Kredit foto: Youtube Off the Great Wall
Bayangkan suatu masa nanti, peranan robot bukan sahaja dalam bentuk mesin fotostat tetapi mereka bakal mengambil alih tempat anda membuat kerja-kerja pejabat. Jom semak senarai pekerjaan yang semakin dimonopoli oleh robot.
1. Agen pelancongan
Kewujudan laman web dan aplikasi seperti Expedia, Airbnb dan AirAsiaGo menyebabkan khidmat agen pelancongan kian dilupakan bagi membuat tempahan hotel dan tiket penerbangan. Dengan kemudahan teknologi ini juga, anda boleh memilih pakej pelancongan yang ditawarkan mengikut kehendak dan kemampuan. Ternyata, perjalanan anda menjadi lebih mudah tanpa perlu membuat janjitemu terlebih dahulu. Bukan itu sahaja, anda juga mempunyai masa yang lebih fleksibel untuk merancang perjalanan anda lebih awal dan berpeluang untuk menukar fikiran.
BESARKAN TEKS A- A+
2. Operator komputer
Kecanggihan teknologi menyebabkan tugas operator komputer lupus ditelan zaman. Kini terdapat pelbagai jenis perisian yang direka khas untuk membaiki komputer yang bermasalah secara automatik. Bukan itu sahaja, telefon atau laptop yang rosak atau gagal berfungsi dengan baik juga dapat dikesan dengan pantas dimana manusia pun tidak mampu lakukan.
3. Ejen insuran
Pernahkah anda terfikir yang tuntutan insuran anda akan menjadi lebih mudah jika menggunakan mesin? Ini bukan sebuah rekaan ilusi semata-mata - sebuah syarikat Jepun bernama Fukoku Mutual Life Insurance pernah menghebahkan untuk menggantikan pekerja mereka dengan 'artificial intelligence' bagi mempercepatkan proses tuntutan.
4. Peguam
Percayalah, robot peguam pertama telah pun dicipta yang berfungsi menyelesaikan isu denda parkir dan penerbangan yang lewat. Lebih menarik lagi, penciptanya, Joshua Browder tidak mengambil sebarang bayaran bagi servis tersebut. Dengan hanya bercerita masalah anda di ruang sembang, robot berkenaan telah memenangi sebanyak kira-kira 160,000 sebutan kes tiket parkir sejak dilancarkan pada tahun 2016. Turut diramalkan jika dengan penggunaan lebih 250,000 kali, robot tersebut mampu mengambil alih bidang perundangan manusia.
Kredit foto: reddit.com
5. Posmen
Sebelum zaman internet berkembang pesat, masyarakat lebih selesa menggunakan khidmat posmen untuk sebarang tujuan surat-menyurat rasmi mahupun menghantar surat peribadi atau kad raya sebagai tanda ingatan. Kini, ianya sudah lupus kerana sebarang urusan rasmi dibuat secara atas talian menggunakan emel, media sosial dan sebagainya.
6. Pemandu
Tidak dinafikan kewujudan Uber dan GrabCar merupakan inovasi besar dalam industri pengangkutan sehingga para pemandu teksi berasa terkesan dan hilang punca pendapatan. Dalam hal yang lain, kereta yang boleh bergerak sendiri tanpa pemandu juga sudah mula diperkenalkan dan sedang dalam fasa ujikaji. Malah, Singapura sudah mula mencuba kenderaan sebegitu yang diberi nama nuTonomy di atas jalan raya. Untuk pengetahuan, nuTonomy menggunakan data pancaindera yang diprogramkan seperti radar, GPS dan komputer bagi mengesan dan memahami keadaan sekeliling. Namun, isu keselamatan merupakan faktor utama yang menjadi perdebatan sehingga projek ini tertangguh dan tidak dilancarkan secara rasmi sehingga kini.
Kredit foto: nutonomy.com
7. Juruterbang
Bukan sahaja kereta, malah kapal terbang 'pandu sendiri' juga sedang dalam proses untuk dilancarkan. Baru-baru ini, Amerika Syarikat telah mencipta dan mencuba robot juruterbang iaitu Aircrew Labor In-Cockpit Automation System (ALIAS). Tugas ALIAS dibantu oleh sebuah kamera yang akan mengamati suis dan meter di dalam kapal terbang. Malah, ALIAS juga mempunyai lengan untuk mengawal pendikit. Tujuan penciptaan ALIAS adalah bagi memudahkan juruterbang untuk fokus kepada perkara lain contohnya memperolehi maklumat.
8. Pakar bedah
Sebuah robot yang dinamakan Smart Tissue Autonomous Robot (STAR) telah diuji untuk menjalankan pembedahan tisu lembut pada bahagian perut khinzir dengan menjahit kembali bahagian ususnya pada pembedahan terbuka. Hasilnya terbukti apabila jahitan yang dibuat STAR adalah lebih kemas dan peluang untuk ianya terbuka semula sangat tipis. Lebih membimbangkan, pakar turut bersetuju cara kerja STAR adalah lebih baik dari pakar bedah manusia.
Kredit foto: edition.cnn.com
Jika salah satu daripada pekerjaan di atas merupakan kerjaya pilihan anda di masa hadapan, mungkin ini masa terbaik untuk anda berfikir dua kali dan mempertimbangkannya semula.
Sumber rujukan: worldofbuzz.com