Kredit foto: Instagram Fazura
Sebulan mengenakan hijab di kepala, aktres Nur Fazura membuat keputusan menanggalkannya usai berakhirnya Ramadan lalu.
Tindakan berkenaan tentu saja mendapat reaksi pelbagai pihak, namun ujar pelakon ini, dia bertudung tidak hanya atas alasan menghormati bulan penuh rahmat itu, tetapi juga demi melatih diri menjadi manusia yang lebih baik.
Pelakon J Revolusi ini menangkis cemuhan yang dilemparkan terhadapnya dengan mengatakan perjalanan hidupnya yang tertulis berbeza daripada wanita lain, menjadi punca dia tidak lagi mengenakan imej menutup kepala.
Kredit foto: Instagram Fazura
"Kenapa saya membuka hijab selepas Ramadan semata-mata kerana perjalanan kehidupan saya yang telah tertulis berbeza dengan anda dan wanita lain di dunia ini.
"Saya tidak mahu bercakap tentang perkara ini lagi, ia adalah rahsia antara saya dengan Allah," ujarnya sebagai menjawab pertanyaaan seorang pengikut.
Mengekalkan gaya bertudung itu baginya harus didorong oleh perasaan dan hati yang tidak diselubungi kepura-puraan.
Fazura berkata, beliau akan berhijab apabila sudah bersedia melaksanakannya, tanpa dipengaruhi atau mengambil kira pandangan pihak lain.
"Saya percaya ia penting bagi saya untuk benar-benar komited dan dengan niat sebenar apabila saya mengubah sepenuhnya secara rohani untuk menjadi muslimah sebenar," katanya.