Tidak ramai pelakon dari Asia Tenggara benar-benar berjaya mencipta nama di Hollywood.

Antara nama yang ketika ini sudah layak dikatakan berjaya adalah Henry Golding, aktor kelahiran Sarawak yang kini menetap di England - kini menjadi salah seorang pelakon popular selepas memainkan watak dalam filem Crazy Rich Asians.

Selain beliau, aktor aksi dari Thailand iaitu Tony Jaa, pesilat hebat dari Indonesia iaitu Iko Uwais serta pelakon 'bawah radar' dari Filipina iaitu Reggie Lee yang sudah mempunyai karier panjang di Hollywood, merupakan antara nama-nama besar lain. 

BESARKAN TEKS     A-  A+

Jika dibandingkan dengan Henry Golding, nama Joe Taslim mungkin lebih dikenali sebagai seorang pelakon aksi. Namun bintangnya tampak mempunyai potensi untuk pergi lebih jauh.

Siapakah Joe Taslim? 

joe taslim menang kejohanan judo

Kali pertama penulis mendengar nama beliau, adalah semasa industri hiburan sibuk membicarakan berkenaan sebuah filem Indonesia berjudul 'The Raid.' Impak filem itu kepada majoriti aktor yang terlibat di dalamnya cukup besar, menjadi pembuka jalan kepada mereka untuk meniti perkembangan karier yang lebih luas.

Bintang utama filem itu, Iko Uwais dipanggil untuk bergandingan dengan Keanu Reeves dalam Man of Tai-Chi selain terlibat dalam filem ketujuh trilogi Star Wars.

Yayan Ruhian, seorang jurulatih silat pula terpilih untuk menyertai projek pengarah legenda Jepun, Takashi Miike dalam filem Yakuza Apocalypse, bersama dengan Iko dalam Star Wars selain memaparkan aksi hebat dalam filem John Wick 3. Yayan juga bakal beraksi dalam filem 'Mat Kilau' arahan pengarah tempatan Shamsul Yusof.

Berbeza dengan dua rakannya, Joe Taslim atau nama penuhnya Johannes Taslim terlibat dalam filem Fast and Furious 6 dan memegang watak sampingan dalam filem Star Trek Beyond - sebelum ditawarkan melakonkan watak utama dalam filem adaptasi permainan video 'Mortal Kombat.' 

Itu satu pencapaian yang sangat membanggakan bagi seorang pelakon Indonesia. Lahir pada 23 Jun 1981 di Palembang, Indonesia, Joe didedahkan dengan seni pertahanan diri sejak kecil - mula aktif dalam mempelajari seni wushu, judo, taekwondo dan pencak silat.

Menjadi atlit judo pasukan Indonesia

joe taslim sukan judo 945

Minatnya yang sangat mendalam mendorong beliau untuk mula serius menjadikan seni pertahanan diri sebagai kerjaya dan Joe memilih sukan judo sebagai fokus. Dia mula bergelar atlit judo profesional, memenangi beberapa kejohanan judo peringkat kebangsaan sebelum terpilih mewakili Indonesia ke beberapa temasya peringkat Asia dan Asia Tenggara.

Sepanjang karier sebagai atlit judo yang bermula dari tahun 1997 sehinggalah 2009, Joe telahpun bertanding di peringkat tertinggi, memenangi pingat emas kejohanan judo Asia Tenggara dan pingat perak kejohanan Sukan SEA tahun 2007. 

Karier beliau dalam sukan judo berakhir selepas dia gagal pulih daripada kecederaan yang dialami, memaksa dirinya bersara pada tahun 2009. Joe mula serius menukar haluan kerjayanya, menyertai dunia seni selain turut sama terpilih sebagai model pengiklanan. 

Nasib beliau baik selepas terpilih untuk memegang watak pembantu dalam filem The Raid, selepas berjaya menunjukkan kemampuan melakukan aksi pertarungan yang mengagumkan serta kebolehan berlakon dengan baik.

