Kredit foto: Harian Metro

Nama penyanyi Feeza sememangnya tidak asing lagi di kalangan peminat dunia hiburan iaitu sejak zaman kegemilangannya sekitar era 90-an dahulu.

Menempa populariti menerusi lagu berhantu, Ungkapan Kata Bernafas Cinta pada 1996, Feeza yang bernaung di bawah pengurusan Jalil Hamid Production ketika itu, mempunyai kelompok pengikutnya yang tersendiri.

Sejak tahun 2000, minat dalam bidang seni disalurkannya pula kepada kerjaya sebagai artis budaya di Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), sewaktu namanya masih memuncak di kalangan peminat. 

Fiza atau Hafiza Shaari, 42, nekad mengambil keputusan berehat sebagai penyanyi rakaman, untuk memberi tumpuan penuh pada karier sebagai artis budaya kerana dianggapnya punya masa depan yang lebih terjamin bersama keluarga.

“Selepas berkhidmat selama 18 tahun, saya ditawarkan bertugas sebagai Penolong Pegawai Integriti di MPSJ bermula tahun lalu.

“Namun, saya masih membuat persembahan untuk pelbagai majlis anjuran MPSJ. Selain itu, saya masih memenuhi undangan persembahan untuk pihak korporat dan lagu yang disampaikan juga lebih sesuai dengan tema majlis,” katanya kepada Harian Metro.

Biarpun begitu, Feeza akui cinta yang mendalam terhadap dunia nyanyian tidak pernah luntur, lantas memanggilnya untuk kembali menghasilkan single baru pada tahun 2005 dengan menggunakan bajet sendiri.

“Saya juga pernah menghasilkan single ciptaan komposer Allahyarham Datuk Adnan Abu Hassan berjudul Antara Kasih dan Kasihan pada 2005.

“Namun, single yang dihasilkan kurang menyerlah dan gagal menarik perhatian peminat ketika itu. Pada masa sama, saya juga pernah merancang menerbitkan album kedua yang memuatkan 10 lagu tetapi ia terbengkalai.

“Oleh itu, saya terus putuskan untuk fokus pada karier di MPSJ saja hingga sekarang,” katanya.

Meskipun sudah menjangkau usia 42 tahun, penyanyi yang kini selesa mengenakan hijab ini, terdetik untuk terus mewarnai dunia seni menerusi kemunculan semula (comeback).

“Saya tidak anggap diri ini sudah terlewat untuk kembali dalam bidang nyanyian. Saya juga masih mengikuti perkembangan dunia hiburan dengan rakan artis seperjuangan dulu.

“Insya-Allah, jika ada rezeki, saya merancang kembali aktif dalam bidang nyanyian. Saya berharap dapat peluang untuk muncul dalam program seperti Gegar Vaganza pula selepas ini.

“Dari segi lagu baru pula, saya merancang menghasilkan genre lagu yang sama dengan lagu popular dulu kerana ia sesuai dengan vokal,” katanya.

Feeza yang masih solo selepas bercerai dengan suaminya, Ahmad Zahid Hassan pada tahun 2010, akui selesa terus memegang status itu.

Menerusi perkahwinan itu, beliau dikurniakan empat cahaya mata iaitu Muhammad Hafizul Iqram, 16; Nur Alesya Humaira,14; Muhammad Zahirul, 12 dan Nur Zahira, 12.

“Saya belum bertemu pengganti dan masih dengan status solo. Hanya anak sulung yang kini di bawah jagaan saya dan yang lain bersama bekas suami,” katanya.




Hakcipta iluminasi.com (2017)