Kredit foto: Instagram Elly Mazlein
Penyanyi Elly Mazlein tidak mahu penyanyi profesional yang menyertai pertandingan Gegar Vaganza (GV) dipandang negatif oleh sesetengah pihak.
Malah dirinya sendiri yang juga peserta program itu tahun lalu mengakui telah menerima impak positif dalam kerjaya seni.
“Bagi saya, GV merupakan pembuka rezeki. Penyertaan penyanyi profesional lain tidak harus dipandang remeh kerana GV merupakan satu program yang memberi banyak impak positif.
“Saya bersyukur kerana menyertai GV tahun lalu dan saya akui GV banyak membantu dalam menyemarakkan karier nyanyian saya,” kata Elly menurut laporan portal Astro Gempak.
Penyanyi yang pernah meletup dengan lagu Bungaku Bakawali itu memberitahu tawaran nyanyiannya yang diterima tidak pernah putus sejak berakhirnya program berkenaan.
Dia bersyukur dan menganggap ia adalah rezeki buat anak dan bapanya yang menjadi tanggungannya kini.
“Alhamdulillah, semenjak GV, undangan nyanyian tidak pernah putus. Saya tidak menang tangan, kadang-kadang rasa penat pun ada.
“Tapi saya buang perasaan itu jauh-jauh kerana saya mencari rezeki demi anak dan bapa saya. Rezeki yang datang juga adalah rezeki mereka.
“Menariknya, semenjak tamatnya program itu, peminat lebih suka jika saya menyanyikan lagu tugasan yang pernah saya dendangkan sewaktu GV3. Bayangkan, orang lebih suka saya nyanyi lagu Perawan Atau Janda berbanding lagu saya sendiri,” dedahnya.
Gegar Vaganza musim keempat akan ke udara bermula 29 Oktober ini, setiap Ahad, jam 9 malam di saluran Astro Ria.
12 penyanyi yang bertanding ialah Hazami, Liza Hanim, Aishah, Elyana, Syura, Haida, Raja Azura, Aqasha, Lan Kristal, Tia Jinbara, Firman Siagian, dan Ferhad.
Sumber berita: Astro Gempak