Oleh pada 15 Oct 2024 kategori

Kredit foto: Instagram Viu Malaysia

        

Redza Rosli dan Hannah Delisha diberi kepercayaan untuk membawa satu lagi kisah dalam drama Melayu baharu, Di Hatiku Ada Kamu.

        

dihatiku ada kamu

Kredit foto: Instagram Viu Malaysia

       

Karya ini mengambil adaptasi daripada novel 'Di Hatiku Ada Kamu' hasil pena Rinsya Chasiani, kini dihidupkan di dunia visual.

Anda boleh menontonnya di medium dalam talian menerusi Viu Malaysia.

        

Sinopsis

Di Hatiku Ada Kamu menceritakan kisah cinta dan dendam antara Rian Aulia dan Adif Rayqal. Perkahwinan mereka diatur oleh keluarga Rian, namun di sebalik sikap dingin Adif, tersembunyi agenda balas dendam terhadap Idris Holding, empayar keluarga Rian. Meskipun Adif awalnya hanya ingin menggunakan Rian, dia tanpa sedar mula jatuh cinta. Namun dendamnya tetap teguh, menyebabkan pergolakan dalam keluarga Rian. Kerana tak tahan diperangkap dalam perjanjian licik Adif, Rian akhirnya melarikan diri. Empat tahun kemudian, Adif kembali untuk menebus semula cintanya.

        

Sinopsis penuh:-

Di Hatiku Ada Kamu mengisahkan tentang Rian Aulia yang tanpa disangka mula terpaut kepada Ahmad Adif Rayqal sejak pertemuan pertama mereka, yang dirancang oleh keluarganya.

Adif, dengan karisma tersendiri, hadir dengan aura misteri yang membangkitkan persoalan kepada Rian. Namun di sebalik sikap dingin Adif, tersimpan masa lalu yang penuh kelam dan agenda tersembunyi.

Atas desakan bapa Rian, Idris, yang ingin menjadikan Adif sebagai menantu pilihannya, Rian tanpa ragu-ragu bersetuju untuk mengahwini lelaki yang belum sepenuhnya dikenali itu, hanya demi melihat kebahagiaan kedua orang tuanya. Tambahan pula, Adif kelihatan seperti lelaki budiman.

Manakala bagi Adif, seorang peguam yang paling dipercayai dalam syarikat Idris Holding, tidak menolak peluang apabila pemilik syarikat, Idris, memilihnya sebagai calon suami untuk anaknya, Rian.

Meskipun mereka terpaksa melalui pelbagai rintangan, perasaan yang tak pernah diungkap membawa mereka ke alam perkahwinan.

Rian, yang mula menemui kebahagiaan dalam rumah tangga itu, setia mencintai Adif sambil tetap menyayangi keluarganya. Namun, saat segala-galanya tampak sempurna, dia dihadapkan dengan satu kebenaran yang mengejutkan — Adif sebenarnya mempunyai niat tersembunyi. Di sebalik semua cinta dan kesetiaan, Adif diam-diam merancang untuk merampas kekayaan keluarganya demi membalas dendam atas kehilangan yang pernah menghancurkan hidupnya.

Kini, Rian terpaksa membuat pilihan berat, satu keputusan yang bukan sahaja menentukan masa depannya, malah juga hubungan dengan Adif, yang mula terasa bagai satu permainan licik.

Adif begitu teguh dengan rancangan balas dendamnya. Bagi Adif, Rian hanyalah batu loncatan untuk mencapai matlamatnya yang lebih besar — menghancurkan empayar perniagaan Idris Holding.

Namun, tanpa disangka, Rian yang pada awalnya dianggap sekadar alat dalam misinya, mula menyentuh hatinya yang selama ini dingin dan beku. Jatuh cinta terhadap Rian tidak pernah menjadi sebahagian daripada pelan Adif. Kini, dia berdepan dengan perasaan yang tidak diundang — perasaan yang membuatkannya berbelah bagi untuk menghancurkan hati wanita yang mula membuka ruang dalam jiwanya.

Adif mula goyah, terutama apabila Rian merayu dengan penuh emosi agar dia tidak mengkhianati keluarganya. Simpati terhadap Rian yang tulus mengusik naluri Adif, namun dendam yang membara dalam hatinya terhadap Idris tidak pernah padam. Walaupun kasih terhadap Rian semakin menekan, keazaman Adif untuk membalas dendam tetap kuat, seakan tidak mahu berganjak.

Rian pula berada dalam dilema besar. Cintanya terhadap Adif semakin dalam, namun kesetiaannya terhadap keluarga tidak boleh disangkal. Dia mula menyedari bahawa perasaannya terhadap Adif hanya akan memusnahkan dirinya dan keluarganya, membuatkannya nekad untuk menafikan cinta yang mula tumbuh di hatinya, walaupun itu bermakna dia harus mengorbankan segalanya.

Rian menyaksikan dengan mata kepalanya sendiri, detik-detik runtuhnya Idris Holding, perniagaan keluarganya yang kini jatuh ke tangan Adif. Keperitan bertambah bila kedua-dua orang tuanya, yang selama ini hidup dalam kemewahan, dihalau keluar dan terpaksa tinggal di sebuah bilik sewa usang — suatu keadaan yang tidak pernah terlintas dalam fikiran Rian sebelum ini. Kejatuhan keluarganya bukan sekadar menyayat hati, malah juga melukakan jiwanya yang masih terbelenggu dalam perasaan terhadap Adif.

