Kredit foto: Harian Metro
Penyanyi dan komposer Ippo Hafiz kini dalam proses menurunkan berat badan sebanyak 20 kilogram!
Pelantun lagu Kekal Bahagia itu berusaha untuk memiliki berat badan ideal kerana ingin lebih yakin beraksi di pentas.
Ippo atau Muhammad Hafiz Yaziz, 30, berkata, dia bukan sahaja sedang memperbaiki penampilan diri sebagai selebriti, malah usaha itu dibuat atas faktor kesihatan.
"Terus terang, saya berasa kurang keyakinan diri untuk beraksi di pentas dan bertemu dengan peminat di luar dengan berat badan yang besar sebelum ini.
"Lebih teruk lagi, saya juga berasa semput dan termengah-mengah bila menjayakan persembahan di pentas sebelum ini," katanya.
Beliau membuat kenyataan tersebut di program Fit Hasil bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri yang berlangsung di Akademi Percukaian Malaysia, Bandar Baru Bangi, Selangor, baru-baru ini.
Ippo menyatakan sehingga kini dia sudah menghapuskan 18 kilogram daripada berat badan asalnya.
Misi beliau itu dipantau oleh jurulatih kecergasan sewaktu di gimnasium.
"Berat badan asal adalah 120 kilogram.
"Selepas mengadakan senaman intensif dengan bantuan jurulatih kecergasan di gimnasium, akhirnya, saya berjaya menurunkan berat badan kepada 102 kilogram.
"Menurut jurulatih, saya perlu menurunkan lagi 15 hingga 20 kilogram lagi untuk mendapat berat badan ideal dengan ketinggian," katanya.
Sumber berita: Harian Metro