Kredit foto: Instagram Umie Aida & Instagram Zon Lawak
Pelakon Datin Seri Umie Aida bertindak menarik diri pada saat akhir daripada pertandingan realiti hiburan spontan, All Stars Buka Panggung.
Ketiadaan Umie pada episod pertama yang berlangsung malam tadi digantikan dengan kemunculan penyanyi dan pengarah, Yusry Abdul Halim.
Mengulas mengenai isu itu, Ketua Strategi Kandungan Hiburan Astro, Raqim Ahmad berkata, bintang Dukun itu berhadapan dengan masalah membabitkan jadual karier seninya.
"Terima kasih kepada Yusry kerana bersetuju untuk mengambil bahagian pada saat-saat akhir.
"Ada sedikit gangguan daripada segi jadual. Difahamkan jadual beliau terpaksa ditukar pada saat-saat akhir untuk program lain dan tidak dapat turut serta.
"Walaubagaimanapun, sekiranya ada lagi sesi seterusnya, ada kemungkinan untuk beliau akan turut serta dan dipertimbangkan pada masa akan datang," katanya kepada Astro Gempak.
Dalam pada itu, Yusry akui pembabitannya di saat akhir selepas dipujuk oleh pihak produksi ketika dihubungi pada minggu lalu.
Kredit foto: Instagram Yusry Abdul Halim
"Saya dihubungi pada minggu lepas dan bersetuju untuk menyertai rancangan ini. Ia memang sebuah pertandingan tetapi tidak terasa pun seperti pertandingan kerana ada kawan-kawan.
"Kami seronok apabila digandingkan di atas pentas," ujarnya.
All Stars Buka Panggung bersiaran selama tujuh minggu pada setiap Jumaat, jam 9 malam di saluran Astro Warna, secara langsung dari Royal Theatre, Shah Alam.
Sumber berita: All Stars Buka Panggung: Umie Aida Tarik Diri, Yusry Ganti 'Last Minute'! Apa Sebabnya?