Memegang watak fantasi ikonik 

joe taslim bihan sub zero

Pada bulan Julai tahun 2019, nama Joe Taslim mula menjadi sebutan selepas dia diumumkan bakal memegang watak ikonik Bi-Han/Sub-Zero dalam filem 'Mortal Kombat.'

Bagi mereka yang kaki game, besar kemungkinan anda sudah mengenali watak tersebut yang diperkenalkan sejak tahun 1992 serta persengketaannya dengan seorang lagi watak ikonik bernama Scorpion. Kedua-duanya watak terus menjadi antara watak-watak paling terkenal dalam industri permainan video walaupun sudah diperkenalkan lebih 29 tahun dahulu!

Oleh kerana itulah pengumuman bahawa Joe Taslim, seorang aktor 'kurang ternama' dari Indonesia bakal membawa watak tersebut mendapat reaksi banyak pihak - kerana namanya harus diakui kurang dikenali berbanding Tony Jaa atau Henry Golding di Hollywood.

Demi memastikan tahap prestasinya dapat diterjemahkan ke dalam kamera dengan baik, Joe memulakan regimen latihan untuk memastikan pergerakannya optimum. Dia mengamalkan larian intensif selama 20 minit setiap hari, sebelum mula melakukan latihan pergerakan yang meningkatkan ketangkasan.

Hasilnya dikatakan sangat mengagumkan sehinggakan gerakannya semasa berlakon, sukar untuk dirakamkan dalam kamera.

Kamera terlalu perlahan untuk merakamkan pergerakannya

joe taslim sub zero

Diletakkan sebaris dengan aktor legenda Jepun, Hiroyuki Sanada yang memegang watak Scorpion, pengambaran aksi pertarungan filem tersebut sering berdepan masalah disebabkan oleh kegagalan kamera untuk merakamkan pergerakan Joe. 

Pengarah filem tersebut perlu meminta Joe memperlahankan pergerakannya agar visual yang dirakamkan dapat difahami oleh pasukan produksi dan yang lebih penting, oleh penonton. Joe mengaku semasa memainkan watak tersebut, dia kurang cermat dalam mengawal pergerakannya sehinggakan semua aksi yang dimainkan dilakukan sepenuh hati.

Selepas menerima arahan pengarah, Joe mula mengawal gerakannya bagi membolehkan kamera merakamkan keseluruhan aksinya.

Selain itu, watak Sub-Zero yang dimainkan beliau memerlukan beliau memakai topeng muka yang menutupi hampir keseluruhan wajahnya; topeng itu menjadi masalah besar ketika dia berlakon.

joe taslim atlit judo indonesia yang kini bergelar bintang hollywood 343

Kegagalan topeng itu untuk melekat dengan sempurna pada wajah serta 'mengikuti' semua gerakan pantas, menyebabkan ada kalanya topeng itu seakan-akan tertinggal di belakang semasa aksi dibuat - jadi beberapa penambahbaikan terpaksa dilakukan kepada topeng itu selain Joe sendiri perlu memperlahankan dirinya.

Sambutan peminat filem terhadap filem ini sangat memberangsangkan, walaupun ulasan berkenaan filem ini menunjukkan filem ini bukanlah untuk semua - ekoran jalan ceritanya yang ringkas dan aksi ganas yang keterlaluan.

Dalam temubual bersama majalah Variety, Joe Taslim sudah mengumumkan dia telah menandatangani kontrak untuk 4 lagi filem dalam siri Mortal Kombat, sekiranya filem pertama ini berjaya dari segi kutipan.

Untuk seorang atlit judo dari Palembang, semua yang sedang dinikmatinya merupakan satu pencapaian yang kami di Malaysia turut sama tumpang banggakan.

Bolehlah kan? Kita kan berjiran dan serumpun. 




Hakcipta iluminasi.com (2017)