"Abang kenapa ni bang?" tanya Marina.
"Abang rasa tak sihat la Na," kata Farid.
"Awak jugak yang beria nak ajak saya datang," kata Marina.
Farid tak tahu apa lagi alasan hendak diberikan. Dia berjalan laju sampaikan Marina tertinggal, lalu terus melangkah masuk ke dewan. Peluh merecik mengalir membuatkan wajahnya berkilat-kilat dalam udara sejuk.
BESARKAN TEKS A- A+
Terus Farid berdiri di tepi pintu dewan, tiba Marina terus berdiri di sebelahnya.
Dari kejauhan, Farid nampak Nadia, gadis pertama mengajar dia erti cinta, duduk bertepuk tangan sambil suaminya di sebelah. Tangan itulah yang dipimpin Farid ketika berjalan-jalan keluar dulu.
Farid berpusing mencari tempat duduk kosong supaya dia dapat duduk cepat. Ada meja kosong tetapi Juliana, gadis yang dia kecewakan selepas bergaduh pada satu malam Rabu bulan Jun tahun 2004, sedang merenung pentas di kelilingi dua orang anak dan suami yang bermisai lebat.
"Ah, ada pun tempat kosong," kata Farid lalu menarik tangan Marina ke arah meja tersebut. Mereka berdua pun cepat-cepat berjalan ke meja itu supaya tidak mengganggu majlis yang sedang dihiburkan kugiran.
"Ada kosong?" tanya Farid.
"Ada, ada. Dua orang kan? Yang tu kosong, yang dua ni ada orang," kata lelaki itu yang tak dikenali. Farid dan Marina cepat-cepat duduk. Lega dia dapat mengelak bertemu mata dengan kekasih-kekasih lama dengan suami dan anak-anak.
"Seronokla batch you buat annivessary, nak harap kitorang punya alumni universiti, susah la," kata Marina pada Farid. Farid hanya mengangguk-ngangguk.
"Eh, Farid?" tegur seseorang.
Farid mengangkat kepala. Rashidah berdiri sambil memegang dua pinggan di tangan, lalu dia meletakkan kedua-dua pinggan berisi makanan di atas meja
Farid hanya mampu diam. Apa yang ditakuti telah berlaku. Marina yang memerhati telatah suaminya yang aneh cepat-cepat menghulurkan salam.
"Abang Farid tak berapa sihat," kata Marina. Farid masih lagi kaku sambil memandang ke lantai yang berkarpet tebal biru.
Rashidah diam. Farid pun diam. Rashidah terbungkam mendengar Marina menggunakan gelaran yang dulu dia gunakan untuk memanggil bekas teman lelakinya itu.
Melihat suasana seolah beku, Marina cuba menjernihkan suasana. "Sama fakulti ke dulu korang?" tanya Marina pada Rashidah.
Rashidah mengangguk lemah.
"Sayang, you dapat kambing tadi? I malas nak queue la, panjang sangat," kata seseorang yang baru tiba, dia berdiri di belakang Rashidah.
Marina terkejut.
"Sani?" tanya Marina, tergamam sampai berdiri.
"Marina?" Sani terpegun."Macam mana you boleh ada sini?"
"Abang?" tanya Rashidah.
"Ina?" tanya Farid.
Sepanjang makan malam itu, mereka berempat hanya diam dan makan. Lagu yang dimainkan, langsung tak dipedulikan.
Dalam perjalanan pulang, Farid dan Marina langsung tak bercakap sepatah pun. Akhirnya, semakin dekat dengan rumah, Farid membuka mulut.
"Ina, boleh kita lupakan yang malam ni berlaku?"
Marina mengangguk.
"Janji dengan saya, kita tak akan benarkan anak kita bercinta sebelum kahwin," Farid memandang jalan tanpa langsung menoleh melihat isterinya.
Marina diam sahaja.
Kemudian dia mengangguk lagi.