Namun, meninggalkan Adif bukanlah semudah yang dijangka. Sejak awal lagi, lelaki itu telah mengikat Rian dengan sebuah perjanjian yang dibuat secara halus, memerangkapnya dalam jerat yang dia sendiri tidak sedar. Rian, yang selama ini tidak tahu-menahu mengenai agenda sebenar suaminya, telah menandatangani perjanjian yang menentukan masa depan anak mereka, semuanya berlaku ketika mereka sedang berbulan madu. Kelicikan Adif sebagai peguam yang begitu bijak menyembunyikan muslihatnya membuatkan Rian terperangkap tanpa sedar dan kini, dia terpaksa menghadapi akibat daripada sebuah kesilapan yang tidak pernah dijangkanya.

Walaupun segala-galanya terasa perit, Rian nekad. Dia memilih jalan sukar, melarikan diri bersama kedua ibu bapanya yang telah jatuh miskin, membawa bersama harapan baru dan anak yang sedang dikandungnya. Tekadnya untuk memulakan hidup baru tanpa bayangan Adif, jauh dari segala luka dan dendam yang selama ini mengikat hatinya.

Empat tahun berlalu dan takdir akhirnya mempertemukan semula Rian dan Adif. Kali ini, Adif kembali dengan satu tujuan, untuk meraih kembali cinta Rian yang pernah dipijaknya sendiri. Namun, bagi Rian, hatinya kini sudah sekeras batu, tak mudah lagi untuk dipecahkan dengan rayuan mahupun penyesalan.

'Di Hatiku Ada Kamu' merupakan sebuah kisah cinta dan balas dendam yang penuh debaran, dibaluti emosi yang dalam dan dihiasi dengan titisan air mata. Sebuah perjalanan cinta yang penuh luka, di mana kasih dan dendam bertarung di hati insan-insan yang terperangkap dalam takdir yang penuh berliku.

        

Baca: 10 Drama Melayu Terbaru TV3 Mesti Tonton (2024), Juga Tersedia Online!

Baca: 10 Drama Korea (Kdrama) Terbaru Mesti Tonton (2023 / 2024), Juga Tersedia Online! (Netflix, Viu, Disney+ Hotstar, Prime Video)

Baca: 10 Drama Thailand (Thai Drama) Terbaru Mesti Tonton, Juga Tersedia Online!

        

sinopsis di hatiku ada kamu

Kredit foto: Instagram Viu Malaysia

        

Pelakon / Cast

Drama Melayu terbaru ini mendapat nyawa daripada gandingan mantap Redza Rosli dan Hannah Delisha, yang menyuntik kehebatan lakonan mereka dalam setiap adegan.

        

di hatiku ada kamu drama

Kredit foto: Instagram Hannah Delisha

       

Memberikan persembahan kepada watak-watak lain ialah Danial Dashuki, Qistina Khaled, Datuk Seri Eizlan Yusof, Mas Anizan, Hazeeq Dean, Husna Mustaffa, Arfie Shah, Mikael Noah, Raja Azmi, Anas Ridzuan, Tiara Suraya dan Natasha Roslan.

         

Watak Pelakon

Hannah Delisha sebagai Rian

Redza Rosli sebagai Adif

Danial Dashuki sebagai Afeeq

Husna Mustaffa sebagai Mun

Eizlan Yusof sebagai Idris

Mas Anizan sebagai Rania

Qistina Khaled sebagai Adelia

Mikael Noah sebagai Farhan

Hazeeq Dean sebagai Sham

Arfie Shah sebagai Faisal

Raja Azmi sebagai Mak Ngah

Natasha Roslan sebagai Rina

Tiara Suraya sebagai Nur Ain

Anas Ridzuan sebagai Pian

       

Pengarah Dan Syarikat Produksi

Drama ini diterjemahkan daripada skrip yang digarap oleh penulis Siti Jasmina Ibrahim dan Ctna Marzuki, sementara pengarahannya dikendalikan oleh Azri Izhar di bawah payung produksi Global Station Sdn Bhd.

       

Lagu Tema (OST)

Kredit video: Ara Johari - Menjaga Jodoh Orang Lain (Official Lyric Video)

       

Tajuk: Menjaga Jodoh Orang Lain

Penyanyi: Ara Johari

Komposer: Ilham Baso

Penulis lirik: Ilham Baso

       

Tarikh Dan Waktu Tayangan

'Di Hatiku Ada Kamu' ditayangkan bermula 10 Oktober 2024, di mana setiap episod baru akan dikeluarkan pada setiap hari Khamis hingga Sabtu, jam 12 tengah hari di platform Viu secara penstriman.

        

di hatiku ada kamu episod

Kredit foto: Instagram Hannah Delisha

       

Ia disusun dalam 26 episod, dengan setiap episod berdurasi selama 45 minit.

       

Jadual Tayangan:-

Minggu 1 - Episod 1, 2, 3

Minggu 2 - 4, 5, 6

Minggu 3 - 7, 8, 9

Minggu 4 - 10, 11, 12

Minggu 5 - 13, 14, 15

Minggu 6 - 16, 17, 18

Minggu 7 - 19, 20, 21

Minggu 8 - 22, 23, 24

Minggu 9 - 25, 26

       

Tajuk cerita? Di Hatiku Ada Kamu

Berapa episod? 26 episod

Setiap hari apa? Khamis hingga Sabtu

Bila tayang? Pukul 12 tengah hari

Tonton di mana? Platform online, Viu

        

Kredit video: Episode 1 [Teaser # 2 ] - Dihatiku Ada Kamu | - Hannah Delisha , Redza Rosli

        




Hakcipta iluminasi.com (2017)