Kredit foto: BH Online & Instagram Ippo Hafiz

Penyanyi Ippo Hafiz mendedahkan sudah mengambil anak angkat perempuan lebih setahun yang lalu di mana kanak-kanak itu kini telahpun menjangkau usia setahun lima bulan.

Ippo menjelaskan, anak angkatnya yang diberi nama Cinta Rizky Amanda itu didaftarkan atas nama ibu bapanya berdasarkan prosedur. Ini berikutan beliau masih berstatus bujang dan anak angkatnya itu pula merupakan bayi berjantina perempuan.

"Saya buat keputusan mengambilnya sebagai anak angkat sebelum dia dilahirkan lagi.

"Saya bukan ingin berahsia tetapi saya fikir Cinta masih kecil lagi dan saya hanya memaklumkan mengenai perkara itu di Instagram bersempena sambutan Maulidur Rasul yang lalu.

"Tambahan pula segala dokumentasi berhubung mengambil Cinta sebagai anak angkat sudah pun selesai dan saya sendiri yang memberinya nama," kata Ippo atau Muhammad Hafiz Yaziz kepada Mstar Online.

hampir dua tahun ippo hafiz rahsiakan jadi bapa 2

Kredit foto: Instagram Ippo Hafiz

Sementara itu, Ippo berkata, pengambilan Cinta sebagai anak angkat adalah rentetan rasa kasihan melihat ibu kandung kanak-kanak itu yang tidak mampu memberikan kehidupan yang baik kepadanya.

Apatah lagi Ippo memang menyimpan niat untuk mengambil anak angkat, lalu kehadiran Cinta dirasakan umpama rezeki daripada Allah.

"Keluarganya susah dan saya sering terfikir apa akan terjadi kepadanya jika saya tidak ambilnya sebagai anak saya.

"Walaupun saya belum berkahwin tetapi memang saya teringin nak ada anak dan Alhamdulillah Allah hantarkan Cinta kepada saya," ujarnya.

Bercerita lanjut tentang pengalaman menjaga bayi, Ippo yang tidak mempunyai pengalaman, berasa beruntung kerana usahanya itu dibantu oleh kedua ibu bapa yang banyak memberi tunjuk ajar.

"Pada awalnya memang saya takut kerana tiada pengalaman. Kalau dah kahwin sekurang-kurangnya ada isteri untuk lalui proses pembelajaran itu.

"Syukur ibu bapa banyak bantu, Alhamdulillah hampir dua tahun saya semakin mahir menguruskan keperluan anak dan kehadiranya banyak mengubah hidup saya," katanya.

Dalam pada itu, Ippo akui tidak tertekan dengan status sebagai 'bapa' yang dipegangnya hingga membuatkan para wanita mungkin takut untuk mendekatinya.

"Sebenarnya ramai orang ingat saya sudah berkahwin dan tentang kahwin saya tak bimbang kerana saya percaya kepada jodoh.

"Insya-Allah kalau ada jodoh pasti saya dipertemukan dengan wanita yang boleh menerima saya dan anak," jelasnya.

Beralih kepada perkembangan kerjaya, Ippo berkata, kehadiran Cinta telah memberikan inspirasi untuk penghasilan single terbaharu berjudul Rahsia Tuhan yang juga lagu runut bunyi drama rantaian Tiada Arah Jodoh Kita.

"Semua yang berlaku dalam hidup kita adalah rahsia Allah dan seperti Cinta yang hadir dalam hidup saya, saya sendiri tidak pernah menjangkakannya.

"Cinta inspirasi saya menulis lagu terbaharu dan Insya-Allah selepas sibuk dengan kerja menggubah lagu sebelum ini, tahun ini saya akan kembali aktif sebagai penyanyi," katanya.

Sumber berita: Mstar




Hakcipta iluminasi.com (2017)