Semua orang tahu bahawa air laut adalah masin. Malah, memasak sahaja tidak cukup untuk menjadikan air laut itu selamat diminum. Air laut perlu melalui proses penyahgaraman terlebih dahulu sebelum dimasak dan diminum.

Walau bagaimanapun, terdapat satu kejadian aneh yang berlaku di Mumbai, India, di mana air masin di muara dan pantai di daerah itu bertukar menjadi "manis". Kejadian yang berlaku pada tahun 2006 itu masih menjadi bualan sehingga ke hari ini.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Fenomena aneh air laut menjadi manis

Pada 18 Ogos 2006, berlaku satu fenomena luar biasa apabila air masin di sebuah muara yang dikenali sebagai Muara Mahim bertukar menjadi "manis". Kejadian itu mula disedari penduduk tempatan yang menggunakan air itu bagi kegunaan harian.

Dalam hanya beberapa jam selepas kejadian di Muara Mahim dilaporkan, penduduk berhampiran Pantai Teethal di Gujarat juga mendakwa bahawa air masin di pantai itu juga berasa manis.

makam makhdoom ali mahimi

Makam Makhdoom Ali Mahimi

Fenomena aneh itu mula dilaporkan pada malam 18 Ogos 2006. Penduduk mula menyedari air di sekitar Makam Makhdoom Ali Mahimi yang terletak berhampiran Muara Mahim di Mumbai tiba-tiba bertukar menjadi manis.

Setelah menerima laporan penduduk tempatan, Majlis Perbadanan Perbandaran Brihanmumbai telah melakukan ujian dan mendapati air di Muara Mahim hanya mengandungi sekitar 600 zarah per juta kemasinan berbanding 10,000 zarah per juta pada kebiasaannya.

Berita tersebar pantas

Apabila penduduk tempatan mula menyedari fenomena aneh itu, berita  itu tersebar dengan begitu pantas sekali. Menjelang tengah malam, orang ramai dari seluruh Mumbai malah daerah berhampiran berpusu-pusu membanjiri muara dan pantai di Mahim untuk merasai sendiri air "manis" ini.

Malah, sebilangan besar orang turut berpusu-pusu menuju ke Pantai Teethal yang dilaporkan mengalami fenomena serupa. Orang ramai yang hadir mendakwa fenomena aneh ini adalah suatu keajaiban.

pantai mahim

Mereka meminum serta mengumpul air "manis" ini di dalam botol dan bekas untuk dibawa pulang. Walaupun pihak kesihatan tempatan telah mengeluarkan amaran bahawa meminum air itu boleh membawa kemudaratan, orang ramai masih terus meminum air yang dianggap mereka sebagai "Air suci".

Malah, kejadian yang berlaku berhampiran Makam Makhdoom Ali Mahimi membuatkan penduduk tempatan menyangka ia adalah berkat daripada tokoh yang hidup pada kurun ke-13 itu.

Makhdoom Ali Mahimi (1372-1431) adalah seorang tokoh Sufi yang berasal dari Iraq. Dia telah mengembara ke India dan mengahwini adik kepada Sultan Ahmed Shah dari dinasti Tuglaq yang memerintah Gujerat.

Air yang tercemar

Bukan sahaja pihak berkuasa, malah Ketua Menteri Maharashtra iaitu Vilasrao Deshmukh juga menyeru orang ramai untuk tidak meminum air di Pantai Mahim dan Teethal itu.

Air di kawasan itu sememangnya diketahui dicemari pelbagai bahan kumbahan dan buangan dari sisa industri setiap hari. Orang ramai seakan-akan tidak peduli dan terus mandi, minum dan mengambil air di situ walaupun sisa sampah terapung-apung di sekeliling.

vilasrao deshmukh

Vilasrao Deshmukh

Pihak berkuasa bimbang bahawa tindakan meminum air laut yang tercemar itu boleh menyebabkan wabak penyakit bawaan air seperti gastroenteritis.

Gastrienteritis adalah penyakit jangka pendek yang disebabkan oleh jangkitan dan keradangan sistem pencernaan. Pesakit mungkin mengalami gejala seperti kekejangan perut, cirit-birit dan muntah. Beberapa sebab berlakunya penyakit ini adalah seperti virus, bakteria, toksin, parasit atau bahan kimia.

Mujurlah, tiada kematian atau wabak yang dilaporkan berkaitan tindakan meminum air laut itu.

Punca sebenar tidak dapat dipastikan

Walaupun punca sebenar fenomena itu tidak dapat dipastikan, pihak berkuasa ia adalah salah satu kejadian semula jadi. Disebabkan hujan lebat yang berlaku selama beberapa hari, sebahagian besar air tawar mungkin mengalir ke laut dan menjadingan ia kurang masin.

Menurut seorang ahli geologi dari Indian Institute of Technology Bombay, air tawar yang terkumpul disebabkan hujan lebat itu mempunyai kepadatan berbeza berbanding air laut. Air tawar itu kemudian naik dan menutupi air laut serta tersebar di seluruh pantai dan muara.

minum air laut

Terdapat juga penjelasan lain mengenai fenomena itu. Institut Lautan Nasional mengatakan bahawa fenomena air "manis" itu mungkin disebabkan pengurangan air laut apabila Sungai Mithi membanjiri Sungai Mahim.

Ketika itu, India sedang dilanda cuaca monsun yang lebat yang mengakibatkan kejadian bah di Sungai Auranga dan Banki. Air berlebihan dari sungai-sungai ini telah mengalir masuk ke dalam laut berhampiran.

Fenomena aneh berakhir dalam sehari

Kira-kira pada jam 10.30 pagi 19 Ogos 2006, orang ramai mendakwa bahawa air di Pantai Mahim dan Teethal mula menjadi kurang manis sejak fenomena itu mula berlaku 14 jam yang lalu.

Pada jam 2 petang, air di pantai dan muara itu bertukar menjadi masin dan tidak dapat diminum seperti biasa. Walaupun tiada bukti yang dapat menjelaskan fenomena itu, orang ramai akan terus berbicara tentang kejadian itu buat suatu masa yang lama.




Hakcipta iluminasi.com (2017)