Kredit foto: Instagram Reshmonu
Penyanyi Reshmonu, yang pernah mewarnai dunia muzik tempatan dengan bakatnya, bakal menggegarkan pentas Gegar Vaganza 2024 (Musim 11).
Cabaran sengit menanti apabila Reshmonu beraksi bersama 13 pesaing hebat, antaranya legenda Liza Aziz dan Ning Baizura, serta bintang popular seperti Ronnie Hussein, Fairuz Selamat dan Zehra Zambri. Tidak ketinggalan, peserta lain termasuk Illa Sabry, Sheila Abdul, Yazid Lovehunters, Nai Dinamik, Arrora Salwa, serta wakil dari Indonesia — Inka Christie, Dyrga Dadali dan kumpulan The Lima.
Konsert GV11 dijadualkan bersiaran pada 24 November 2024, jam 9 malam di Astro Ria (saluran 104), Astro Go dan Sooka.
Biodata
Nama penuh: Hiresh Haridas
Nama komersial: Reshmonu, Resh
Umur: 48 tahun (2024)
Tarikh lahir: 26 Mei 1976
Tempat lahir / Asal: Melaka, Malaysia
Keluarga: Tiga orang adik beradik
Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan
Pekerjaan: Penyanyi, Komposer, Produser, Pelakon, Usahawan
Instagram (IG): @reshmonu
Latar Belakang
1. Reshmonu mula aktif dalam dunia hiburan pada tahun 2004.
2. Beliau memulakan langkah dalam dunia profesional sebagai seorang jurutera bunyi sebelum bergelar penyanyi.
3. Tahun 2004 mencatat sejarah penting apabila beliau melahirkan album sulungnya, Monumental, di bawah naungan label Sony BMG. Album ini sepenuhnya berbahasa Inggeris, menampilkan dua single utama yang mencuri perhatian, Walk Away dan It's You That Matters.
4. Kejayaan album itu tidak terhenti di situ. Pada Anugerah Industri Muzik (AIM) 2004, Monumental menerima tujuh pencalonan, di mana tiga anugerah berjaya dibawa pulang oleh Reshmonu — Persembahan Vokal Lelaki Terbaik, Artis Inggeris Baru Terbaik dan Rakaman Album Terbaik. Tidak hanya itu, beliau terus mengukuhkan namanya dengan meraih beberapa lagi anugerah di edisi-edisi AIM yang berikutnya.
5. Tahun 2015 membawa perubahan besar dalam perjalanan seni Reshmonu apabila beliau memutuskan untuk menjenamakan semula dirinya sebagai 'Resh'. Keputusan menggugurkan "monu" daripada namanya sebagai simbol pendewasaan diri.
Dalam bahasa ibundanya, Malayalam, "monu" membawa makna 'budak kecil', sebuah nama panggilan yang melekat sejak zaman kanak-kanaknya. Kini, dengan nama baharunya, Resh ingin mencerminkan kematangan dan evolusi peribadi serta seni muziknya.
6. Dalam langkah mencabar sempadan muzik, beliau berkolaborasi dengan Jim Beanz, seorang protege kepada Timbaland dari Sunset Entertainment Group, untuk menghasilkan EP bertajuk 'Who Am I' pada tahun 2015. Beanz, yang terkenal sebagai penerbit Amerika bertaraf dunia, mempunyai reputasi bekerja dengan artis antarabangsa ternama seperti Katy Perry, Britney Spears, Shakira, P Diddy, Nelly Furtado, Ciara dan Jamie Foxx.
EP ini membawa sebuah single utama, Half The Man, yang bukan sahaja mendapat perhatian malah juga berjaya menembusi carta radio di Amerika Syarikat.
7. Sepanjang kerjayanya, Reshmonu telah menghasilkan beberapa album, termasuk Monumental (2004), Monumental: The Journey Continues (2005), Superfine (2007), Harapan (2009) dan Who Am I (2015). Pada awal tahun 2012, beliau turut melancarkan album berbahasa Tamil bertajuk Ashtaka, yang dipasarkan hingga ke India.
