Hari Jumaat merupakan hari yang istimewa kerana ia merupakan penghulu segala hari. Hari Jumaat mempunyai kelebihan berbanding dari hari-hari lain. Jumaat dinamakan sebagai ‘Saidul aiyam’ iaitu penghulu segala hari (sebaik-baik hari)
Terdapat sebuah hadis mengenai hari jumaat, dari Abu Hurairah r.a katanya Rasulullah SAW bersabda : "Kita (umat Muhammad) adalah yang terakhir (datang ke dunia) tetapi yang terdahulu (diadili) pada hari kiamat. Kita adalah yang paling dahulu masuk syurga, padahal mereka diberi kitab lebih dahulu daripada kita sedangkan kita sesudah mereka. Kita diberikan petunjuk oleh Allah akan kebenaran yang mereka perselisihkan itu yang Allah telah tunjukkan kepada kita iaitu Hari Jumaat. Maka hari ini (Jumaat) adalah untuk kita. Besok (Sabtu) untuk kaum Yahudi dan lusa (Ahad) untuk kaum Nasrani."
BESARKAN TEKS A- A+
Jumaat merupakan hari berkumpulnya umat Islam di seluruh dunia di masjid-masjid mereka untuk mendengar dua khutbah Jumaat yang mengandungi kata-kata nasihat, hal ehwal semasa, peringatan , wasiat bertaqwa serta doa yang disampaikan oleh khatib dan seterusnya mengikuti solat Jumaat. Solat Jumaat dua rakaat yang difardhukan kepada seluruh umat Islam juga membuktikan bahasawa hari itu adalah hari yang mulia yang perlu di ambil manfaat untuk mendapat ganjaran setiap amal ibadat yang dilaksanakan. Beruntunglah kepada negeri-negeri yang bercuti pada hari Jumaat kerana mereka ada masa untuk melakukan persediaan awal sebelum solat Jumaat di masjid.
Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda: “Sesiapa hadir solat Jumaat pada saat pertama, dia umpama berkorban seekor unta; Sesiapa hadir solat Jumaat pada saat kedua, dia seperti berkorban seekor lembu; Sesiapa yang menghadiri solat Jumaat pada saat yang ketiga, dia seperti berkorban seekor kibas; Sesiapa hadir solat Jumaat pada saat keempat, dia seperti memberi hadiah seekor ibu ayam, dan Sesiapa hadir solat pada saat kelima, dia seolah-olah memberi hadiah sebiji telur.
Antara sunnah dan adab hari Jumaat adalah seperti berikut:
- Mandi sunat Jumaat dan membersihkan diri sebelum pergi ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat
- Memotong kuku
- Mencabut bulu ketiak serta ari ari dan juga mencukur misai.
- Memakai wangi wangian
- Memakai pakaian yang bersih dan cantik
- Membaca surah al Kahfi pada malam Jumaat dan siangnya
- Memperbanyakkan selawat ke atas nabi اللهم صل على محمد وآل محمد.
- Memperbanyakkan meminta doa
- Memperbanyakkan amalan yang baik seperti bersedekah dan membantu orang lain
- Datang awal ke masjid
- Mendirikan solat sunat Tahiyattul Masjid 2 rakaat walaupun imam sedang menyampaikan khutbah
- Hendaklah tidak berkata kata dan berdiam diri ketika khutbah disampaikan
Rebutlah ganjaran pahala dengan melakukan mengamalkan sunnah dan adab pada hari Jumaat. Semoga hari Jumaat ini menjadikan kita insan yang bertakwa dan beristiqamah dalam melakukan amal ibadat kepada Allah SWT pada setiap masa.