Ketika artikel ini ditulis, Israel baru sahaja melepaskan serangan peluru berpandu ke orang Palestin yang sudah membunuh puluhan rakyat Palestin yang tidak berdosa. Jumlah sebenar mangsa yang terkorban mungkin lebih tinggi daripada yang dilaporkan.
Akibat daripada serangan pihak Zionis Israel terlebih dahulu terhadap orang Islam Palestin yang mahu menunaikan ibadah di Masjid Al-Aqsa sempena 10 hari terakhir Ramadhan, Briged Al-Qassam iaitu sayap kanan HAMAS telah memberikan amaran kepada Israel agar menghentikan serangan sekiranya tidak mahu perkara buruk berlaku.
BESARKAN TEKS A- A+
Israel yang terkenal denngan sikap degilnya itu terus berkeras melancarkan peluru berpandu ke penempatan orang awam yang tidak berdosa. Akibatnya, kedegilan Israel ini memaksa Briged Al-Qassam melancarkan puluhan atau ratusan peluru berpandu ke beberapa kawasan strategik Israel seperti Tel Aviv sebagai tindak balas.
Artikel ini bukanlah ingin berkongsi kronologi konflik yang berlaku sebaliknya sekadar berkongsi mengenai teknologi "Iron Dome" milik Israel yang berperanan sebagai senjata anti-peluru berpandu terhadap serangan amaran yang dilancarkan oleh Briged Al-Qassam.
Walaupun dilihat hebat, ianya masih gagal "mematikan" kesemua peluru berpandu yang dilancarkan ke Israel dan mengenai kawasan-kawasan strategik seperti stesyen janakuasa elektrik, kawasan tangki penyimpanan minyak, lapangan terbang dan banyak lagi.
Apa itu "Iron Dome"?
Video di atas adalah video terbaru yang tular di media sosial. Ianya memaprkan sistem Iron Dome yang cuba mematahkan serangan peluru berpandu yang dihalakan ke arah pendudukan haram Israel di kawasan yang dikenali sebagai Ashkelon.
Seperti yang dapat dilihat, sistem Iron Dome ini melancarkan peluru berpandu yang menyasarkan pada peluru berpandu yang dihantar oleh pasukan Briged Al-Qassam sebelum ianya tepat mengenai sasaran. Secara ringkas, Iron Dome adalah teknologi anti-peluru berpandu untuk mempertahankan Israel daripada serangan udara.
Iron Dome adalah sistem pertahanan udara mudah alih yang boleh digerakkan oleh trak yang dibangunkan sejak tahun 2008 dan pertama kali digunakan pada tahun 2011. Sistem ini telah dibangunkan untuk memintas roket jarak dekat dan ancaman artleri 155mm dengan jarak tempuh hingga 70km.
Ia dapat dikendalikan dalam semua keadaan cuaca termasuk jerebu, ribut, mendung dan hujan lebat. Ia berperanan melindungi penduduk dan aset kritikal dan dapat ditempatkan secara strategik untuk mengurangkan kerosakan akibat hentaman peluru berpandu pihak musuh.
Iron Dome mengesan, menganalisis dan memintas berbagai ancaman yang masuk, termasuk C-RAM, peluru berpandu tepat, kenderaan udara tanpa pemandu dan pelbagai ancaman udara. Sistem ini setakat ini didakwa sudah memintas lebih daripada 2.000 peluru berpandu dengan kadar kejayaan lebih dari 90%.
Sistem pertahanan udara ini dibangunkan oleh firma pertahanan Israel Rafael Advanced Defence Systems dan Israel Aerospace Industries dengan sokongan dari AS. Ia berfungsi bersama dengan teknologi pemintas "David's Sling and Arrow", yang digunakan untuk mengatasi ancaman jarak sederhana.
Sejarah penciptaan Iron Dome
Idea untuk menghasilkan teknologi anti-peluru berpandu sebegini sebenarnya tercetus ketika tahun 1990-an lagi. Ketika itu, Hizbullah yang bertapak di Lebanon telah melancarkan peluru berpandu berubi-tubi ke bahagian utara Israel yang mempunyai ramai penduduk.
Serangan ini telah menimbulkan ancaman besar kepada Angkatan Pertahanan Israel atau Israel Defense Forces (IDF). Maka, timbullah idea untuk menghasilkan sistem anti-pluru berpandu jarak dekatnya sendiri, tetapi pegawai pertahanan Amerika Syarikat menganggap idea tersebut hanya sia-sia dan akan gagal.
Pada tahun 2004, idea untuk Iron Dome kembali mendapat momentum dengan perlantikan Brig. Jeneral Daniel Gold sebagai ketua Biro Penyelidikan dan Pembangunan Angkatan Pertahanan Israel (IDF).
Brig. Jeneral Daniel Gold adalah penyokong kuat projek anti-peluru berpandu ini bahkan mengabaikan peraturan kontrak tentera sedia ada untuk mendapatkan pembiayaan tambahan bagi pembangunan senjata ini. Dia juga membantu meyakinkan ahli politik utama untuk menyokong projek tersebut.
Semasa Perang Lebanon Kedua tahun 2006, kira-kira 4000 roket yang ditembakkan oleh Hizbullah (sebahagian besar daripadanya adalah roket Katyusha jarak pendek) mendarat di utara Israel, termasuk di Haifa, bandar ketiga terbesar di Israel. Rentetan roket itu membunuh 44 orang awam Israel dan menyebabkan kira-kira 250,000 warga Israel berpindah ke bahagian lain di Israel.
Di bahagian Selatan pula, lebih daripada 4000 roket dan 4000 bom mortar dilancarkan ke Israel dari Gaza antara tahun 2000 dan 2008 oleh Hamas. Menyedari akan kelemahan mereka daripada serangan udara sebegini, Israel semakin serius membangunkan Iron Dome.
Pada Februari 2007, Menteri Pertahanan Amir Peretz memilih Iron Dome sebagai teknologi pertahanan Israel terhadap ancaman roket jarak dekat ini. Sejak itu, sistem bernilai $210 juta ini telah dibangunkan oleh Rafael Advanced Defense Systems yang bekerjasama dengan IDF.
Dari segi namanya pula, Kementerian Pertahanan kemudian mencadangkan beberapa nama dan yang paling popular ialah "Golden Dome" atau "Kipat Zahav" dalam bahasa Ibrani. Pasukan pembangun teknologi ini menyukai nama itu tetapi bimbang ia kedengaran terlalu mewah kerana perkataan "Gold" itu. Mereka kemudian mencadangkan logam yang berbeza dan "Iron Dome" (atau Kipat Barzel) digunakan.
Kredit: