Di Malaysia, rumah yang memiliki bekalan air panas dianggap sebagai satu kemewahan kerana memerlukan alat pemanas dan menjadikan bil elektrik yang lebih mahal.
Namun, di negara-negara yang mempunyai 4 iklim, bekalan air panas merupakan satu keperluan asas kehidupan.
Hampir semua negara 4 iklim menggunakan sistem perpaipan di mana satu paip air boleh dilaraskan suhunya kepada air sejuk, suam atau panas.
BESARKAN TEKS A- A+
Namun, terdapat pengecualian di United Kingdom (dan mungkin beberapa buah negara lain) di mana sinki mempunyai dua paip yang mengalirkan air sejuk dan panas secara berasingan.
Bagi pelancong atau warga asing yang bekerja dan belajar di UK, ramai yang tertanya-tanya mengapa sistem ini digunakan kerana ia seolah-olah menyusahkan pengguna.
Namun, ada sebab di sebalik semua ini dan disebabkan oleh peraturan kesihatan United Kingdom yang agak ketat.
Sebelum perkara ini dijelaskan, harus diketahui bahawa air sejuk dari paip dapur (kadang-kala pair tandas) di UK boleh diminum secara terus yang mana dibekalkan daripada sumber utama (bukan dari tangki simpanan).
Pembinaan rumah selepas Perang Dunia Kedua
Dalam kebanyakan rumah di UK yang dibina selepas Perang Dunia Kedua, terdapat tangki simpanan air di bahagian loteng rumah.
Tangki air ni menjadi bekalan kepada tangki simpanan air panas, yang bertindak sebagai sumber pemanasan pusat di mana ia mengalir ke pemanas udara di sekitar kawasan rumah.
Air panas ini juga disalurkan kepada paip-paip pada sinki, tandas dan bilik mandi. Namun masalahnya adalah air ini mungkin tidak selamat untuk diminum.
Hal ini kerana dalam situasi tertentu, tangki simpanan air di atas loteng mungkin tercemar oleh karat, haiwan-haiwan seperti tikus, tupai, merpati dan banyak lagi kerana tidak diselenggara dengan baik.
Tercemarnya tangki air di atas loteng bermaksud tangki air panas juga tercemar, dan boleh membahayakan kesihatan jika terminum.
Malah, menurut Peraturan Bekalan Air 1999, air ini tidak dikira sebagai air minuman.
Dan jika paip campuran digunakan, secara teorinya, ia boleh menyebabkan air tercemar untuk mengalir melalui paip campuran dan memasuki paip air sejuk (air minuman) seterusnya mengalir ke bekalan air awam.
Oleh itu peraturan bangunan di UK melarang pencampuran air panas dan sejuk di dalam paip kecuali jika tangki simpanan air memenuhi piawaian ketat atau injap pelindung dipasang.
Pendek kata, bagi sinki yang mempunyai paip air sejuk dan panas, kedua-dua sumber air ini datang daripada sumber yang berbeza (air sejuk dari paip utama bersih untuk diminum dan air panas dari loteng).
Teknologi moden mengubah sistem
Namun pada zaman moden seperti sekarang, tangki air di atas loteng tidak lagi digunakan kerana kewujudan pemanas air moden yang dibekalkan mengikut kehendak.
Maka, anda akan melihat rumah moden di UK menggunakan paip campuran, tetapi masih ada rumah moden yang menggunakan sistem paip berasingan (biasanya pada sinki tandas).
Menurut warga UK, walaupun pemanas moden memastikan air panas adalah selamat, namun mereka masih bimbang kerana telah diberitahu bahawa jangan meminum air panas daripada paip oleh ibu bapa zaman dahulu.
Jadi, dengan adanya sistem paip berasingan ini membuatkan mereka lebih lega.
Rujukan:
Kenapa UK asingkan paip panas dan sejuk?