Oleh pada 04 Jul 2020 kategori

Pada 29 Jun 2020, kerajaan India telah mengambil langkah drastik dengan mengharamkan hampir 60 aplikasi telefon pintar milik China, selepas pertembungan maut antara kedua-dua pasukan tentera mereka menjadikan ketegangan antara China dan India ke tahap terburuk dalam tempoh beberapa dekad.

Pertempuran dua minggu lalu, di sepanjang sempadan yang dipertikaikan antara kedua-dua negara paling ramai penduduk di dunia telah menyebabkan 20 tentera India terbunuh dan sejumlah korban China yang tidak diketahui.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Walaupun India telah berikrar untuk mengambil tindakan, namun ia jauh ketinggalan di belakang China dari segi kekuatan ketenteraan dan ekonomi.

Ini membuatkan India kelihatan seperti tidak mempunyai banyak pilihan untuk membalas dendam.

Tetapi syarikat telekomunikasi dan rangkaian sosial China telah lama memerhatikan pasaran gergasi India yang mempunyai potensi tersangat besar.

tiktok haram di india

Kira-kira 50% daripada 1.3 bilion warganegara India mempunyai akses dalam talian.

Antara aplikasi yang diharamkan oleh kerajaan India termasuklah aplikasi perkongsian video popular TikTok yang juga mendapat sambutan hangat di Malaysia.

Ketika ini, India mempunynai pengguna aplikasi TikTok paling ramai di dunia iaitu lebih daripada 200 juta pengguna, jauh meninggalkan negara kedua tertinggi iaitu Amerika Syarikat iaitu sekitar 80 juta pengguna.

Aplikasi ini juga telah dimuat turun sebanyak lebih daripada 600 juta kali di India sahaja.

Aplikasi lain yang juga mengalami nasib sama termasuklah WeChat, UC Browser, Shareit dan Baidu Map.

india tiktok

Menurut kenyataan Kementerian Elektronik dan Teknologi Maklumat India, aplikasi China ini telah "mencuri dan menyebarkan data pengguna secara diam-diam dengan cara yang tidak dibenarkan ke pelayan (server) yang mempunyai lokasi di luar India".

"Penyusunan data ini, perlombongan dan pembuatan profilnya oleh unsur-unsur yang memusuhi keselamatan dan pertahanan nasional India, yang akhirnya mempengaruhi kedaulatan dan integriti India, adalah masalah yang sangat mendalam dan memerlukan tindakan darurat segera," tambahnya lagi.

Pertembungan sempadan bulan ini antara China dan India adalah keganasan terburuk antara dua negara bersenjata nuklear dalam lebih dari 50 tahun.

India menyalahkan China kerana memprovokasi pertempuran dengan menceroboh wilayah yang dituntut mereka di pegunungan Himalaya.

Namun China pula mengatakan bahawa kejadian itu berlaku di bahagian sempadannya, dan tentera India yang menceroboh.

Keadaan tersebut kekal tegang, dengan penambahan pasukan di kedua-dua sisi sempadan.

pertembungan china dan india

Tindakan pengharaman yang dilakukan oleh India membuatkan syarikat pemilik aplikasi TikTok iaitu ByteDance Ltd mungkin kerugian sehingga RM 24 bilion.

Selepas pertembungan pada tahun 2017 antara tentera India dan China mengenai perselisihan sempadan yang lain, tentera India diarahkan untuk memadam berpuluh-puluh aplikasi milik China dari telefon mereka kerana masalah keselamatan negara.

Antara aplikasi yang diarahkan untuk dipadam pada ketika itu seperti Weibo, UC Browser dan Shareit, adalah antara aplikasi yang kini dilarang di seluruh India.

"Firma aplikasi mudah alih China dan firma teknologi lain perlu mematuhi Parti Komunis China berdasarkan undang-undang China, dan ini menimbulkan risiko keselamatan negara," kata Brahma Chellaney, bekas penasihat Majlis Keselamatan Kebangsaan India.

Tindakan pengharaman hampir 60 aplikasi telefon mudah alih China ini dilakukan sejurus selepas kerajaan India secara senyap-senyap mengarahkan dua buah firma telekomunikasi mereka supaya berhenti menggunakan peralatan China dan sebaliknya menggunakan peralatan tempatan.

tiktok famous

Dan pada bulan April, kerajaan India meluluskan undang-undang yang memerlukan kelulusan kerajaan untuk sebarang pelaburan dari entiti China.

Menurut Nikhil Pahwa, pengasas MediaNama, sebuah organisasi yang menganjurkan internet bebas dan terbuka, "nasionalisme-teknologi telah lama wujud di India, yang memandang data sebagai aset nasional".

Nikhil Pahwa menambah bahawa walaupun pemerintah India telah lama bimbang bahawa syarikat-syarikat China menguasai pasaran tempatan dan mengalahkan pemaju aplikasi India, pihaknya juga mempunyai kebimbangan terhadap keselamatan nasional berkenaan apa yang dilakukan oleh China dengan data yang dikumpulkan mereka.

Ini kerana kerajaan India melihat maklumat rakyat India sebagai sesuatu yang berdaulat.

India mempunyai kebimbangan terhadap penjajahan digital dan juga mengelak daripada menandatangani perjanjian perkongsian data pada masa-masa lalu.

Pengumuman pengharaman oleh India ini memberikan gambaran lebih jelas terhadap bagaimana syarikat-syarikat teknologi semakin terlibat dalam pertikaian geopolitik yang lebih luas.

Di China, platform milik Amerika seperti Facebook, Google, Twitter, Instagram, Wikipedia dan banyak lagi telah lama diharamkan.

Kerajaan Amerika Syarikat sedang menyiasat TikTok berkenaan dengan kebimbangan keselamatan negara dan di Eropah pula, pihak berkuasa menyiasat amalan pengumpulan data oleh TikTok.

Satu persoalan yang masih menjadi tanda tanya adalah bagaimana kerajaan India akan melaksanakan pengharaman aplikasi yang diumumkan.

Salah satu pilihan adalah dengan memberikan tekanan terhadap kedai aplikasi seperti Apple dan Google, untuk tidak lagi menyediakan perkhidmatan TikTok untuk dimuat turun.

Ini mungkin boleh membuatkan pihak berkuasa China melancarkan tindakan balas lanjut yang lebih dahsyat.

Rujukan:

1. Foreign Policy

2. NY Times

3. Economic Times




Hakcipta iluminasi.com (2017)