknya, cukup sekadar memberi ciuman di atas kepala sahaja.

Bagi haiwan seperti burung pula, jangan sekali-kali mencium di bahagian dalam paruhnya kerana burung tidak tahan melawan bakteria manusia. Najis burung juga dikenal pasti boleh membawa lebih daripada 60 jenis penyakit.

Kenali haiwan peliharaan anda

Pakar menasihatkan anda agar tidak mencium haiwan kesayangan anda yang baru dipelihara terutamanya jika anda membeli atau mengadopsi haiwan dewasa.

Terdapat sebahagian haiwan peliharaan yang tidak selesa dipeluk atau dicium kerana mereka merasakan ruang peribadi mereka diceroboh. Ini meningkatkan lagi risiko anda digigit.

anjing kucing

Sekiranya anjing atau kucing anda menunjukkan tingkah laku kurang selesa, jarakkan diri anda dan beri ruang kepada mereka untuk bertenang. Risiko diserang haiwan lebih tinggi bagi kanak-kanak atau bayi berbanding orang dewasa.

Apabila haiwan peliharaan anda berasa selesa, mereka akan datang dengan sendirinya seolah-olah meminta untuk dibelai. 




Hakcipta iluminasi.com (2017)