Secara umumnya, seorang bayi sememangnya akan membuang air dengan kerap setiap hari. Pada usia beberapa hari kelahirannya, bayi sudahpun mula membuang najis yang digelar meconium yang berwarna hijau gelap atau kehitaman.

Setelah beberapa ketika dan bayi pun mula menyusu dengan lebih kerap, bayi akan membuang air sehingga 5-6 kali sehari. Najis yang dikeluarkan pula bergantung kepada penyusuan bayi itu. Sebagai contoh, najis bayi yang diberikan susu ibu secara eksklusif adalah tidak sepekat najis bayi yang diberi susu formula.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Soalan yang sering ditanyakan oleh ibu bapa yang pertama kali mempunyai anak ialah "Anak saya macam cirit je. Normal ke najis anak saya ni?" Untuk pengetahuan anda, warna najis bayi seringkali dalam tona kuning mustard, perang hingga kehijauan. Tekstur najis pula akan berubah-ubah mengikut susu atau makanan yang dimakan oleh bayi.

perhatikan warna dan tekstur najis bayi anda

Akan tetapi sekiranya warna najis bertukar menjadi hitam pekat, cerah putih atau ada palitan merah seperti darah, sila segera berjumpa dengan doktor anda. Begitu juga sekiranya najis bayi anda keras berketul-ketul seperti najis arnab dan berwarna gelap, ini mungkin disebabkan anak anda mengalami sembelit. Hentikan makanan/susu yang baru diperkenalkan serta-merta.

Bagaimana merawat bayi yang mengalami sembelit?

bayi sembelit mungkin berpunca daripada makanan yang tidak sesuai

Bagi bayi berusia bawah 6 bulan yang diberikan susu formula, cuba tukar susu formula ke jenama/jenis yang lain. Manakala bagi bayi 6 bulan ke atas, pastikan bayi minum banyak air dan makan makanan yang tinggi serat seperti buah prun, pisang dan epal. Sekiranya najis bayi berdarah, sila ke klinik atau hospital dengan segera untuk berjumpa doktor.

Bagaimana merawat bayi yang mengalami cirit-birit?

Sekiranya anak anda mengalami cirit-birit yang kronik, dinasihatkan agar anda berjumpa doktor dengan segera untuk memastikan bayi tidak dijangkiti virus atau bakteria berbahaya. Bawa sekali lampin atau pampers mereka yang berisi najis untuk ditunjukkan kepada doktor.

bayi pergi ke tandas

Sebagai ibu bapa, anda harus lebih peka dan prihatin terhadap sebarang perubahan pada anak anda. Apabila memperkenalkan sesuatu makanan yang baru, perhatikan najis mereka dengan lebih kerap untuk mengetahui kesesuaian makanan itu dengan sistem penghadaman mereka.

Pendek kata, kalau ada rasa tak sedap hati walaupun sebesar kuman, terus bawa anak cepat-cepat jumpa doktor. Lebih baik mencegah daripada anda terpaksa menangis tidak berlagu di kemudian hari.




Hakcipta iluminasi.com (2017)