Kredit foto: tawaurians.com & The Star
Pengacara Nabil Ahmad menyifatkan status Chef Wan di laman Instagram sebagai kenyataan berbaur hasutan yang mampu menjejaskan reputasinya sebagai selebriti.
Nabil atau nama sebenarnya, Ahmad Nabil Ahmad, 34, menganggap tindakan chef selebriti itu menuduh pengacaraannya menjadi punca remaja bersifat kurang ajar boleh mencalarkan imej beliau sebagai artis yang juga duta kepada beberapa produk.
Bakat yang dicungkil daripada program realiti Raja Lawak ini sekaligus memberi amaran agar dia tidak lagi memuat naik kiriman media sosial berkaitan.
"Kata-kata yang dimuat naik di laman Instgaram itu sudah melampau kerana menuduh saya sebagai punca anak-anak kurang ajar. Itu satu isu besar dan serius terutama bila dia hanya menyerang saya seorang, bukannya team Gegar Vaganza.
"Semalam peguam menghubungi saya berkaitan hal itu dan menganggap kenyataan beliau berunsur hasutan dan menyediakan ruang untuk orang membenci saya," katanya menurut portal Mstar Online.
Nabil mengulas video komen balasnya terhadap tuduhan Chef Wan pada Isnin.
Beliau bertindak menghapuskan video berkenaan selepas diserang pelbagai reaksi netizen.
Nabil yang juga pengacara rancangan Meletop berkata, dia muncul dalam video itu susulan nasihat diberikan peguamnya yang kini sedang mengumpul bukti berkaitan isu berkenaan.
"Kalau ikut saya memang saya tidak mahu layan tapi peguam yang menjaga kerjaya saya menganggap ia sebagai sesuatu yang serius dan merosakkan reputasi.
"Dia minta saya respons bukan untuk bergaduh sebaliknya sebagai bukti kepada klien. Saya perlu menjaga nama baik saya kerana beberapa produk besar yang saya tandatangan meminta penjelasan tentang itu," ujarnya.
Tambah Nabil, apa yang dilaksanakannya dalam rancangan realiti itu adalah atas arahan pihak Astro yang mengarahkannya berbuat demikian.
Justeru, Nabil berkata, Chef Wan seharusnya menggunakan cara profesional jika tidak berpuas hati iaitu bertemu dengan pihak produksi Astro sendiri.
"Gegar Vaganza ini sudah masuk musim keempat dan jika dia tidak suka dengan cara saya dia boleh jumpa pihak Astro dan beritahu tentang itu.
"Jika dia lakukan dengan cara yang betul saya sendiri akan akur. Dia tidak berada dalam produksi dan tidak tahu perjalanan program realiti televisyen," ujarnya.
Sementara itu, Nabil menganggap kenyataan negatif chef selebriti itu membuatkan dia hilang rasa hormat terhadapnya.
Katanya, dia tidak tahu niat Chef Wan yang seperti mahu menutup periuk nasinya.
"Saya sudah hilang hormat padanya, saya hanya hormat dia sebagai orang tua dari saya sahaja. Dulu saya anggap dia seorang ikon contoh untuk berjaya ke peringkat antarabangsa.
"Apa juga restoran yang dia kata sedap pasti saya akan datang cuba (makan). Tapi sekarang maaflah, mungkin tidak lagi," ujarnya.
Terdahulu, Chef Wan mengkritik pengacaraan Nabil kerana dikatakan biadab sewaktu berinteraksi dengan juri program berkenaan.
Malah Chef Wan menganggap gaya hos itu boleh memberi kesan buruk kepada kanak-kanak yang menonton.
Sumber berita: Mstar