Kredit foto: Instagram Sajat
Kontroversi usahawan Muhammad Sajad Kamaruzzaman atau lebih dikenali sebagai Nur Sajat yang berpenampilan wanita di Mekah, membawa kepada pertemuan antara Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa bersama agensi pelancongan umrah yang menguruskan perjalanan rombongan ahli perniagaan itu.
Selain Albayt Travel (M) Sdn Bhd, pertemuan petang Isnin itu turut melibatkan wakil Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Mujahid berkata, agensi Albayt Travel dipanggil kerana ingin mendapatkan keterangan berhubung situasi sebenar yang berlaku di Mekah.
Hasil perbincangan, Mujahid menegaskan, Sajat perlu melakukan ibadah umrah sebagai seorang lelaki mengikut keputusan fatwa muzakarah haji berhubung isu melibatkan ibadah haji atau umrah oleh golongan mukhannas.
Kredit foto: Instagram Sajat
“Kami berpegang kepada fatwa yang dikeluarkan oleh fatwa muzakarah haji yang terang dan jelas (menyebut) kekal seseorang yang asal gendernya lelaki maka, segala hukum hakam (untuk mengerjakan haji atau umrah) hendaklah mengikut hukum asal kejadian dirinya,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan malam tadi.
Tambah Mujahid, SKMM turut sama terlibat dalam pertemuan itu kerana tindakan akan dilakukan selepas beberapa video dan foto Sajat berpakaian jemaah wanita di Tanah Suci dimuat naik di laman sosial hingga mencetuskan suasana tidak harmoni dalam kalangan umat Islam.
“Saya akan mengambil tindakan tegas tentang perbuatan Muhammad Sajad Kamaruzzaman yang memuat naik video dan gambar mengenakan pakaian jemaah wanita ketika di Makkah sehingga tular di media sosial yang menimbulkan ketidakselesaan umat Islam.
“Tindakan segera akan diambil oleh SKMM,” katanya susulan pertemuan yang berlangsung di pejabatnya di Kompleks Islam Putrajaya.
Dalam pada itu, Mujahid memaklumkan tentang hak suruhanjaya berkenaan untuk menyekat laman sosial yang berkongsi kandungan yang boleh menyebabkan ketidakselesaan dalam kalangan masyarakat terutamanya umat Islam.
“Oleh itu, saya telah meminta nasihat dan memberi pandangan bagaimana satu tindakan yang tegas tentang isu ini,” katanya.
Sebelum ini, Albayt Travel menjelaskan tanggungjawab yang telah diambil mereka dalam memastikan Sajat mengikut garis panduan pemakaian yang ditetapkan sebelum bertolak ke Tanah Suci.
“Untuk trip keluarga Sajat tunaikan umrah, kami di Albayt Travel hanya bantu permudahkan urusan umrah dengan saranan supaya ikut garis panduan ditetapkan.
“Sekiranya lelaki semestinya dengan penampilan lelaki dan sebaliknya untuk perempuan.
“Jadi sepanjang pelepasan semuanya mengikut garis panduan yang ditetapkan. Cuma sebaliknya berlaku apabila di sana,” ulas agensi terbabit dalam kiriman Facebook pada Ahad.
Sumber berita: Mujahid panggil agensi umrah, Muhammad Sajad akan dikenakan tindakan tegas selepas bertelekung di Makkah