8. Antara lagu-lagu yang mengangkat namanya termasuk Hey Waley, Half The Man, Cintaku Pergi, Walk Away dan Superfine.
9. Dalam dunia lakonan, beliau pernah muncul di layar perak menerusi filem Nasi Lemak 2.0 (2011) dan Hantu Gangster (2012), yang menonjolkan kebolehannya merentasi pelbagai cabang seni.
10. Pada tahun 2007, beliau menyertai pertandingan realiti nyanyian, Ikon Malaysia di saluran Astro Ria. Bersaing dalam kategori solo, gelaran juara akhirnya menjadi milik Jaclyn Victor.
11. Pada tahun 2022, beliau melangkah ke pentas rancangan The Masked Singer Malaysia musim kedua sebagai Periuk Kera, namun perjalanan itu hanya bertahan hingga minggu ketujuh.
12. Reshmonu berkahwin dengan cinta hatinya, Kavita Rajoo dan daripada perkahwinan itu mereka dikurniakan tiga anak lelaki. Namun, jodoh mereka hanya bertahan sehingga sekitar tahun 2018.
Fakta Menarik
1. Berbangsa India suku Malayali.
2. Memperjuangkan irama etnik, R&B dan soul yang menyentuh pelbagai lapisan pendengar.
3. Dikenali sebagai artis pelbagai bahasa, yang merakamkan lagu dalam Inggeris, Melayu dan Tamil.
4. Namanya sinonim sebagai seorang artis serba boleh, kerana terlibat secara langsung dalam setiap aspek penciptaan albumnya, termasuk pengarahan dan penyuntingan video muzik.
5. Sering menjadi penyanyi pembukaan untuk konsert artis ternama dunia seperti Alicia Keys, Pussycat Dolls, Prodigy dan Black Eyed Peas, ketika mereka menjelajah ke Malaysia.
6. Nama-nama seperti Marvin Gaye, Harry Belafonte, Bob Marley, Brian McKnight dan Luther Vandross menjadi inspirasi dalam perjalanan seninya.
7. Rambut panjang yang digayakan dalam bentuk dreadlock pernah menjadi identiti unik yang melekat dengan diri beliau.
8. Pernah duduk di kerusi juri untuk program nyanyian terkenal, All Together Now Malaysia yang disiarkan di Astro Ria.
9. Genre dangdut di pentas GV menjadi cabaran yang menguji keberaniannya, hingga beliau akui sedikit gentar jika berhadapan dengan tugas itu.
Baca: Biodata Terkini Illa Sabry, Peserta Gegar Vaganza 2024 Musim 11 (GV11)
Baca: Biodata Terkini Zehra Zambri, Peserta Gegar Vaganza 2024 Musim 11 (GV11)
Baca: Biodata Terkini Fairuz Selamat (Q Face), Peserta Gegar Vaganza 2024 Musim 11 (GV11)
Baca: Biodata Terkini Arrora Salwa (Salwa Razak), Peserta Gegar Vaganza 2024 Musim 11 (GV11)
Baca: Biodata Terkini Liza Aziz, Peserta Gegar Vaganza 2024 Musim 11 (GV11)
Baca: Biodata Terkini Sheila Abdull, Peserta Gegar Vaganza 2024 Musim 11 (GV11)
Foto
Anak-anak Reshmonu
Reshmonu bersama bekas isteri dan anak-anak
Ibu Reshmonu
Kredit foto: Instagram Reshmonu
Sumber:
1. Reshmonu kekalkan identiti muzik
2. Album Baru Reshmonu Bakal Tiru Muzik K-Pop
3. "Cukup-Cukuplah" - Tiada Lagi Imej Rambut Panjang Reshmonu!
4. Once Reshmonu to fans, now he is just Resh (with video)
6. Empat tahun menduda, Reshmonu bersahabat baik dengan bekas isteri