Kredit foto: Instagram @mawar_karim
Baru-baru ini kecoh mengenai spekulasi status rumah tangga pelakon Fizo Omar dan isterinya, Mawar Karim yang dikatakan berantakan.
Kelmarin, Fizo menulis status Facebook menyatakan dirinya akur dengan apa saja keputusan ditentukan mahkamah serta bersedia memaafkan semua pihak.
Kata bekas peserta Hero Remaja itu lagi, dia memohon agar netizen dapat mendoakan yang terbaik bagi mencari titik penyelesaian kemelut yang dihadapi.
Antara lain, Fizo menegaskan hubungannya dengan Mawar akan kekal berbaik demi anak tunggal mereka.
Kredit foto: Instagram @mawar_karim
Sementara itu, sebentar tadi, Mawar, 30, menerusi kemaskini terbaharu Instagram meminta agar tiada lagi campur tangan dan spekulasi daripada pihak luar membabitkan isu rumah tangga mereka.
Dalam laporan temubual bersama Harian Metro pada pagi ini pula, ahli perniagaan itu mengakui ada berjumpa peguam untuk mendapatkan khidmat nasihat, meskipun tidak dinyatakan butiran tarikh, masa dan lokasi.
Katanya, "Sebelum ini memang saya ada rujuk pada pejabat agama, peguam dan pakar motivasi perkahwinan untuk mendapatkan nasihat mengenai isu rumah tangga kami.
“Semua orang impikan kebahagian dalam rumah tangga. Cuma, apa pun yang berlaku biarlah antara suami isteri saja yang tahu".
Dalam pada itu, diajukan pertanyaan mengenai responnya berhubung luahan hati Fizo di laman Facebook yang seakan membayangkan pergolakan rumah tangga berusia enam tahun itu, jawab Mawar:
“Saya takut komen disalah tafsir. Saya minta maaf sangat, buat sementara tak boleh komen".
Untuk info, Fizo dan Mawar mendirikan rumah tangga pada November 2013 dan sehingga kini dikurniakan seorang cahaya mata perempuan bernama Wan Maryam berusia dua tahun.
Sumber berita: Harian Metro